Sunday, October 31, 2010

Lirik Nasyid : Teruskan Berjuang !!!



Teruskan Berjuang !!!

Semangat Mengejar Matlamat,
Biar Sampai Ke Puncak Kiamat,
Ujian Datang Seribu Hikmat,
Tuhan Sayang Sebagai Rahmat.

Ilmu Penerang Hati Usang,
Membawa Insan Kenal Tujuan,
Jangan Hampa Dalam Berjuang,
Kemenangan Pasti Dijulang,

Jangan Ragu Mahupun Gentar,
Allah Bersama Dengan Yang Sabar,
Walau Dunia Laju Berputar,
Redha Allah Jadi Penawar.

Teruskan Berjuang Membela Islam,
Laksana Rasul Sahabat Seperjuangan,
Sikap Berani Tetap Pendirian,
Hingga Islam Di Muliakan.

Teruskan Berjuang Menanggung Beban,
Harta Nyawa Jangan Dibimbang,
Rahmat Allah Lapang Terbentang,
Sedia Menyambut Para pejuang.

Pejuang Islam Pastikan Menang,
Walau Mehnah Berbagai Rintangan,
Ingat Redha Allah Tujuan.
Habuan Syurga Allah Janjikan.

Teruskan Berjuang! Teruskanlah Berjuang! Teruskan Berjuang !!! (",)


Lirik Ciptaan :
Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.

Wednesday, October 27, 2010

Lirik Nasyid: Doa Pencinta Ilmu !



 Doa Pencinta Ilmu !


Tuhan Ku Bermohon PadaMu,
Kurniakan Aku Ilmu Yang Berguna,
Membawa Takut KepadaMu,
Bertambah Hidayah Untuk MendekatiMu.


Aku Berlindung DenganMu,
Daripada Ilmu Yang Tiada Berguna,
Hanyut Jauh Dari RahmatMu Tuhan.
Membuatku Makin Berbangga Dan Bermegah..


Maha SuciMu Tuhan,
Sungguhku Tiada Memiliki Ilmu Walaupun Sedikit,
Melainkan Semua AjaranMu Tuhan...
Kerna Engkau Maha Mengetahui Lagi Bijaksana...


TanpaMu... Ku Tiada Erti...
Sekalipun Mampu Membawa Diri...
Apalah Ertinya Hidup Ini Tanpa Rahmat dariMu Tuhan..



~ Pencipta Lirik ~
Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.

Tuesday, October 26, 2010

Lirik Nasyid: Kami Merinduimu Ya Rasulullah


Ya Rasulullah Kami Merinduimu,
Walaupun Tidak Pernah Melihat Wajahmu,
Namun Kami Beriman Dan Mencintaimu,
Tetap Terpahat Walaupun Dunia Membelenggu  ...


Ya Rasulullah Engkau Sungguh Mulia,
Namamu Harum Di Singgahsana Syurga,
Diutus Sebagai Rasul Pemimpin Ummah,
Perjuangkan Tuhan Sekelian Alam Semesta ,


Sejarah Menceritakan Segalanya,
Bahawa Akhlakmu Indah Mempesona,
Sehingga Allah Memuji Perilakumu,
Kebenaran Dalam Quran Mukjizat Agungmu...


Oh Rasulullah, Indahnya Peribadimu...
Cahaya Diatas Cahaya,
Nikmatnya Alam Rahmat Tuhanmu...

Rindumu Kepada Perindu Dirimu,
Mengenangkan Akibat Yang Bakal Berlaku,
Di Akhir Zaman Tanpa Dirimu Disisi,
Adakah Iman Masih Teguh Dihati
Seperti Yang Terungkap Di Hadapan Sahabat Sejati...


Ya Allah, Sampaikan Selawat Dan Salam,
Buat Nabi Muhammad Rasul Pemimpin Ummat,
Mengenangkan Pengorbanan Dan Perjuangan Baginda,'
Membuatkan Kami Semakin Rindu Padanya...


Rindunya Kami Kepada Rasulullah Tercinta,
Seperti Merindui Kekasih Yang Kian Lama Berpisah,
Rindunya Kami Kepada Baginda,
Teringin Sekali Menatap Wajahnya...
Teringin Sekali Menatap Wajahnya...(",)


Shallallahu Robbuna Ala Nuril Mubin
Ahmadal Mustofa Saiyyidil Mursalin,
Wa Ala Alihi Wa Sohbihi Ajmain..
Walhamdulillahirobbil Alamin.



Pencipta Lirik Dan Nukilan Sajak :
Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.

Monday, October 25, 2010

Pandangan: Cara Menghadapi Exam Menurut Surah Al-Alaq 1-5

Assalamualaikum Ustaz.. mahu tanya ni, tidak lama lagi saya exam, boleh minta pendapat macam mana mahu menghadapinya ?

Nora.

Jawapan: Alhamdulillah, terima kasih kerana memberikan soalan dan meminta pandangan, walaupun saya bukanlah dikalangan mereka yang  berkelayakan dan memiliki sijil kepakaran dalam motivasi. Namun memberikan nasihat itu merupakan  satu kewajipan bagi setiap ummat Islam apatah lagi seorang yang bergelar penuntut ilmu , seperti mana sabda Nabi Muhammad s.a.w :

“Hak seorang muslim atas muslim yang lain ada enam: Jika engkau bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam kepadanya, apabila ia mengundangmu penuhilah undangan itu, apabila ia minta nasihat kepadamu maka nasihatilah dia, dan apabila di bersin dan mengucapkan "Al Hamdu lillah", maka ucapkanlah "Yarhamukallah", apabila ia sakit maka jenguklah dan apabila ia mati maka ikutilah." (HR. Muslim).

Untuk menghadapi setiap peperiksaan yang bakal menjelang, seseorang pelajar hendaklah merasa tenang tenteram, dan sudah bersedia menghadapinya, samaada dari segi mental mahupun fizikal. Dan meletakkan azam kuat bahawa " aku sudah bersedia dan mampu untuk menjawab dengan sebaiknya, InsyaAllah ". Jika perasaan seperti ini ada dalam hati, insyaAllah anda akan lebih yakin dan bersemangat untuk menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi.

Di sini saya memberikan sedikit point atau tips yang selalu diamalkan setiap kali hendak menjelang peperiksaan. Semuanya ini di ambil dalam Al-Quran surah al-Alaq ayat 1-5 yang merupakan wahyu pertama daripada Allah s.w.t yang disampaikan oleh Malaikat Jibril alaihis salam kepada Nabi Muhammad s.a.w ketika ber'uzlah' di gua hira'.

5 ayat ini saya akan huraikan mengikut fahaman pendidikan sebagai motivasi bagi seorang pelajar (termasuk saya).

Firman Allah s.w.t : 
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
1)Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.
خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ
2) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ
3) Bacalah, dan Tuhanmu yang maha pemurah.
الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ
4) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.
عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
5) Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.

Bagi Seorang pelajar ( seperti saya ) yang bakal menghadapi peperiksaan atau yang ingin menambahkan ilmu pengetahuan dan menginginkan ilmu yang dipelajarinya diberkati Allah, maka digalakkan untuk memahami ayat Iqro' ini secara mendalam dan terperinci sebelum menghadapi peperiksaan yang menjelang. kerana ia boleh membantu supaya tenang tenteram dan berkeyakinan untuk menjawab soalan2 yang diberikan.

Lebih-lebih lagi pemahaman ayat ini mampu memberikan kekuatan pengharapan lebih tinggi kepada Allah s.w.t berbanding usaha sendiri. Berharap kepada Allah itu adalah buah iman, manakala usaha adalah buah amal, iman dan amal tidak boleh dipisahkan, begitulah juga doa pengharapan kepada Allah tidak boleh dipisahkan dengan usaha amal.


Huraian menurut motivasi pendidikan seperti ini :
  •   Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (1)
Maksudnya, mulakan setiap pelajaranmu dengan menyebut nama Allah yakni ' Bismillah '.


Rasulullah s.a.w berasabda " setiap perkara yang baik-baik jika tidak dimulai dengan Bismillah maka ianya terputus, yakni kurang berkat. "

Jadi, setiap pelajar yang menginginkan keberkatan daripada Allah terhadap ilmu yang dipelajarinya, mestilah memulakan pembelajaran tersebut dengan membaca Bismillah. Atau boleh juga membaca doa, samaada doa penerang hati, doa kuat hafalan, doa mohon diberikan kefahaman yang jelas dan sebagainya, Terpulanglah doa apa yang dihafalnya. Kemudian bacalah buku-buku atau kitab-kitab yang mahu dipelajari atau diulangkaji.


  •  Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku (2).
- Sesudah membaca doa, membaca buku, kitab dan yang seumpamanya, maka carilah isi-isi penting @ point  dalam setiap tajuk yang dibaca, gariskan atau warnakan jika didapati. (  segumpal darah merupakan organ yang amat penting dalam diri setiap manusia ) Saya ibaratkan segumpal darah itu adalah  isi-isi penting, Kerana point2 tersebut amat penting kepada akal untuk memahami setiap pembelajaran. kadang-kadang setiap tajuk mempunyai huraian yang panjang, sedangkan isi penting cuma sedikit sahaja. Jadi dengan menggariskan atau mewarnakan isi2 penting, maka ia dapat membantu pemahaman anda.


  •  Bacalah, dan Tuhanmu yang maha pemurah (3)
- Setelah mewarnakan atau menggariskan isi-isi penting (point2 penting) maka baca sekali lagi atau berulang-kali sehingga faham dan melekat dihati dan fikiran. Kerana Allah maha pemurah, pemurah IlmuNya, pemurah kefahamanNya, pemurah dari segala yang pemurah. Maka selayaknya hamba yang mengulangkaji pelajaran, yang sudah berdoa, berusaha, berikhtiar dan sabar di dalam pelajaran hendaklah membaca semula isi-isi penting tersebut, bacalah berulang-ulang kali sehingga faham. InsyaAllah dengan cara ini, Allah pasti akan memberikan kefahaman yang jelas diatas segala apa yang kurang difahaminya, dan akan menjadikannya mudah dan senang terhadap apa yang menyusahkannya, dan melapangkan dadanya supaya memahami sedalam-dalamnya berkaitan tajuk yang sedang dipelajarinya dengan lebih jelas dan difahami.


  • Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan (4)
- Allah s.w.t maha mengetahui dan maha bijaksana, dan segala apa yang kita ketahui dan fahami semuanya daripada Allah, Allah yang mengajar semua makhluknya samaada yang kita ketahui ataupun tidak, kerana pengetahuan Allah meliputi segala-galanya tidak terjangkau akal kita untuk memikirkannya. kerana ilmu kita terbatas, adapun Allah, ilmuNya maha luas tiada batasnya.

Setelah terjumpa semua point2 penting yang digariskan dan diwarnakan, maka ambil pen/pensel dan kertas atau buku kajang atau apa-apa sahaja yang boleh digunakan untuk mencatit isi-isi penting tersebut. Keluarkan isi-isi penting itu kemudian tuliskan isi-isi penting itu di sebuah kertas. Jadilah ia sebuah buku kecil yang dinamakan nota, ( nota kecil atau nota ringkasan ). hafal sekiranya mampu, kerana hafalan akan lebih banyak membantu disamping memahami isi-isi penting setiap tajuk yang dipelajari, insyaAllah.


  •  Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya (5)
- Allah lah yang mengajar hamba-hambaNya menulis, memahami sesuatu ilmu, dan Allah jualah yang mengajar manusia untuk menghafal, Dia jugalah yang memberikan kekuatan ingatan dan kefahaman dalam setiap ilmu yang dipelajari. Bukan dengan sebab kita seorang yang pandai, kerana tiada seorang yang lahir terus pandai serta merta melainkan kalau ada pun, mereka hanyalah seorang Nabi yang dikurniakan mukjizat oleh Allah sebagai bukti bahawa  mereka adalah seorang Nabi utusan Allah s.w.t.

Maka selayaknyalah seseorang yang sudah berdoa, membaca buku, berusaha, berikhtiar harus bertawakkal kepada Allah yakni berserah diri kepada Allah s.w.t. Keraana Allah yang menentukan segala-galanya menurut kehendak dan takdir ketentuannya.

Tawakkal ini baik bagi mereka yang sudah menjawab peperiksaan, serahkan segala-galanya kepada Allah, semoga jawapan-jawapan yang dijawab semasa peperiksaan adalah tepat dan menghendaki kehendak soalan. Kalaupun tersilap/tertinggal/ sesuatu soalan maka serah pada Allah, jangan rasa frust atau putus asa.

Kekadang ada sesetengah pelajar yang selalu menghadapi masalah ini, setiap kali selesai exam dia akan melihat semula soalan (termasuk saya) apabila selesai menjawab dan keluar dari bilik peperiksaan, pada ketika itu baru dia melihat dan perasan yang dia ada silap, lantas berkata " alaa silapla disini.. aduh... dan macam-macam lagi sehingga hilang keceriaan diwajahnya ". 

Di sinilah peranan tawakkal, pelajar hendaklah serah segalanya kepada Allah... kerana Allah yang memberikan kefahaman menurut kehendaknya, memberikan kemudahan menjawab menurut kehendaknya dan apap-apa sahaja semuanya menurut kehendaknya. Jangan fikir aku gagal, tapi fikirlah aku lulus, dan sudah menjawab dengan sebaik-baiknya, serta banyakkan doa, serah kepada Allah, insyaAllah tawakkal akan memberikan ketenangan di dalam jiwa dan perasaan anda,  sentiasalah berdoa dan bertawakkal kepada Allah s.w.t insyaAllah, hati dan jiwa anda pasti tenteram dan penuh berkeyakinan. 

Setelah menjawab peperiksaan, maka berserahlah segalanya kepada Allah, kalau dapat menjawab soalan dengan baik, puas hati, Alhamdulillah, tapi kalau kurang tepat, atau tidak dapat menajwab dengan betul bersabarlah dan terimalah seadanya.

Samaada lulus ataupun gagal, serah pada Allah, ( Namun setiap pelajar mestilah mahukan yang lulus dan berjaya kan ). Jadi, lulus dan gagal itu adalah ujian yang kedua mesti anda hadapi, itulah ujian yang sangat hebat yang mesti dilalui oleh setiap manusia, ujian ini bukan datangnya dari manusia tapi datangnya daripada Allah. Jika lulus, Alhamdulillah.. Jika Gagal.. terima seadanya.. semua ada hikmahnya.

Tawakkallah kepada Allah kerana Dialah yang mengetahui segala-galanya dan mengajar kita apa yang kita tidak tahu, sehingga dengan ajaran Allah itu kita mengetahui setiap ilmu yang dipelajari, dan bukan semuanya yang kita ketahui akan tetap kita ingati dan fahami, itu sebablah perlunya bertawakkal kepada Allah.


Tips @ Point Untuk Menghadapinya :
  1. Baca Buku, Mulakan dengan Bismillah @ Berdoa.
  2. Cari point, isi-isi penting setiap tajuk. Warnakan @ gariskan.
  3. Membaca semula, berulang-kali sampai faham.
  4. Keluarkan isi penting, Tulis nota. Buat nota kecil, Hafal.
  5. Tawakkal. Serah kepada Allah setelah berdoa, usaha dan ikhtiar.
  6. Tambahan, Redha & Senyum (",).
p/s : Jangan lupa solat hajat dan berdoa setiap kali lepas solat lima waktu, mohon pada ibu dan ayah untuk mendoakan kejayaan anda !!!.

Semoga saya, anda dan sesiapa sahaja yang bakal menduduki peperiksaan, didoakan mendapat kejayaan dan kecemerlangan di dalam pelajarannya, ameen Ya Allah !!!

Kalam Motivasi Nasihat :

" Seorang yang berjaya ialah mereka yang mampu menggerakkan semangat usaha mereka " ( Dato Dr Fadhilah Khamsah )

" Kejayaan itu bukanlah kunci kepada kegembiraan, bahkan kegembiraan itulah yang merupakan kunci kepada kejayaan, sekiranya anda suka apa yang anda lakukan, nescaya anda akan berjaya insyaAllah. "


Rasulullah s.a.w bersabda: "  Orang yang bijak adalah orang yang mampu menundukkan hawa nafsunya, mengintrospeksi dirinya dan beramal untuk menjadi bekal setelah matinya. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang menuruti hawa nafsunya lalu berangan-angan agar Allah (mengampuni dosa-dosanya)." (HR.Ahmad At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Al-Hakim, Shahih).
  
" Jika anak-anak kita akan menghadapi peperiksaan, kita akan berpesan kepadanya, jawab sebagaimana yang cikgu ajar. Jika betul, lulus. Jika salah jawabnya gagal. Di akhirat kelak, peperiksaan di hadapan Allah SWT nanti juga memerlukan kepada jawapan yang sama dengan cikgu ajar. Cikgu itu ialah Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah SWT. Jawab seperti yang cikgu ajar, syurga balasannya. Gagal menjawab seperti yang diajar cikgu, nerakalah balasannya..." ( Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan )

Doaku Semoga Kita Berjaya Di Dunia Dan Akhirat, Ameen !!!


Hamba Ilahi : Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.

Friday, October 22, 2010

Nasyid Boria Promosi Islam !









( Nasyid Boria Promosi Islam )


Assalamualaikum Kami Ucapkan,
Kepada Hadirin Dan Hadirat,
Baik Muslimin Atau Muslimat,
Semoga Terhibur Dengan Nyanyian
Semoga Gembira Dengan Hiburan.


Darilah Kami Penasyid Islamik,
Mempromosi Islam Dengan Cara Hiburan..
Bagi Siapa Yang Menghayatinya,
Didoakan Moga Mendapat Hidayah,
Petunjuk Dari Tuhan Yang Maha Esa...


Kami Bernasyid Kerana Allah,
Bukan Kerana Habuan Dunia,
Bukanlah Juga Mahukan Sanjungan...
Apatah Lagi Inginkan Pujian...


Kami Mengharap Keredhaan Tuhan....
Melaksanakan Tuntutan Islam...
Ilmu Disampaikan Dengan Cara Nyanyian..
Berpesan-Pesan Kearah Kebenaran 
Mengajak Insan Mencintai Tuhan.


Islam Agama Sudah Sempurna..
Tidak Perlu Lagi Ditokok Tambah...
Ia Agama Diredhai Allah,
Sesuai Buat Semua Manusia... 2x


Islam Agama... Rahmat Lil Alamin....!



~ p/s : Lagu Ni Ana Hadiahkan Buat Sahabat-Sahabat Ana, 
Yang Mana Mereka Merupakan Penasyid Yang Berjiwa Islamik, 
InsyaAllah ~



Pencipta Lirik Dan Lagu :

Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.

Wednesday, October 20, 2010

Salam Redha &Takziah Atas Pemergian Almarhum Mahmud Che Ros!

Bismillahirrahmanirrahim

Allahumma Shalli Ala Saidina Muhammad Shallallahu Alaihi Wa Sallam Wa Ala Alihi Wa Sohbihi Ajmain


Mahmud Che Ros ( Semoga Dirahmati Allah )


Assalamualaikum kepada sahabat2, Mohon sesama doa n sdekahkan Al-Fatihah serta amalan kebaikan kpd Allahyarham Mahmud Bin Che Ros ( 1943-2010 ) yg baru sahaja kembali kerahmat kasih sayang Tuhannya (Allahyarham merupakn ayah mertua saya, Ayah kepada Zaujah). 

Allahyarham kmbali ke rahmatullah d rumah, di Tasek Glugor pada 20/10/2010 jam 5.40ptg waktu malaysia.


Seorang Bilal Dan Guru Mengaji Quran 
Allahyarham merupakan seorang Muazzin ( Bilal Azan ) di Masjid Di Lahar Tembun, Tasek Glugor Pulau Pinang, 

Allahyarham meninggalkan 9 orang anak, Almarhum Juga merupakan seorang guru mengaji Al-Quran buat anak-anak tempatan.

Sebagai seorang suami yg jg merupakan anak kepada seorang ayah (Allahyarham) yang di amanahkan Allah bagi seorg Isteri, zaujah ana didik agar bersabar n redha dengan Qadha' n qadr Allah s.w.t, serta serahkan sgala-galanya kpd yang maha Esa..



Sungguh Allah lebih menyayangi setiap hambanya yg kembali ke pangkuan asal di Sisi Robbul Izzati, Rahmat kasih sayang Tuhannya.. moga2 dengan didikan tersebut boleh melembutkan n mententramkan sang hati yg sedang bersedih, n dgn itu jg Allahayarham beroleh ketenangan menuju awal akhirat yang d laluinya..



semoga saya, zaujah n keluarga d Malaysia sentiasa tabah n sabar serta redha dgn ketentuan Allah s.w.t ini, sama-sama kita mendoakan agar Allahyarham ditempatkan ditempat org2 yg sholeh, n kita smua merupakan anak2 yang ditinggalnya yg pernah dididiknya dgn didikan Quran n Sunnah, maka slayaknya kta mndoakan rahmat Allah n maghfirahnya slalu atasnya, kerna itu adalah salah stu kunci anak yg sholeh n sholehah yg diinginninya serta dibajainya sewaktu hidupny.. perkenankanlah ya Allah, ameen ya Allah !!!

" Ya Allah, Tempatkanlah Allahyarham B'sama Dgn Golongan Anbiya', Siddiqin, Syuhada n Org2 Yg Sholeh yg Engkau Kasihi, Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Lg Maha Penyayang Hamba2Mu, Perkenanknlah Ya Rahman ! "


Doa Buat AlmarhumMahmud Che Ros :
 
" Allahummaghfirlahu War Hamhu Wa'fihi wa'fu anhu, wa akrim nuzulahu wa wa si' mudholahu wag shilhu bilma' wassalji walbarad wannaqhi minal khotoya kama yunaqissaubul abyad minad danas wa abdillahu daron khoiro min darih wa ahlan khairan min ahli wa zaujan khairan min zaujih wa adhilhul jannah wa aazhu min azabil qubri wa min fitnatin azabinnar.. ameen ya Allah birahmatika ya Arrhamarrahimin, ameen !

Moga Allah mencucuri rahmat keatas
AlmarhumMahmud Che Ros... ameen.. al-Fatihah !!!

Tuesday, October 19, 2010

Hukum Nyanyian Nasyid, Harus !!!

Bismillahirrahmanir Rahim... 

Alahumma Shalli Ala Saidina Muhammad Shallallahu Alaihi Wa Sallam.


~ Penasyid Asia, Malaysia ~


Hukum Nyanyian, Nasyid, Harus !!!

Alhamdulillah, sudah lama rasanya ingin memberikan pandangan berkenaan tentang hiburan nyanyian nasyid. Pada mulanya saya tidak berkenan untuk mengkaji mana-mana hukum dalam apa bidang sekalipun, kerana ianya sudah dibahaskan dan telahpun ditentukan hukumnya oleh para Ulama' yang diakui ilmunya dan para Mujtahid dan beberapa orang Mufti yang telah mengeluarkan fatwa tentangnya serta pandangan-pandangan para Ustaz-ustaz yang mempunyai ilmu kepakaran dalam bidang tersebut. Kebanyakan mereka memberikan pandangan " HARUS " terhadap hiburan nyanyian nasyid ini selagi ianya tidak menyimpang di sisi syariat.


Kalau diikutkan, saya tidak layak memberikan pandangan terhadap hukum ini, lagipun saya masih bergelar seorang pelajar, sudah tentu saya tidak layak memberikan pandangan, sebahagian daripada sahabat-sahabat saya meminta untuk memberikan pandangan mengenainya, Atas dasar inilah saya cuba sedaya yang mampu. saya bukan memberikan pandangan terhadap nasyid ini, sebaliknya saya mengambil kalam-kalam Ulama' yang pernah membahaskannya, saya cuma pinjam kalam mereka sahaja. Sekiranya ada kekurangan dan kelemahan saya minta maaf, kerana saya masih belajar dan perlukan tunjuk ajar, lebih-lebih lagi permasalahan ini adalah permasalahan hukum yang pertama saya terokai. Moga-moga apa yang saya lakukan ini adalah semata-semata mengharapkan keredhaan serta keberkatan daripada Allah s.w.t. ameen !



Hukum nyanyian nasyid adalah 'HARUS'.


Ini menurut pandangan beberapa orang Masyaikh seperti Imam As-Syafie Rahimahullah Taala, Imam Al Mawardi, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Fatwa Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi dan Fatwa Mufti Mesir Al-Fadhilah As-Syeikh Ali Al-Jumah dan banyak lagi di dalam beberapa buah kitab Al-Fadhilatus Syeikh. InsyaAllah saya akan mendatangkan dalil-dalil yang jelas dan mudah difahami menurut huraian para Masyaikh tentang masalah ini satu persatu. Sila lihat pandangan para Masyaikh di bawah ini, insyaAllah semoga difahami dengan lebih jelas.



1) Daripada Ubai Bin Ka'ab Radhiallahu Anh bahawa Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda :

" Sesungguhnya dari Syair itu terdapat hikmah ". ( Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya dalam kitab al-Adab, Imam Muslim dalam kitab Al-Jihad )

Menurut Ibnu Bathal daripada hadis ini, beliau menyebut:

 " Apa-apa yang terdapat pada syair (nasyid) dan zajar tentang mengingati Allah Taala, mengagungkanNya,  mengesakanNya, Pengorbanan mentaatiNya dan pasrah kepadaNya maka perkara tersebut adalah baik dan digalakkan. Itulah yang dikehendaki dengan hadis diatas. ( Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, karangan al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani Jilid 10, m/s 442. )


2) Al-Allamah As-Safarani di dalam mazmumatul Adab:


" Disebut dalam al-Iqna : Diharuskan hida' ( nyanyian atau dendangan bagi unta, ia merupakan nyanyian bangsa arab ) bagi penunggang unta ahli nasyid Arab" . (Ghiza'ul Al-bab Syarah Mazmuhatul Adab- Karangan al-Allamah As-Safarani Jilid 1 m/s 145)

Beliau juga menyebut: " Mazhab mengharuskan tanpa makruh kerana terdapat khabar yang saling menguatkan diantara satu sama lain. Ia juga zhahir di dalam atsar tentang dendangan syair dan hida' ketika bermusafir. Sesungguhnya sebahagian Ulama' telah menyebut bahawa telah ijma' tentang keharusan Hida'. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wa Sallam :
 
Dalam riwayat Muslim, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang akan menyanyi ketika dalam dalam perjalanan. Nama beliau Anjasyah. Kata Anas:  
“Bahawa Rasulullah s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang mempunyai suara yang lunak. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Perlahan wahai Anjasyah! Jangan pecahkan kaca (wanita-wanita)” (Riwayat Muslim).
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata : Ibnu Abdul Barr menaqalkan bahawa Ulama' bersepakat keatas harusnya Hida'. Dalam kata setengah Hanabilah terdapatnya khilaf. Sesiapa yang menegahnya maka hadis yang shahih ini menjadi hujah keatas dirinya.


Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullah Taala berkata dalam Ihya Ulmuddin, mengenai Hida' katanya " Adat kebiasaan arab pada zaman Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam dan zaman para sahabat Radhiallahu anhum ajmain ialah sentiasa berhida' dibelakang unta. ia tidak lain melainkan syair-syair ( nasyid ) yang dialunkan dengan suara yang merdu serta alunan yang berirama . Tidak dinukilkan walaupun dari seorang sahabat yang mengingkarinya " ( Ihya Ulumuddin, Karangan Imam Al-Ghazali Jilid 2 m/s: 242 ) 


3) Dikeluarkan oleh Ath Tabrani dari jalan Ibnu Juraij, katanya : Aku bertanya Atho' tentang Hida, syair dan nyanyian. Beliau menjawab: Tidak mengapa dengan perkara tersebut selagi ia tidak berbentuk keji. 

Daripada pandangan beliau, kita boleh simpulkan bahawa nyanyian dibolehkan asalkan tidak ada unsur-unsur perkataan dan perbuatan yang keji dan maksiat.



4) Saiyyidina Umar Al-Khattab Radhiallahu Anhu memberikan reaksi apabila mendengar dendangan syair yang berbunyi:

"Bukan diri dan bukan pula cinta,
Pemerhati diriku, ketakutan serta kegerunanku adalah pelindungku"

Sayyidina Umar memngatakan bahawa, " Mengenai kata-kata ini maka dendangkanlah bagi siapa yang mahu berdendang ". ( Al-Itisham- Karangan Imam Asy-Syathibi Jilid 1 m/s 220.)

Sayyida Umar tidak menegahnya bahkan membolehkan mendengkan syair tersebut, ini menunjukkan bahawa bersyair, bernyanyi, bernasyid itu dibolehkan, kerana perkataan-perkataan syair tersebut adalah perkataan yang baik dan tidak menyalahi syariat Allah.


5). Para sahabat berdoa bersama Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam dengan melantunkan syair (Nasyid) di saat menggali khandaq (parit) Rasululah Shallallahu Alaihi Wa Sallam dan sahabat2 radhiyallhu anhum  ajmain bersenandung bersama sama dengan ucapan : “HAAMIIIM LAA YUNSHARUUN..”. (Kitab Sirah Ibn Hisyam Bab Ghazwat Khandaq). Perlu diketahui bahawa sirah Ibn Hisyam adalah buku sejarah yg pertama ada dari seluruh buku sejarah, yaitu buku sejarah tertua. Kerana ia adalah Tabi’in.
 
6) Ketika membina Masjidirrasul Shallallahu Alaihi Wa Sallam: mereka bersemangat sambil bersenandung : “Laa ‘Iesy illa ‘Iesyul akhirah, Allahummarham Al Anshar wal Muhaajirah” setelah mendengar ini maka Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam pun segera mengikuti ucapan mereka seraya bersenandung dengan semangat : “Laa ‘Iesy illa ‘Iesyul akhirah, Allahummarham Al Anshar wal Muhajirah.. ” (Sirah Ibn Hisyam Bab Hijraturrasul saw- bina’ masjidissyarif hal 116) & ( Nuzum Islamiyyah M/S 140/141 TAjuk ke 4 Wa Min Riyadir Ruhiyah ( Al-Ghina ).




 Pandangan Ulama' Yang Mengatakan Harus Hiburan Nasyid:

1) Imam As-Syafie Rahimahullah Taa'la:

" Syair ( Nasyid ) adalah suatu kata-kata. Kata-kata yang baik adalah baik dan kata-kata yang keji adalah keji " ( Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari, Karangan Ibnu Hajar Al-Asqalani Jilid 10 m/s 443. hadis marfu' daripada Abdullah bin Amru dengan lafaz : " Syair (nasyid) itu mengikut kedudukan perkataan, keelokan syair (nasyid) adalah sama seperti keelokan kata-kata, keburukan syair (nasyid ) samalah dengan keburukan kata-kata."


2) Fatwa Al-Fadhilah As-Syeikh Dr Ali Al-Jumah Mufti Mesir:

Al-Fadhilah As-Syeikh mengeluarkan fatwa bahawa nyanyian tidak diharamkan melainkan apabila dalam nyanyian tersebut ada unsur-unsur yang menyalahi syara'. Dan beliau mengatakan ianya adalah ' HARUS ', dan disukai apabila nyanyian tersebut ada perkataan-perkataan yang mengandungi pujian kepada Allah, pujian kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam serta Islam dan kecintaan kepada Negara. ( Kitab Al-Bayan, Lamma Yasghilu Azhan. Miatu Fatwa liroddu ahamma syubhah al-khorij wa lam syamilu dakhil, fi Al-bab hukmu Al-Ghina, 364 )


Syeikh mendatangkan banyak dalil-dalil yang shahih untuk menguatkan pandangan beliau, diantaranya :

Hadis Ummul Mukminin ‘Aishah Radhiallahu Anha :
Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah r.a. bahawa
“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”.  (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).

Dalam hadis lain, ‘Aishah menceritakan
:“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).


3) Fatwa Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi :


Beliau memberikan pandangan tentang hiburan, beliau berpandangan bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga itu adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini di HARUS kan oleh Islam dengan syarat ianya tidak dicampuri dengan kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).


4) Imam Al Mawardi :

Beliau mengatakan bahwa syair-syair ( nasyid ) yang diungkapkan oleh orang-orang Arab lebih disukai apabila syair itu mampu menumbuhkan rasa waspada terhadap tipuan atau rayuan dunia, cinta kepada akhirat, dan mendorong kepada akhlak yang mulia. Kesimpulannya, syair seperti ini boleh jika selamat atau bebas dari kekejian dan kebohongan.


5) Pandangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Taala:

Al-Hujjatul Islam Imam Ghazali memberikan huraian yang cukup bernas dan sangat teliti dalam permasalahan ini, ini jelas apabila beliau menghuraikan maksud pada perkataan Ibnu Mas'ud Radhiallahu Anhu, : " Nyanyian boleh menumbuhkan sifat munafiq dalam hati". Kata-kata Ibnu Mas'ud ini perlu diperinci dan diteliti dengan betul, dan tidak boleh mengambil dalil ini secara zhahir lantas mengharamkan nyanyian, kerana Ibnu Mas'ud cuma mengatakan ianya boleh menumbuhkan sifat munafiq.

Hujjatul Islam Imam Ghazali menghuraikan kalam Ibnu Mas''ud ini dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa, kerana kebanyakan orang yang menyanyikan lagu itu merasa bangga, takabbur, riak dan seumpamanya, namun ianya tidak semua  bersikap sedemikian, sebagai contoh, jika seseorang memakai pakaian yang cantik-cantik, kenderaan yang mewah, rumah yang besar ianya juga boleh mendatangkan sifat-sifat tersebut, tapi adakah memakai pakaian yang cantik, memiliki rumah besar dan kereta yang mewah itu hukumnya haram ?

Dan sebagai contoh yang lain, orang yang menaiki motor tanpa lampu diwaktu malam dan jalannya gelap gelita boleh menyebabkan kemalangan, adakah setiap orang yang menaiki motor tidak berlampu itu kemalangan ? Jawapannya, Bergantung kepada pembawa motosikal tersebut, kalau dia memandu dengan berhati-hati  cermat dan perlahan maka dia akan selamat, begitulah juga dengan nyanyian, bergantung kepada penyanyi tersebut, jika dia niatkan kerana Allah, ikhlas dalam menyampaikan nyanyian dan mengajak manusia melakukan kebaikan, maka ianya tidak mengapa dan dibolehkan.



6) Majlis Fatwa Malaysia :


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Rakaman Lagu-Lagu Nasyid Berbentuk Doa. Muzakarah telah memutuskan bahawa lagu-lagu nasyid berbentuk doa diharuskan di dalam Islam selagimana nyanyian tersebut mempunyai senikata yang baik yang memuji Allah dan Rasul, keindahan makhluk Allah atau kepada tanggungjawab atau mengenai sifat bertaqwa kepada Allah SWT, tidak biadap dan mendorong kepada maksiat, tidak bercampurgaul di antara lelaki dan wanita, tidak membawa kepada fitnah, tidak mendedahkan aurat dan tidak memuji makhluk Allah secara berlebihan.



7) Pandangan Ustaz tentang hiburan dan nyanyian :


Jawapan : Saudara, Islam bukanlah satu agama yang mengharamkan segala bentuk kegembiraan dan hiburan dalam hidup manusia. Allah Yang Maha Mencipta mengetahui bahawa manusia melalui dalam hidup mereka berbagai suasana dan keadaan. Ada kala manusia perlukan hiburan atau perlu dihiburkan. Hiburan wujud dalam berbagai bentuk. Islam datang bukan untuk mengharamkan, tetapi untuk member garis panduan. Untuk soalan saudara, saya sentuh perkara-perkara berikut;

1. Tumpuan hidup insan bukan kepada hiburan, tetapi kepada mengabdikan diri kepada Allah. Hiburan dan nyanyian hanya sampingan yang menghiasi rempah ratus kehidupan dan asam garamnya, bukannya tujuan asal kehidupan. Seperti juga memiliki rumah dan kenderaan yang cantik. Ia bukan tujuan hidup, tetapi termasuk dalam perkara-perkara yang diizinkan dengan batasannya.

2. Dalam hadis Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi s.a.w yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah baginda. Nabi s.a.w tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membenteras hiburan habis-habisan. Bantahan Abu Bakr ditolak oleh Nabi s.a.w secara berhikmah.

Ada sesetengah pandangan yang cuba menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak menolak dakwaan Abu Bakr bahawa nyanyian suara syaitan, cumanya hanya diizinkan disebabkan hari raya. Penghujahan seperti ini tidak kukuh. Sebabnya, apakah jika nyanyian suara syaitan maka pada hari raya ia tidak menjadi suara syaitan lagi dan selepas itu kembali menjadi suara syaitan semula?! Atau apakah pada hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr. Suara syaitan sepatutnya bukan dikaitkan dengan hari dan waktu, tetapi dengan isi kandungan!.

3. Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah r.a. bahawa
“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”. Maka, dalam hadis ini menunjukkan Nabi s.a.w prihatin dengan kecenderungan hiburan sesuatu kaum dalam majlis-majlis yang bertujuan untuk kegembiraan dan kesukaan seperti majlis perkahwinan. Mungkin hal ini boleh diluaskan kepada majlis sambutan kesukaan yang lain seperti majlis keluarga atau pejabat dan seumpamanya. Bahkan mengenai majlis perkahwinan Nabi s.a.w pernah bersabda: “Perbezaan antara yang haram dan yang halal adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”. (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).
Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diistiharkan. Berbeza dengan perzinaan yang biasanya dilakukan secara senyap-senyap. Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang menafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian.

Maka menjadi sunnah ketika majlis perkahwinan adanya hiburan seperti pukulan kompang dan suara nyanyian. Maka apa yang diamalkan dalam tradisi melayu ketika perkahwinan diadakan pukulan kompang dan nyanyian adalah tidak becanggah dengan ajaran Nabi s.a.w.

4. Dalam riwayat Muslim, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang akan menyanyi ketika dalam dalam perjalanan. Nama beliau Anjasyah. Kata Anas:
“Bahawa Rasulullah s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang mempunyai suara yang lunak. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Perlahan wahai Anjasyah! Jangan pecahkan kaca (wanita-wanita)” (Riwayat Muslim).
Ulama hadis berbeza pendapat tentang maksud Nabi s.a.w dalam hadis ini. Namun, maksud yang dipaling dapat difahami ialah baginda meminta agar Anjasyah memperlahan lagunya kerana ia telah menyebabkan unta semakin pantas, sedangkan wanita-wanita iaitu isteri-isteri baginda mungkin tidak termampu bergerak sepantas itu. Ini menunjukkan bagaimana baginda tidak melarang nyanyian, sebaliknya menggunakannya untuk menggalakkan perjalanan. Cumanya, apabila menyebabkan kesusahan wanita, baginda meminta agar ia diperlahankan.

5. Dalam hadis lain, ‘Aishah menceritakan
:“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).
Demikian Nabi s.a.w memberi ruang untuk isterinya menikmati hiburan.

6. Ada sesetengah pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan hiburan hanya pada hari raya sahaja atau dengan bentuk kompang tertentu sahaja. Mereka memahami hadis-hadis ini secara literal.

Bagi saya, pandangan ini boleh menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam. Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan. Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

7. Namun, sudah pasti di sana ada batasan yang mesti dipatuhi dalam setiap perkara. Hiburan juga ada disiplin dan batasannya. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:

“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat tidurku seperti engkau duduk. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut. Lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mereka juga tidak dilarang oleh Nabi s.a.w. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang salah atau bercanggahan dengan kebenaran maka ia ditegur oleh Nabi s.a.w. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Maka, lirik-lirik nyanyian hendaklah dipastikan tidak menyanggahi syarak seperti bercanggah dengan akidah yang sahih, atau mengajak kepada maksiat, atau membohongi fakta dan seumpamanya. Demikian juga jika ia diiringi dengan perbuatan yang haram, maka hiburan dalam bentuk seperti itu diharamkan.

8. Seorang muslim hendaklah melihat keluasan syarak ini sekalipun dia secara individu mungkin tidak menggemarinya. Mungkin seseorang yang kuat agama itu tidak gemarkan nyanyian, tapi tidak bererti mesti diharamkan terhadap orang lain. Sebaliknya, hendaklah dia amanah dalam memberitahu keluasan syarak dalam hal ini.

9. Di samping tidak wajar hidup ini disibukkan dengan hiburan sehingga melupai tujuan hidup yang sebenar. Hiburan hanya diambil dengan kadarnya sahaja, jangan dijadikan tumpuan hidup. Jika dijadikan tumpuan sehingga melupai tanggungjawab Islam, maka hiburan itu akan membawa kepada dosa dan maksiat kepada Allah.


................................................


Berdasarkan huraian, pandangan serta fatwa di atas, menunjukkan bahawa nyanyian nasyid adalah HARUS, selagimana ianya tidak menyanggahi syariat dan nyanyian tersebut ada unsur-unsur maksiat. Sekiranya ia berbentuk kebaikan maka ianya dibenarkan di dalam Islam. Allah sebut dalam Al-Quran: " Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk)" (Surah Al-A‘raf, ayat 157). "  

Setiap sesuatu amalan mestilah berdasarkan niat pengamalnya, bergantung kepada niat individu tersebut, jika diniatkan untuk kebaikan maka baiklah baginya, jika kejahatan maka jahatlah baginya. Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda " Setiap amalan berdasarkan niat " ( Bukhari Dan Muslim ).


Berhati-Hati Dalam Menjatuhkan Hukum Haram !!!


Maher Zain (Penasyid Antarabangsa)
Adapun bagi golongan yang mengharamkan terus secara keras dan pengharaman mutlaq, diharap dapat menghormati pandangan-pandangan Ulama' yang membolehkannya. Dan diharap berhati-hati dalam menjatuhkan hukum Haram secara membabi buta, Sebab itu bukan sikap para Ulama. Dan Ulama' begitu berhati-hati ketika menentukan hukum terhadap sesuatu masalah, Inilah sebabnya Ulama' Fiqh dari golongan tabi'in di Kufah apabila mereka berfatwa menegah sesuatu mereka mgatakan : ini makruh. dan mreka tiada mahu mengatakan : Ini haram. kecuali kalau diketahui haramnya secara pasti. Dan Ini sebabnya dikala imam Ahmad bn hanbal, dikala ditanya org dari suatu perkara, beliau berkata: aku tiada suka, atau aku tiada memandangnya bagus, dan tiada ianya berkata: ini haram.


Imam Syafie dlm Kitabnya Al-Umm (menurut riwayat dari Qadi Abu Yusof Sahabat Imam Abu Hanifah ) mengatakan" bahwa aku mendapati maha guru kami dari kalangan ahli ilmu tiada suka berfatwa degnan mengatakan ini halal dan ini haram, kecuali menurut apa yang telah ada dalam kitabullah keterangannya yang tiada tafsirannya."

Al-Rabi' bin Haitham seorang terkemuka dari golongan tabi'in berkata " hendaklah salah seorang kamu takut daripada berkata bahawa aku halalkan ini dan aku haramkan itu, kerana Allah akan berkata kepadanya: engkau pembohong, aku tiada pernah halalkan ini dan haramkan itu.

kesimpulannya : Perkara yg didiamkan Allah itu adalah Rahmat atau kemudahan. Di sini Ulama' mengeluarkan satu qaedah Usul fiqh :

" Asal hukum pada segala sesuatu itu adalah harus hingga ada dalil atas ketiadaan harusnya.. "

inilah pendapat dalam mazhab Imam Syafie Rahimahullah Taala n sbhagian imam Mazhab Abu Hanifah.



Begitu juga bagi yang membolehkannya diharap dapat menghormati pandangan Ulama' yang mengharamkannya. Apabila kedua-dua golongan ini saling hormat menghormati diantara satu dengan yang lain, maka keharmonian dalam Islam akan menjadi rahmat untuk semua insan, kerana perkara khilaf itu adalah rahmat, kemudahan serta dimaafkan oleh Allah s.w.t.

 Sabda baginda rasulullah : “Perkara yang Halal itu ialah apa yang dihalalkan oleh Allah dalam kitab (Al-Qur’an) dan apa yang haram itu ialah apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab-Nya dan apa yang didiamkan olehnya maka ianya termasuk apa yang dimaafkan kepada kalian” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no. 1726, Ibn majah, Hakim).

Kita ambil jalan tengah wasithah,  sebab perbuatan yang baik itu adalah yang sederhana dan pertengahan, tidak boleh terlalu keras dan tidak boleh juga terlalu lembut, ambil jalan mudah, kerana itu sikap serta sifat Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam, jika Baginda diberi pilihan untuk memilih maka Baginda s.a.w mengambil yang mana paling mudah menurutnya.


Sekali lagi saya minta maaf sekiranya ada yg terasa dengan bahasa yang ana guna, ana tidak bermaksud untuk membuka aib mana-mana pihak dalam hal ini, Sesungguhnya apa yang ana nyatakan diatas adalah benar menurut apa yang ana ketahui dan fahami, cukuplah Allah jadi saksi dalam soal ini , " Ya Allah aku mohon keampunanMu, Maafkanlah hambaMu yang lemah lagi dhaif ini, sungguh aku tidak pernah bermaksud untuk membenci hamba-hambaMu apatah lagi ingin membuka aib mereka, maha suci engkau ya Allah, engkau lebih mengetahui, bahwa semuanya itu bukanlah tujuan kehidupanku, kerna tujuan hidupku adalah semata-mata berharap keredhaan dan keberkatan hidup dariMu, ameen Ya Allah !!! "


Semoga dapat difahami dengan lebih baik dan jelas agar tiada yg menuduh dan menfitnah tanpa usul periksa. Wallahu A'lam !!! (",)  
  

Hamba Ilahi : Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi .


Sumber Rujukan :

1) http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-rakaman-lagu-lagu-nasyid-berbentuk-doa.

2)  Haqaiq an al-Tasawuf , Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah Taala. Fi Bab Zikr, Nasyid Dan     Sima' Di Masjid, 141- 147 ( Terjemahan Bahasa Melayu Oleh Mustafa Hussain At-Taib ).

3) Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi. al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273.

4) Syeikh Dr Ali Al-Jumah Mufti Mesir, Kitab Al-Bayan, Lamma Yasghilu Azhan. Miatu Fatwa liroddu ahamma syubhah al-khorij wa lam syamilu dakhil, fi Al-bab hukmu Sima' Al-Ghina, 364. 

5) Nuzum Islamiyyah M/S 140/141 TAjuk ke 4 Wa Min Riyadir Ruhiyah ( Al-Ghina ).


6) Syarah Imam An-Nawawi, Syarah Hadis 40. Arbain An-Nawawi. m/s: 341/342.

7) ( Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, karangan al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani Jilid 10, m/s 442. )

8) ( Ihya Ulumuddin, Karangan Imam Al-Ghazali Jilid 2 m/s: 242 )

Tuesday, October 5, 2010

Sajak, Ilmu Tinggi Akhlak Jauh Sekali !

Islam Akhlaknya Mulia, Tuturnya Indah Tidak Mencela  !!!
Sajak, Ilmu Tinggi Akhlak Jauh Sekali !

Saudaraku, Jika Ilmumu Tinggi,
Tapi Akhlak Dan Adab Engkau Tidak Miliki,
Jangan Meninggi Diri Mendongak Langit Yang Tinggi,
Sebab Itu Bukan Sifatnya Nabi.


Nabi Tidak Menghina Dan Mengeji,
Bahkan Mempunyai Akhlak Terpuji,
Suka Bertaubat Setiap Hari,
Lidah Sentiasa Basah Berzikir Memuji Ilahi.


Kalau Mahu Jadi Hamba Allah Yang Elok Pekerti,
Contohilah Akhlak Peribadi Nabi,
Dan Syukurilah Nikmat Yang Diberi,
Hidupmu Pasti Tenang Menuju Akhirat Kekal Abadi.


Saban Hari Acap Kali Allah Menguji,
Ada Yang Berkeluh Dan Ada Yang Sabar Menanti Hikmah Diuji,
Ingatlah, Hidup Ini Adalah Ujian Dan Perjuangan Sehingga Mati,
Allah Mahu Menguji Siapa Yang Terbaik Amalan Dan Bakti.

 
Jangan Bermimpi Di Dunia Fantasi,
Engkau Bukan Berada Di Tempat Yang Abadi,
Engkau Berada Di Tempat Ibarat Wanita Tua Dihiasi Berseri,
Jangan Kau Leka Walau Seketika Berzikir Memuji Ilahi.


Akhlak Nabi Mesti Amalkan Walaupun Kelihatan Asing Di Kurun Ini,
Sebab Hari Ini Ramai Insan Berilmu Tapi Akhlak Sungguh Jauh Sekali,
Adab Tidak Menjadi Amalan Walaupun Mengaji Tinggi,
Semakin Tinggi Ia Mengaji Semakin Angkuh Meninggi Diri. 


Astaghfirullah Al-Azhim Aku Mohon Ampun PadaMu Ilahi,
Jauhi Aku Dari Bersikap Sombong Meninggi Diri,
Jadikan Ilmu Yang Kau Anugerahkan Bermanfaat Merendah Diri,
Apalah Erti Ilmu Tinggi Tapi Akhlak Tidak Menghiasi Diri...


Ingatlah Insani !!!


Hari Ini Ramai Yang Mengaku Ada Ilmu Dalam Diri,
Menuntut Ilmu Disana Sini, Sibuk Memikir Masalah Itu Dan Ini,
Bila Berhukum Mengambil Dalil Quran Dan Sunnah Nabi,
Tapi Akhlak Nabi Tidak Diambil Sebagai Amalan Diri.

 
Sehingga Orang Yang Alim Bermusuh Sesama Sendiri,
Saling Menegakkan Hujah Kebenaran Pertahanan Diri,
Quran Dan Hadis Dijadikan Hukum Sendiri,
Tapi Akhlak Dan Adab Baginda Tidak Dicontohi.

 
Mendakwa Kebenaran Hak Milik Kami,
Orang Tidak Sebulu Dicaci Dan Dihukumi,
Mendakwa Kamilah Benar Menurut Sunnah Nabi,
Selain Kami Itulah Bida'ah Dan Mesti Ditumbangi.

 
Inilah Sikap Manusia Kala Kaki Mendaki Gunung Yang Tinggi,
Diberi Ilmu Tapi Tidak Membawa Takut Pada Ilahi,
Semakin Tinggi Ia Mendaki Semakin Menghina Bawahan Dan Mencaci,
Semakin Mengangkat Diri Memusuhi Insani.
 

Ingatlah, Rasulullah Di Utus Penyempurna Akhlak Islami,
Membawa Rahmat Ke Seluruh Alam Ini,
Membawa Khabar Gembira Kepada Manusiawi,
Yang Beriman Dan Bertakwa Kepada Ilahi.


Bukan Diutus Menghukum Manusiawi Sesuka Hati,
Bahkan Menyantuni Dengan Akhlak Budi Pekerti,
Membawa Khabar Azab Sengsara Yang Ngeri,
Bagi Manusia Yang Derhaka Melanggar Perintah Ilahi. 


Saudaraku, Akhir Zaman Teguhkan Agama Dalam Diri,
Akhlak, Iman Dan Takwa Mesti Menghiasi Peribadi,
Ibarat Menggenggam Marak Bara Api,
Inilah Umat Yang Disayangi Allah Dan Dirindui Nabi Di Zaman Ini.


Sajak, Ilmu Tinggi Akhlak Jauh Sekali ! 


Nukilan Hamba Ilahi, Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Kamarudin Toyo Nama Diberi,
Menuntut Ilmu Di Universiti Al-Azhar Bumi Barakah Para Nabi.


Saturday, October 2, 2010

Sajak, Kerana Ilmu !!!!

Bismillahirrahmanirrahim...

Allahumma solli ala saidina Muhammad s.a.w...


~ Kerana Ilmu ~



" Ya Allah Kerana Ilmu Aku MengenalMu,
Kerana Ilmu Aku Dapat Mengenal SifatMu...
Kerana Ilmu Aku Mengenal NabiMu Memiliki Sempurna Ilmu,
Al -Quran Dan Sunnah Peninggalan RasulMu ,
Kerana Ilmu Aku Mencintai Para Ulama'Mu,
Kerana Ilmu Aku Merantau Mengaji IlmuMu.

Aku Khuatir Jika Sudahku Dapatkan Ilmu,
Aku Suka Menyalahkan Dan Menghukum Secara Melulu,
Aku Takut Kerana Ilmu Aku Suka Berdebat Pada Ahli Ilmu,
Aku Takut Jika Kerana Ilmu Juga Aku Bangga Dengan Diriku...
Dan Tidak Beradab Serta Berakhlak Sesama HambaMu ... 

Aku Berlindung PadaMu Ya Robb !!!
Jadikanlah Ilmu Tersebut Sebagai Panduan Diriku,
Untuk Membina Akal Yang Tinggi Memahami Hikmah TakdirMu,
Dan Kerana Ilmu Juga Aku Bersifat Minda Terbuka Mengkaji Ilmu,
Bukan Minda Yang Sempit Tertutup Terpaku,
Agar Aku Beroleh Kecemerlangan Duniawi Dan Ukhrawiku,


" Aku Tidak Menyangka Kerana Ilmu Yang Engkau Anugerahkan,
Aku Leka Seketika MengingatiMu,
Sedangkan Engkau Tidak Pernah Lupa Padaku,
Aku Tidak Menyangka Oleh Kerana Ilmu 
Aku Sibuk Memikirkan Sesuatu Masalah HambaMu,
Sehingga Aku Lalai Menilik KesempurnaaMu 
Serta Sifat Kehambaan HambaMu.



" Janganlah Engkau Biarkan Aku Memiliki Hati Yang Sibuk Dengan Masalah Ilmu 
Sehingga Aku Membenci HambaMu... 

Lindungi Aku, 
Bersihkan Hatiku... 

Sungguh Aku HambaMu Yang Lemah, Janganlah Hendaknya Kerana Ilmu,
Aku Menganggap Aku Sahaja Yang Pandai  Hrbat Dan Berilmu.. 
Sedangkan Yang Maha Pandai, Maha Hebat Dan Maha Berilmu Hanyalah MilikMu... 


" Kerana Ilmu, Aku Melihat Ramai Manusia Yang Tidak Tahu, 
Namun Aku Menyintai Mereka Kerana Mereka HambaMu 
Dan Aku Mendoakan Agar Mereka Juga Bisa Memiliki Ilmu
Seperti Apa Yang Engkau Fahamkan PadaKu... 
Kerna Kejahilan Tidak Tahu Itu Merupakan Sifatku 
Sewaktu Engkau Belum Memberi Hidayah Padaku..."


" Kerana Ilmu, 
Aku Melihat Ramai HambaMu Yang Engkau Anugerahkan Ilmu,
Dan Ilmu Itu Pula Mereka Manfaakan Untuk Dirinya Sendiri Dan Orang Lain Semata-Mata Mengharap RedhaMu... 
Aku Menyintai Mereka Dan Aku Ingin Jadi Seperti Mereka Wahai Tuhanku."


" Kerana Ilmu, Aku Juga Melihat Ramai Yang Sombong Dan Berbangga... 
Aku Berlindung PadaMu Ya Robb Dari Sifat Itu !!! "


" Kerana Ilmu Ada Juga Yang Semakin Tunduk Tawadhuk... 
Kurniakan Kepadaku Sifat Ini Ya Robb !!!
Kerana Ilmu Juga Ada Yang Semakin Taat KepadaMu... 
Anugerahkan Aku Ya Robb !!!
Kerana Ilmu Juga Ada Yang Semakin Cinta Dan Rindu KepadaMu... 
Hadiahkan Kepadaku Perasaan Ini Ya Robb !!!"


" Ya Allah, Aku Mohon KepadaMu, 
Jadikan Ilmu Yang Engkau Fahamkan Dapat MendekatiMu,
Bertakwa DenganMu, 
Mencontohi RasulMu, 
Semakin Dekat Dengan AkhiratMu
Dan Berharap Kepada Pertemuan DenganMu...
Jangan Kau Jadikan Ilmu Tersebut Sebagai Fitnah Istidraj Yang Menyebabkan Aku Semakin Jauh DenganMu, 
Semakin Sombong Dengan MakhlukMu...



Ya Allah...Ya Hannan.. Ya Mannan...

" Sungguh Pengakuan Cinta Rinduku PadaMu 
Sangat-Sangat Menguji Kesetiaanku...
Sungguh Sengit Aku Menghadapi Musuh Nafsu Dan Syaithan Menggodaku...
Kadang-Kadang Aku Rasa Tewas Sukar Membentengi Diriku...
Namun Aku Redha Dan Berserah PadaMu... 
Aku Mendapat Kebahgiaan dan ketenangan Di Situ.
Tolongi Aku Melawan Nafsu Dan Syaithan Itu Selalu Ya Robb !!!"



" Ya Allah Kerana Ilmu Jangan Sombongkan Aku...
Aku Takut PadaMu..
Kerana Ilmu Jangan Alpakan Asal Usul Taraf Kehambaanku... 
Aku Risau Semuanya Itu..
Kerana Ilmu Rendahkan Diriku...
Kerana Itu Selayaknya Buatku Sebagai Hamba KepadaMu...
Kerana Ilmu Aku Mohon Pengetahuan MakrifatMu... 
Agar Selalu MemujiMu...
Kerana Ilmu Juga Aku Mohon KeredhaanMu.... 
Kerna Itu Matlamatku...
Pimpinlah Aku Agar Kerana Ilmu Aku Selalu Pandai MembesarkanMu..."



" Wahai Allah... Engkau Melihat Dan Mendengar Rintihanku...
Aku Mohon PadaMu.. 
Ajarkanlah Aku Sesuatu Ilmu Yang Boleh Menyatukan 
Ummat Islam Di Akhir Zaman Wasilah Daripada Ilmu Pemberianmu ...
Ajarkanlah Aku Sesuatu Ilmu Yang Membahgiakan Diriku 
Dan Orang Yang Berada Disekitarku...
Ajarkanlah Aku Ilmu Islam Yang Dapat Memanfaatkan Diriku
Kepada Ummat Islam Akhir Zaman...
Ajarkanlah Aku Sesuatu Ilmu 
Yang Bisa Diterima Dan Mudah Diamalkan Untuk Menggapai Redhamu... "




Ya Alim... Ya Hakim...  Ya Rashid....

Engkau Maha Mengetahui... 
Kurniakanlah Kepadaku Sedikit Pengetahuan Yang Membawa Hatiku 
Selalu Mengharap Rahmatmu...
Engkau Maha Bijaksana... 
Kurniakanlah Kepadaku Sedikit Kebijaksanaan Yang Sesuai Dengan Kehidupanku 
Dan Orang-Orang Disekitarku...
Engkau Maha Memberi Hidayah Petunjuk..
Kurniakanlah Kepadaku Petunjuk Dan HidayahMu 
Agar Selalu Berada Diatas Landasan KebenaranMu...  



Perkenankanlah Wahai Tuhanku... Ameen Ya Salam, Istazjib Ya Allah !!!


Hamba Ilahi : Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.




Related Posts with Thumbnails