Sunday, November 28, 2010

Syeikh Idris Al-Marbawi ( Ulama' Melayu Al-Azhar )


Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi, AMP (10 Mei 1896- 13 Oktober 1989) ialah seorang tokoh di dalam bidang persuratan yang tidak asing lagi bukan sahaja di Nusantara, malah di Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang bahasa Arab, ilmu Hadith, tafsir dan fiqah. Kamus Al-Marbawi, hasil nukilannya adalah kamus Arab-Melayu yang terunggul sekali di Nusantara sehingga hari ini.

Riwayat hidup

Syeikh Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Dzulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah mampu menghafal kitab suci Al-Quran sebanyak 16 juzuk, di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1323 Hijrah, beliau pulang ke Malaysia bersama-sama keluarga.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.



Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan berjaya memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali. Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.

Anugerah dan sumbangan

Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.

Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.

Beliau adalah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.
Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.

Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.

Peninggalan

Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.
Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Hasil karya

  1. Kamus al-Marbawi
  2. Kitab Bahrul Mazi
  3. Tafsir Quran Al Marbawi
  4. Tafsir Surah Yasin
  5. Tafsir Nurul Yaqin
  6. Tafsir Fathul Qadir
  7. Kitab Bulughul Maram
  8. Kitab Jami'ul Ulum
  9. Usulul Islam
  10. Nizamul Hayah
  11. Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.

    Rujukan :
    http://ms.wikipedia.org/wiki/Syeikh_Idris_al-Marbawi

    Zuyyin Dah Setengah Tahun, Alhamdulillah (",)


    Bismillahirrahmanirrahim

    Allahumma Shalli Ala Saidina Muhammad Rasulillah Shallallahu Alaihi Wa Sallam Wa Ala Alihi Wa Sahbihi Wa Sallam.
    Hari Pertama Zuyyin (",)
    Hari KeTujuh Zuyyin (",)


    Sebulan Dah Zuyyin, Alhamdulillah (",)

    Dua Bulan Sudah, Alhamdulillah (",)

    Zuyyin Dah 3 bulan Alhamdulillah (,)

    Zuyyin Dah 4 bulan Alhamdulillah (",)
    Alhamdulillah, Nak Jadi Wanita Sholehah (",)
    Alhamdulillah Zuyyin Dan 5 Bulan,
    Alhamdulillah Ala Kulli Nikmah Wa Ala Usratil Mahmudah !!!
    Setengah Tahun Dah, Alhamdulillah, (",) ( Zuyyin Bersama Ummi N Abi )




    Alhamdulillah Wa Syukrulillah Azza Wa Jalla... Serikandiku Qurratul Ain Telah Pun Berumur Genap Setengah Tahun ( 6 Bulan ) 23/11/2010.

    Semoga Qurratul Ain Sentiasa Besar Dan Membesar Dengan Keimanan Dan Kasih Sayang Allah Subhanahu Wa Taala InsyaAllah ameen Ya Allah !!!


    Serangkap Lirik Lagu Buat Qurratul Ain !!! 

    " Ku Kan Mendidikmu Dengan Ddidikan Kasih Dan Sayang.... Ilahi !!! "


    Video Lagu Qurratul Ain !!!

    Monday, November 22, 2010

    Orang Yang Disayangi Ilahi,



    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Perilakunya Mencontohi Nabi,
    Tindak Tanduknya Dari Allahu Robbi,
    Cantik Adabnya Lembut Menghalusi Diri,
    Indah Wajah Cahaya Wudhu Yang Diberkati.

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Ibadahnya Sangat Banyak Sekali,
    Lidahnya Basah Zikir Memuji,
    Hatinya Terpaut Pada Allah Tak Terhenti,
    Sangat Tawadhuk Merendah Diri..

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Makan Minumnya Berhati-Hati,
    Menjaga Qalbu Dari Diracuni,
    Nafi Cinta Dunia Leka Janji Illahi.
    Jauhi Penyakit Wahan Takutkan Mati,

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Sahabatnya Sebagai Cermin Diri,
    Dikenali Baik Dipelusuk Negeri,
    Penduduk Langit Dan Penduduk Bumi,
    Mahsyur Ketulusan Amalan Bakti Untuk Ilahi.

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Siangnya Ibarat Matahari Menyinari,
    Terpancar Nur Hidayah Dari Ilahi,
    Sibuk Berdakwah Halaqah Di Sana Sini,
    Amanah Digalas Senantiasa Diadili.

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Malamnya Indah Disinari Tasbih,
    Tunduk Sujud Ke Pangkuan Illahi,
    Melantunkan Quran Melalui Tadabburi,
    Berdoa Merintih Berharap Hidup Diredhai.

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Ujian Sentiasa Sabar Dihadapi,
    Nikmat Sikit Dan Banyak Disyukuri,
    Takdir Diberi Terima Diredhai,
    Menyayangi Makhluk Tunjuk Simpati,

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Melihatnya Saja Ingat Robbul Izzati,
    Berdamping Dengannya Tenang Sekali,
    Adab Dan Sopan Menjadi Koleksi Diri,
    Mengambil Dunia Bekal Habuan Ukhrawi.

    Orang Yang Disayangi Ilahi,
    Bicaranya Hikmah Indah Skali,
    Menuturkan Kata Kalam Hakiki,
    Berdakwah Bukan Untuk Disanjungi,
    Tanggungjawab Abdi Ilahi Khalifah Di Bumi,


    Pencinta Ilahi !!! 

    Inilah Orang Yang Dicintai Dan Disayangi Allah Al-Haq !!! (",)

    " Ya Allah Jadikanlah Kami Diantara Golongan-Golongan Yang Engkau Kasihi Lagi Kau Cintai, Ameen Ya Allah Birahmatika Ya Arhamarrahimin, Ameen !!! "



    Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
    Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
    Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
    Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.

    Monday, November 15, 2010

    Pembahagian Hukum Menuntut Ilmu !!!


    Bismillahirrahmanirrahim...

    Allahumma Shalli Ala Saidina Muhammad Shallallahu Alaihi Wa Sallam Wa Ala Alihi Wa Sahbihi Ajmain.


    Saya ditanya tentang ilmu dan bagaimana cabang hukumnya yang menjadikan ianya wajib, sunat dan sebagainya. kepada sahabat yang bertanya di sini saya berikan sedikit perkongsian ilmu berkenaan soalan dan jawapan yang dimahukan, mungkin ini cuma ringkasan sahaja.

    Ilmu dari segi hukum syara' terbahagi kepada tiga bahagian :
    1. Ilmu yang dituntut mempelajarinya.
    2. Ilmu yang ditegah daripada mempelajarinya.
    3. Ilmu yang sunat mempelajarinya.

        1) Ilmu yang dituntut mempelajarinya terdiri daripada dua bahagian :

        • Fardhu Ain.

        Iaitu perkara yang tidak terlepas daripada seorang mukallaf kecuali dia sendiri yang melaksanakannya. Sebelum menyebut ilmu-ilmu yang menjadi fardhu ain ke atas setiap mukallaf, semestinya saya perlu menjelaskan sebahagian daripada kaedah asas terhadap tajuk ini.

        Kaedah pertama : " Tidah sempurna sesuatu kewajipan kecuali dengannya, maka ianya dikira wajib."
        Kaedah kedua : " Sesuatu ilmu adalah mengikut hukum maklum ( nilai ilmu itu sendiri )."


        Ilmu yang digunakan untuk melaksanakan perkara fardhu dikira fardhu. Ilmu yang digunakan untuk melaksanakan perkara wajib maka dikira wajib. Begitu juga ilmu yang digunakan untuk melaksanakan perkara sunat ia dikira sunat. Berdasarkan kaedah-kaedah ini saya akan menyenaraikan beberapa ilmu fardhu ain ke atas setiap mukallaf.

        1. Mempelajari aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah beserta dalil-dalil ijmak mengenai setiap masalah keimanan agar terkeluar daripada kongkongan taqlid dan untuk menjaga keimanan ketika berhadapan dengan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan mulhid dan sesat.
        2. Mempelajari perkara-perkara yang diperlukan oleh mukallaf untuk menunaikan kefardhuan ibadat seperti solat, zakat, haji, puasa dan sebagainya.
        3. Sesiapa yang bermuamalat dengan muamalat jual beli, sewa menyewa dan nikah cerai, menjadi fardhu ke atasnya mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan bagi membolehkannya menjauhi perkara haram dan melazimi batasan-batasan syara'.
        4. Mempelajari perilaku hati seperti tawakkal, takut, redha dan sebagainya kerana sepanjang umur setiap muslim pasti menempuhinya.
        5. Mempelajari akhlak yang baik dan mengetahui sifat-sifat yang buruk supaya dia dapat melaksanakan akhlak yang baik seperti tawakkal kepada Allah, redha, pasrah kepadanya, lemah lembut dan sebagainya. Begitu juga supaya dia dapat menjauhi sifat-sifat buruk seperti takabbur, tipudaya, bakhil, hasad dengki, riya' dan sebagainya.
        Dengan demikian dia dapat melawan dirinya untuk meninggalkan sifat-sifat keji tersebut berdasarkan kepada mujahadah merupakan fardhu ain keatas setiap mukallaf. Mujahadah tersebut hanya akan berlaku apabila dia mengetahui perangai-perangai keji dan terpuji, serta megetahui jalan mujahadah yang dilalui oleh tokoh-tokoh sufi. Tentang perkara ini Abu Hasan Asy-Syazuli rahimahullah taala berkata :  

        " Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak menyelami ilmu kami ini ( tasawuf ) maka dia akan mati dalam keadaan mengekali dosa-dosa besar tanpa disedarinya."

        Dan hendaklah mengetahui bahawa dosa besar dan perkara keji itu terbahagi kepada zahir dan batin. Zahir seperti zina, minum arak, batin seperti takabbur, nifaq. Kerana itulah Allah ta'ala melarang kita melakukan kedua-duanya melalui firmannya :  " Dan janganlah kamu menghampiri perkara-perkara keji samaada zahir mahupun batin." ( Surah al-an'am: 151 )

        Orang yang melakukan perkara keji yang zahir akan bertaubat kerana dia mengetahui bahayanya. Kadang-kadang orang yang melakukan perkara keji yang tersembunyi akan memikirkan untuk bertaubat dari dosa-dosa itu disebabkan kejahilan dan kelalainya terhadap hukum tersebut.
        •  Fardhu Kifayah.

        Iaitu apabila dilakukan oleh sesetengah pihak maka gugurlah taklif terhadap setengah pihak yang lain tetapi apabila tidak ada seorang pun yang melaksanakannya, semua pihak akan berdosa.

        Ilmu fardhu kifayah ialah apa yang diperlukan untuk mengislah ummah seperti mendalami ilmu feqah melebihi kadar keperluan. ( Oleh itu menjadi suatu kemestian bagi setiap negeri mempunyai mufti yang melaksanakan urusan ini sebagai fardhu kifayah yang merupakan rujukan orang ramai terhadap urusan agama mereka, dengan ini gugurlah dosa orang lain.) Demikian juga ilmu Tafsir, Hadis, Usul Fiqh dan Usul I'tiqad. Termasuk juga ilmu hisab, kedoktoran, perkilangan, persenjataan untuk menghadapi musuh dan sebagainya.

        2) Ilmu yang ditegah mempelajarinya :

        a) Antaranya ialah memperincikan pengajian mazhab-mazhab yang sesat, ideologi yang menimbulkan keraguan serta aqidah yang menyeleweng dengan niat bukan bertujuan menyanggah dan menolak bahayanya. Sebaliknya jika mempelajari ilmu tersebut dengan tujuan untuk menjelaskan penyelewengan, menolak syubhah, memperbetulkan aqidah atau sebagai benteng kepada agama, ia merupakan fardhu kifayah.

        b) Ilmu Nujum mengetahui tempat sesuatu barang yang dicuri, tempat harta simpanan, tempat seseorang tersesat dan sebagainya sebagaimana menurut firasat mereka. Ia termasuk dari kalangan tukang tenung. Syara' telah pun mendustakan perbuatan mereka dan mengharamkan daripada membenarkan mereka. Sebaliknya, mempelajari ilmu nujum - Ilmu Kaji Bintang - untuk pengajian ilmiyah serta mengetahui waktu solat dan kiblat itu dibolehkan.

        c) Ilmu sihir tapi apabila dipelajari dengan tujuan berwaspada daripadanya ia dikira harus sebagaimana kata-kata :  " Aku mengetahui kejahatan bukan untuk melakukannya tetapi untuk berlindung daripadanya. Sesiapa yang tidak mengetahui kejahatan pasti terjebak ke dalamnya."


        3) Ilmu yang sunat dipelajari :  

        Antara ilmu yang sunat dipelajari ialah mengetahui fadhilat-fadhilat amalan tubuh badan dan juga amalan hati, mengetahui perkara nawafil, sunat dan makruh, mengetahui fardhu kifayah, mendalami ilmu feqah serta cabang-cabangnya, juga aqidah beserta dalil-dalilnya secara terperinci dan banyak lagi.


        Melalui penjelasan tersebut, telah nyata kepada kita hukum ilmu serta kepentingannya dalam agama Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Semoga entry ini bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang berhajat dan memerlukan kefahaman dalam masalah hukum ilmu di dalam Islam.

        Semoga Allah memberkati segala ilmu yang kita pelajari dan mudah untuk mengamalkannya semata-mata mengharap keredhaan daripada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti, ameen Ya Allah !!!



        Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
        Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
        Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
        Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.


        Sumber rujukan :

        Haqaiq Tasawuf Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah Ta'ala.
        Terjemahan Al-Quran, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.
        Hadis 40 Imam An-Nawawi Rahimahullah Taala.


        Tuesday, November 9, 2010

        Mahabbah Nur Ilahi !!!



         Mahabbah Nur Ilahi !!!


        Mencari Cinta Nan Suci,
        Tanpa Pengaruh Nafsu Duniawi,
        Amat Sukar Jalan Berduri,
        Mudah Bagi Yang Terpilih.


        Sudah Lama Ku Mencari,
        Cinta Suci Tiada Bertepi,
        Sekian Lama Ku Menanti,
        Cinta Murni Pemilik Hati,


        Ya Allah, CintaMu...
        Sungguh Indah Sekali,
        Ya Rahman, KasihMu,
        Sungguh Menyenang Hati.


        Titisan HidayahMu Penyejuk Jawarih Ini,
        Dingin Menyucuk Bagai Dibasahi,
        Cuba Dekati Mewarnai Sanubari,
        Rahmat Dilimpahi Umpama Disirami,


        Ya Allah, Redhamu Ku Ingini,
        Bertemu DenganMu Impian Hati,
        Iringi Rohani Melalui Kasih Suci,
        Menerusi Cahaya Mahabbah Nur Ilahi..




        Lirik Ciptaan Hamba Ilahi :


        Kamarudin Toyo As-Sabahi,
        Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
        Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
        Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.





         
        Lirik ni dikeluarkan di artikel ' i luv Islam'. link: http://www.iluvislam.com/inspirasi/sinar-hidayah/3277-mahabbah-nur-ilahi.html

        Friday, November 5, 2010

        Ujian Hidup !!!

         

        Rasulullah SAW pernah menjawab pertanyaan Saad bin Abi Waqash mengenai tingkatan ujian.




        قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاَءً قَالَ « الأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ فَيُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ دِينُهُ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلاَؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِى دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِىَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ

        Aku (Sa'ad bin Abi Waqash) bertanya: "Ya Rasulullah! Siapakah yang paling berat Ujiannya?" Beliau menjawab, "Para Nabi, kemudian orang-orang yang semisalnya, kemudian orang yang semisalnya. Seseorang akan diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, maka ujiannya akan bertambah berat. Jika agamanya lemah maka akan ...diuji sesuai kadar kekuatan agamanya." (HR. Tirmidzi, An-Nasai, Ibnu Majah)
        Abdurrahman bin Auf Radhiallahu Anhu pernah menggambarkan betapa beratnya ujian, dan betapa banyaknya orang yang tidak lepas menghadapinya:

        ابْتُلِينَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِالضَّرَّاءِ فَصَبَرْنَا ثُمَّ ابْتُلِينَا بِالسَّرَّاءِ بَعْدَهُ فَلَمْ نَصْبِرْ

        Kami diuji dengan kesusahan-kesusahan (ketika) bersama Rasulullah SAW dan kami dapat bersabar. Kemudian kami diuji dengan kesenangan-kesenangan setelah beliau wafat, dan kami pun tidak dapat bersabar. (HR. Tirmidzi)


        Allah SWT berfirman:



        وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

        Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan. (Surah Ali Imran : 186)



        Ujian Hidup 

        Ujian Hidup Kasih Sayang Allah,
        Semua Hamba Diuji Seadanya,
        Tidak Kira Miskin Dan Kaya,
        Akan Mendapat Mehnah Selayaknya..

        Tidak Perlu Berasa Sedih Hati,
        Terhadap Takdir Ketentuan Ilahi,
        Kerana Dia Ingin Menyantuni,
        Membajai Iman Santapan Rohani .

        Bersabarlah Ketika Di Uji,
        Dengan Berbagai Cobaan Ilahi,
        Itu Tanda Dia Mengasihi,
        Semuanya jadi Kifarah Duniawi,

        Orang Yang Sabar Ganjarannya Tinggi,
        Pahala Besar Syurga Menanti,
        Sayang Allah Tidak Terperi,
        Itu Tanda Dia Mengasihi,

         Banyakkan Istighfar Mohon Keampunan,
        Redha Dan Sabar Dengan Ketentuan,
        Tiada Suatu Yang Allah Jadikan,
        Melainkan Ada Hikmah Dari Tuhan.

        Tabahkan Hati Muhasabah Diri,
        Ingatlah Tugas Khalifah Di Bumi,
        Tujuan Hidup Mengabdikan Diri,
        Agar Selamat Di akhirat nanti,

        Segeralah Pulang Ke Pangkuan Tuhan,
        Bermunajat Di Sepertiga Malam,
        InsyaAllah Hati kan tenang,
        Dan Beroleh Kebahagiaan. 


        Lirik Ciptaan :
        Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
        Penuntut Imu Warisan Nabi,
        Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
        Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.

        Thursday, November 4, 2010

        Sajak: Ujian Kehidupan Dan Mehnah Alam


        Firman Allah S.W.T : ”Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri Beriman dan Bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah Al A’raf, 7: 96)

        Ujian Kehidupan Dan Mehnah Alam


        Saudara, Sejak Dua Menjak ni kita melihat dunia 
        Semakin hampir dengan penghujungnya,
        Sudah banyak memperlihatkan kekurangan dan kelemahannya,
        Sudah banyak memberi aksi kebesaran Tuhannya, 
        Sudah seringkali memberikan teguran melalui bencana alamnya.

        Adakalanya air laut melambung ke daratan,
        Adakalanya air sungai memenuhi ruangan taman jalanan,
        Adakalanya gunung memecahkan batu berapi di perkampungan,
        Adakalanya tanah mengeluarkan bebanan keruntuhan,
        Semuanya ini adalah tanda kekuasaan tuhan pencipta alam,
        Semua yang berlaku mengikut kehendak tuhan,
        Dirancang Sejak Azali Sebelum Terciptanya Alam,
        Mungkin kita terlupa tujuan kehidupan insan,
        Bahwa Hidup dan mati adalah untuk Tuhan semesta alam,
        Kemudian Allah beri tazkirah peringatan melalui bencana alam,
        agar kita sedar, ingat dan kembali kepada Tuhan.

        Air, laut, gunung, tanah, api, bumi dan langit,
        Semua ciptaan tuhan yang diciptakan berperanan,
        Peranannya supaya kita mengingati betapa agungnya tuhan,
        Tapi, kita lupa dalam menilai peranan ciptaan tuhan semesta alam,
        Sehingga tuhan memberikan pengajaran disegenap ciptaan,
        Air, laut, gunung, api, tanah bumi dan langit ciptaannya,
        Semua tunduk dengan suruhan Tuhan yang menjadikan,

        Masing-masing memberikan respon dengan kemarahan,
        Masing-masing menunjukkan kehebatan serta kekuatan,
        Sehingga manusia dan haiwan lari bertempiaran ketakutan,
        Ada yang mati dalam keadaan mengerikan dan menginsafkan,
        Ada juga yang teguh berdiri bukti kekuasaan Allah Ar-Rahman.

        Saudaraku, ingatlah pesanan nabi Muhammad dalam sabdaan,
        Bahwa petanda kiamat akan nampak di akhir zaman,
        Supaya kita segera kembali kepada tuhan sekalian alam,
        Bukan semakin rakus merebut habuan keduniaan,

        Kuasa yang ada di tangan bukan untuk dimegah-megahkan,
        Bukan untuk di banga-banggakan dengan mengatakan,
        Akulah hebat di zaman teknologi kemodenan,
        Akulah hero dalam setiap perjuangan,

        Tapi hendaklah kamu sedar bahawasanya,
        Semuanya itu adalah amanat daripada Allah
        Yang bakal dipertanggungjawabkan di hari pembalasan,
        Gunakanlah ia untuk mentaati suruhan Tuhan,
        Agar kita selamat dari bencana dan musibah ujian,
        Agar kita beroleh kedamaian dan ketenangan yang berpanjangan,


         Saudaraku,

        Ujian Hidup Adalah Kasih Sayang Daripada Allah..
        Semua Hambanya Diuji dengan Seadanya..
        Tidak Kira Miskin Ataupun Yang Kaya,
        Akan Mendapat Mehnah Yang Selayaknya..

        Tidak Perlu Berasa Sedih Hati dan dukacita,
        Terhadap Kekurangan Diri dan kejahilannya,
        Kerna Allah Ingin Menaik Jati Diri kehambaan,
        Sebagai Makanan Iman Santapan kerohanian.

        Bersabarlah Ketika Di Uji dengan berbagai cobaan,
        Itu Tanda Allah Mengingati dan sayang,
        Sayang Allah Tidak Terperi walaupun ujian keberatan,
        Semuanya itu Kiffarah Duniawi meringankan azab pembalasan..

        Orang Yg Sabar Ganjarannya Tinggi di sisi Allah,
        Pahala Besar Syurga Menanti di yaumul Qiamah,
        Sayang Allah Tidak Terperi walau ujian keberatan,
        Itu Tanda Dia Mengingati serta sayang.

        Saudaraku, Banyakkan Istighfar Mohon Keampunan,
        Redha Dan Pasrah Dengan Ketentuan Tuhan,
        Tiada Suatu Yang Allah Jadikan Di bumi tuhan,
        melainkan Disitu Ada Hikmah Rahsia Alam..

        Bersabar Dan Bermuhasabahlah,
        Ingatlah Tugas Anda Sebagai Khalifah,
        Tujuan Hidup Mengabdikan Diri Kepada Allah,
        Agar Selamat Di Dunia Dan Yaumul Qiamah,
        Segeralah Pulang Ke Pangkuan Rahmat Dan Maghfirahnya
        InsyaAllah Hidupmu Pasti Akan Beroleh Ketenangan Yang Bahagia !!!


        Sajak : Ujian Kehidupan Dan Mehnah Alam


        Hasil Nukilan :

        Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
        Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
        Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.
        Related Posts with Thumbnails