Monday, November 15, 2010

Pembahagian Hukum Menuntut Ilmu !!!


Bismillahirrahmanirrahim...

Allahumma Shalli Ala Saidina Muhammad Shallallahu Alaihi Wa Sallam Wa Ala Alihi Wa Sahbihi Ajmain.


Saya ditanya tentang ilmu dan bagaimana cabang hukumnya yang menjadikan ianya wajib, sunat dan sebagainya. kepada sahabat yang bertanya di sini saya berikan sedikit perkongsian ilmu berkenaan soalan dan jawapan yang dimahukan, mungkin ini cuma ringkasan sahaja.

Ilmu dari segi hukum syara' terbahagi kepada tiga bahagian :
  1. Ilmu yang dituntut mempelajarinya.
  2. Ilmu yang ditegah daripada mempelajarinya.
  3. Ilmu yang sunat mempelajarinya.

      1) Ilmu yang dituntut mempelajarinya terdiri daripada dua bahagian :

      • Fardhu Ain.

      Iaitu perkara yang tidak terlepas daripada seorang mukallaf kecuali dia sendiri yang melaksanakannya. Sebelum menyebut ilmu-ilmu yang menjadi fardhu ain ke atas setiap mukallaf, semestinya saya perlu menjelaskan sebahagian daripada kaedah asas terhadap tajuk ini.

      Kaedah pertama : " Tidah sempurna sesuatu kewajipan kecuali dengannya, maka ianya dikira wajib."
      Kaedah kedua : " Sesuatu ilmu adalah mengikut hukum maklum ( nilai ilmu itu sendiri )."


      Ilmu yang digunakan untuk melaksanakan perkara fardhu dikira fardhu. Ilmu yang digunakan untuk melaksanakan perkara wajib maka dikira wajib. Begitu juga ilmu yang digunakan untuk melaksanakan perkara sunat ia dikira sunat. Berdasarkan kaedah-kaedah ini saya akan menyenaraikan beberapa ilmu fardhu ain ke atas setiap mukallaf.

      1. Mempelajari aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah beserta dalil-dalil ijmak mengenai setiap masalah keimanan agar terkeluar daripada kongkongan taqlid dan untuk menjaga keimanan ketika berhadapan dengan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan mulhid dan sesat.
      2. Mempelajari perkara-perkara yang diperlukan oleh mukallaf untuk menunaikan kefardhuan ibadat seperti solat, zakat, haji, puasa dan sebagainya.
      3. Sesiapa yang bermuamalat dengan muamalat jual beli, sewa menyewa dan nikah cerai, menjadi fardhu ke atasnya mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan bagi membolehkannya menjauhi perkara haram dan melazimi batasan-batasan syara'.
      4. Mempelajari perilaku hati seperti tawakkal, takut, redha dan sebagainya kerana sepanjang umur setiap muslim pasti menempuhinya.
      5. Mempelajari akhlak yang baik dan mengetahui sifat-sifat yang buruk supaya dia dapat melaksanakan akhlak yang baik seperti tawakkal kepada Allah, redha, pasrah kepadanya, lemah lembut dan sebagainya. Begitu juga supaya dia dapat menjauhi sifat-sifat buruk seperti takabbur, tipudaya, bakhil, hasad dengki, riya' dan sebagainya.
      Dengan demikian dia dapat melawan dirinya untuk meninggalkan sifat-sifat keji tersebut berdasarkan kepada mujahadah merupakan fardhu ain keatas setiap mukallaf. Mujahadah tersebut hanya akan berlaku apabila dia mengetahui perangai-perangai keji dan terpuji, serta megetahui jalan mujahadah yang dilalui oleh tokoh-tokoh sufi. Tentang perkara ini Abu Hasan Asy-Syazuli rahimahullah taala berkata :  

      " Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak menyelami ilmu kami ini ( tasawuf ) maka dia akan mati dalam keadaan mengekali dosa-dosa besar tanpa disedarinya."

      Dan hendaklah mengetahui bahawa dosa besar dan perkara keji itu terbahagi kepada zahir dan batin. Zahir seperti zina, minum arak, batin seperti takabbur, nifaq. Kerana itulah Allah ta'ala melarang kita melakukan kedua-duanya melalui firmannya :  " Dan janganlah kamu menghampiri perkara-perkara keji samaada zahir mahupun batin." ( Surah al-an'am: 151 )

      Orang yang melakukan perkara keji yang zahir akan bertaubat kerana dia mengetahui bahayanya. Kadang-kadang orang yang melakukan perkara keji yang tersembunyi akan memikirkan untuk bertaubat dari dosa-dosa itu disebabkan kejahilan dan kelalainya terhadap hukum tersebut.
      •  Fardhu Kifayah.

      Iaitu apabila dilakukan oleh sesetengah pihak maka gugurlah taklif terhadap setengah pihak yang lain tetapi apabila tidak ada seorang pun yang melaksanakannya, semua pihak akan berdosa.

      Ilmu fardhu kifayah ialah apa yang diperlukan untuk mengislah ummah seperti mendalami ilmu feqah melebihi kadar keperluan. ( Oleh itu menjadi suatu kemestian bagi setiap negeri mempunyai mufti yang melaksanakan urusan ini sebagai fardhu kifayah yang merupakan rujukan orang ramai terhadap urusan agama mereka, dengan ini gugurlah dosa orang lain.) Demikian juga ilmu Tafsir, Hadis, Usul Fiqh dan Usul I'tiqad. Termasuk juga ilmu hisab, kedoktoran, perkilangan, persenjataan untuk menghadapi musuh dan sebagainya.

      2) Ilmu yang ditegah mempelajarinya :

      a) Antaranya ialah memperincikan pengajian mazhab-mazhab yang sesat, ideologi yang menimbulkan keraguan serta aqidah yang menyeleweng dengan niat bukan bertujuan menyanggah dan menolak bahayanya. Sebaliknya jika mempelajari ilmu tersebut dengan tujuan untuk menjelaskan penyelewengan, menolak syubhah, memperbetulkan aqidah atau sebagai benteng kepada agama, ia merupakan fardhu kifayah.

      b) Ilmu Nujum mengetahui tempat sesuatu barang yang dicuri, tempat harta simpanan, tempat seseorang tersesat dan sebagainya sebagaimana menurut firasat mereka. Ia termasuk dari kalangan tukang tenung. Syara' telah pun mendustakan perbuatan mereka dan mengharamkan daripada membenarkan mereka. Sebaliknya, mempelajari ilmu nujum - Ilmu Kaji Bintang - untuk pengajian ilmiyah serta mengetahui waktu solat dan kiblat itu dibolehkan.

      c) Ilmu sihir tapi apabila dipelajari dengan tujuan berwaspada daripadanya ia dikira harus sebagaimana kata-kata :  " Aku mengetahui kejahatan bukan untuk melakukannya tetapi untuk berlindung daripadanya. Sesiapa yang tidak mengetahui kejahatan pasti terjebak ke dalamnya."


      3) Ilmu yang sunat dipelajari :  

      Antara ilmu yang sunat dipelajari ialah mengetahui fadhilat-fadhilat amalan tubuh badan dan juga amalan hati, mengetahui perkara nawafil, sunat dan makruh, mengetahui fardhu kifayah, mendalami ilmu feqah serta cabang-cabangnya, juga aqidah beserta dalil-dalilnya secara terperinci dan banyak lagi.


      Melalui penjelasan tersebut, telah nyata kepada kita hukum ilmu serta kepentingannya dalam agama Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Semoga entry ini bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang berhajat dan memerlukan kefahaman dalam masalah hukum ilmu di dalam Islam.

      Semoga Allah memberkati segala ilmu yang kita pelajari dan mudah untuk mengamalkannya semata-mata mengharap keredhaan daripada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti, ameen Ya Allah !!!



      Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
      Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
      Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
      Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi.


      Sumber rujukan :

      Haqaiq Tasawuf Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah Ta'ala.
      Terjemahan Al-Quran, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.
      Hadis 40 Imam An-Nawawi Rahimahullah Taala.


      No comments:

      Related Posts with Thumbnails