Usai solat zohor berjemaah di Masjid al-Azhar, aku terpandang seorang kanak-kanak yang berada di barisan saf sebelahku. Dia menghulurkan tangannya bersalam denganku. Kemudian aku memandang wajahnya lama. Aku beri salam padanya.
"Assalamualaikum?"
"Waalaikumsalam." jawabnya.
Aku memandang tajam ke matanya yang kecil... mata kami bertentangan... ku lihat saja raut wajahnya yang berkulit coklat kehitaman... Dia terus mengajukan soalan dengan nada kehairanan.
"Kenapa???" sambil kening matanya kulihat terangkat.
"Awak Melayu?" tanyaku ingin kepastian.
"Ya."
"Alhamdulillah."
Aku rasa hairan budak sekecil ini bisa berbahasa melayu. Siapakah budak ini dalam hatiku bertanya... aku tidak puas hati, aku mahu tahu juga siapa sebenarnya budak ini.
" Awak orang Malaysia?"
Aku rasa hairan budak sekecil ini bisa berbahasa melayu. Siapakah budak ini dalam hatiku bertanya... aku tidak puas hati, aku mahu tahu juga siapa sebenarnya budak ini.
" Awak orang Malaysia?"
"Ya... saya orang Malaysia." aku terus tersenyum.
"Dari negeri mana?"
"Johor."
"Awak seorang saja?"
"Tak, bersama ayah. tuu...sana." dia memberikan isyarat menggunakan jari telunjuknya ke arah ayahnya yang berada di saf depan sebelah kiri.
Sebelum dia bertanya, aku sudah menjawab. "Abg belajar di sini."
"Tahu." jawabnya. Aku tersenyum mesra padanya. Aku teruskan pertanyaanku.
"Awak datang ke sini hanya sekadar ziarah Negara Mesir ka?"
"Tak. Saya belajar."
"Belajar di mana?"
"Markaz Nil." ( Markaz pengajian bahasa arab )."
"Mustawa berapa?"
"Mustawa 6."
Subhanallah.. aku memuji Allah terus menerus. Aku teruskan lagi pertanyaanku.
"Sampai bila mahu belajar di sini? sampai habis markaz nil ka?"
"Tak. InsyaAllah sampai masuk al-Azhar."
Subhanallah... Aku memuji Allah lagi dengan segala pujian yang banyak. Kerana keazaman budak kecil ini sungguh menakjubkan. Mungkin budak ini hanya berumur 9 tahun agaknya. Kanak-kanak ini adalah kanak-kanak yang hebat azamnya yang pernah ku temui. Lebih-lebih lagi dia seorang anak yang berasal dari Malaysia.
"Owh.. siapa namamu?"
"Saed Mubarak." Aku memuji Allah lagi dengan lafaz 'Subhanallah'. Namamu sangat cantik'. Aku memujinya dan mendoakan. " Moga mendapat ilmu yang barakah seperti maksud namamu ya!"
"Insya'Allah, syukran." jawabnya.
Kemudian aku berpesan padanya... "sentiasa memperbaharui niat kerana Allah dalam menuntut ilmu di sini ya!".
"InsyaAllah, syukran."
"Ok... kami dah nak jalan dah. Nanti kita jumpa lagi ya bang."
"InsyaAllah."
Kemudian aku mengangkat tanganku menadah dan berdoa kepada Allah menurut apa yang kurasakan sesuai buat budak kecil ini di suatu hari nanti dengan izin Allah insya'Allah.
"Ya Allah, sekiranya benar apa yang dikatakan oleh kanak-kanak ini, maka aku mohon pada-Mu jadikan anak ini anak yang bermanfaat bila mendapat ilmu di bumi Azhar ini suatu hari nanti. Dan berikanlah bantuan dan pertolongan padanya selama-mana dia menuntut ilmu di Bumi Azhar ini dan setelah kepulangannya nanti" Ameen Ya Allah!!!
.....................
Aku teringat kisah Ulama' muktabar yang pernah ku baca kisahnya di dalam permusafirannya menuntut ilmu sehingga ia digelar sebagai Imam Mujtahid yang sangat mahsyur keilmuannya. Beliau adalah Imam Asy-Syafie Rahimahullah Taala dan Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah Taala.
Imam as-Syafi’e yang dilahirkan di Gaza, Palestin pada tahun 150H (pada tahun yang sama Imam Abu Hanifah meninggal dunia). Ibu beliau telah memberikan galakan yang tinggi untuknya memperdalamkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama. Kerana itu Imam as-Syafi’e telah berhijrah ke Makkah pada usia yang masih muda dan di situlah beliau memulakan langkah untuk menuntut ilmu.
Makkah merupakan kota yang menjadi hati dan nadi bagi umat Islam di seluruh dunia, di situlah wahyu diturunkan dan tapak mula perkembangan Islam. Di situlah beliau menyesuaikan diri dengan suasana keilmuan di kota Makkah dan bergaul dengan para ulama yang terkenal untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu. Beliau telah duduk bersama-sama dalam majlis pengajian ilmu hadis dalam usia yang masih muda. Beliau menghafal al-Quran dan hadis-hadis semasa zaman kanak-kanak lagi.
Imam as-Syafi’e pernah berkata: “Aku telah menghafal Al-Quran semasa usiaku 7 tahun dan menghafal kitab al-Muwatta’ (kitab hadis karangan Imam Malik) ketika aku berusia 10 tahun.” Kata-kata ini diriwayatkan oleh salah seorang anak muridnya iaitu Imam al-Muzani.
Alam kanak-kanaknya telah disibukkan dengan menuntut ilmu dan beliau tidak membuang masa seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Setelah itu beliau meneruskan pengembaraan ilmunya ke kota Madinah untuk berguru dengan Imam Malik bin Anas dalam usia kanak-kanak juga.
Kisah Imam Ahmad bin Hanbal juga tidak kurang hebatnya. Beliau dilahirkan di Baghdad pada tahun 164H. Beliau semenjak kecil telah banyak mewarisi budi pekerti yang mulia daripada kedua ibu bapanya. Imam Ahmad mendapatkan pendidikan awalnya di Baghdad yang cukup terkenal pada ketika itu dengan perkembangan ilmu-ilmu Islam dalam pelbagai bidang. Ibu beliau telah memilih untuk anaknya itu agar beliau menjadi seorang yang alim dalam ilmu-ilmu agama semenjak kecil. Seperti Imam as-Syafi’e, beliau juga telah menghafal al-Quran semenjak kecil serta berada dalam majlis pengajian ilmu-ilmu hadis dalam usia kanak-kanak lagi. Bahkan beliau dalam usia itu telah mendalami bahasa Arab dengan mempelajari syair-syair arab daripada para ilmuwan terkemuka dari waktu pagi hingga ke malam. Dikatakan bahawa Imam Ahmad telah kelihatan dewasa dalam usia kanak-kanak lagi dan tidak menyamai kanak-kanak yang sama usia dengannya.
Imam as-Syafie dan Imam Ahmad adalah termasuk dalam para imam yang mengasaskan empat mazhab fekah yang utama selain Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.
Begitulah, kedua-dua peribadi dan tokoh besar ini tidak lahir secara tiba-tiba. Kesemua mereka telah membesar dalam suasana yang cukup berbeza dengan kanak-kanak pada zamannya. Mereka mendalami ilmu pengetahuan semenjak kecil dengan bergaul bersama para ulama yang jauh lebih tua usianya, menghafal Al-Quran di dalam dada mereka serta mendengar hadis-hadis Nabi SAW lalu menghafalnya juga. Itulah yang menjadikan mereka lahir sebagai tokoh-tokoh ilmuwan yang faqih dan layak bergelar mujtahid.
.....................
Lirik Nasyid : Imam Syafi'e
Mengatur strategi biar bijak dan saksama,
Mentadabbur Quran biar rasa izzahnya,
Menabur khidmat biar ikhlas kerana Yang Esa,
Jangan mengatur strategi kompasnya emosi dan nafsunya.
Jangan mentadabbur Quran jiwanya melayang bernoda,
Jangan menabur khidmat habuan dunia mahunya,
Takut perahu sudah berlayar, baru maklumkan kebocorannya,
Risau jika sudah berkata nista dan fitnah, buruk pula padahnya,
Cemas jika lemas di lautan dunia, yang globalnya kian bergelora,
Biarlah apa fikirannya atau apa mahu jadinya,
Asalkan Allah matlamat tujuannya,
Biarlah apa saja yang dipelajarinya,
Asalkan fardhu ain sudah lepas dikuasainya,
Sebelum mengenal malaikat mautnya...
Biarlah di usia kecil mulakannya,
Supaya tumbesarannya bercorak agama,
Jika ibubapa sholeh dan sholehah pasti cantik asuhannya..
Dunia dan akhirat seimbanglah selayaknya,
Agar air hujan mencurah di lembah fitrahnya..”
Wallahu A'lam!
" Marilah kita cuba contohi perjuangan hidup Imam Syafi'e,
Berbekal keimanan dia mengembara mencari ilmu merata dunia,
belajar dengan ramai ulamak yang bertakwa dan berilmu tinggi,
umur 7 tahun hafal quran 10 tahun menghafal kitab besar,
Ingatannya tajam kerana menjaga diri dari dosa dan makanan haram
hatinya yang ditempah oleh makanan halal mudah menerima kebenaran,
dia pencinta Tuhan hingga di beri ilmu dan hikmah,
pembaharu agama di zamannya pemimpin yang adil dan berani,
ilmunya banyak jadi panduan hinggalah dia diberi gelaran
imam mujtahid sangat cemerlang,
walhal dia hanya seorang anak yatim
yang dibesarkan ibu yang miskin dan hidup merata-rata
miskin dan penderitaan telah membuatnya berjiwa besar
hanya pada Allah dia bergantung
dari Allah dia mendapat pembelaan..
dia contoh untuk ikutan pembina ilmu
yang bermodalkan iman dan takwa kepada Tuhan,
Moga kita Tuhan berikan iman dan ilmu sebagai panduan
membina hidup lebih gemilang..
wahai generasi muda
mari membina insaniah hidup kita,
Marilah bina akal yang tinggi
jiwa kuat dan nafsu terkendali,
semoga kita dapat ulangi
sejarah hidup Imam Syafi'e..."
.................
Kembali kepada cerita budak kecil tadi. Walaupun budak itu bukan seperti Imam Syafi'e dan Imam-Imam Mujtahid yang lainnya.. Namun budak ini mempunyai dua persamaan.
Pertama dari sudut umurnya. Umurnya yang hanya 9 tahun sudah bermusafir menuntut ilmu di luar negara.
Kedua persamaan dari sudut ayahnya. Ayahnya ada persamaan dengan ibu Imam Syafi'e Rahimahullah Taala, yang mana ibu Imam Syafi'e Rahimahullah taala menggalakkan agar Imam Syafi'e menuntut ilmu agama dan cuba mendalaminya sehinggga faham secara lumat.
"Budak ini sangat kecil namun azamnya sangat besar.
Budak ini nampak biasa namun azamnya membuatkannya luar biasa.
Budak ini nampak rendah namun berpandangan tinggi langit yang luas.
Budak ini juga berkulit biasa namun memiliki jiwa kental yang luar biasa."
Seorang ayah yang peka terhadap pendidikan anaknya akan melahirkan seorang insan yang berjiwa besar dan berpandangan jauh di masa depannya. Saya pasti ayah kanak-kanak ini memahami peri pentingnya pendidikan agama Islam buat anaknya yang mana pendidikan inilah yang boleh membentuk anaknya untuk menjadi manusia yang beradab dan bersopan dengan orang tuanya. Seorang anak yang sholeh dan sholehah serta yang mentaati perintah Allah dan RasulNya. Dan pendidikan ini jugalah yang menjamin kebahagiaan dan kejayaan buat anaknya di dunia dan di akhirat nanti.
Saya juga yakin sekiranya ibu bapa menghantar anak mereka mengaji dan mempelajari ilmu agama Islam sejak dari kecil lagi, pasti anak itu akan menjadi anak yang berilmu dan beriman serta berguna pada masa depannya.
Bukankah kita mengimpikan anak-anak yang sholeh dan sholehah? anak yang berilmu, beriman dan bertakwa kepada Allah?
Jika benar kita mengimpikan anak yang sebegitu, maka didiklah mereka sejak dari kecil lagi dengan didikan dan asuhan fitrahnya.
Hantarlah mereka mengaji agama, agar nanti dia jadi orang yang beragama. Hantarlah dia mengaji dengan para guru yang mulia dan berakhlak mahmudah, supaya anak kita nanti menjadi anak yang sholeh dan sholehah. Hantarlah anak kita mengaji di tempat yang suasanya hidup dengan suasana Islamiyyah, agar anak kita kelak menjadi anak yang boleh mewujudkan suasana yang mulia dan bi'ah sholehah di mana saja dia berada. Hantarlah anak kita mengaji dengan Ulama' yang mendidik para muridnya beradab, kelak anak kita akan menjadi anak yang berguna dan bermanfaat pada Umat Insya'Allah.
Mari sama-sama kita hayati bait puisi 'biar mencurah di lembah fitrahnya' di bawah ini!
Melentur buluh biar daripada rebungnya,
Mengatur strategi biar bijak dan saksama,
Mentadabbur Quran biar rasa izzahnya,
Menabur khidmat biar ikhlas kerana Yang Esa,
Jangan melentur buluh sesudah ditebang pokoknya,
Jangan mengatur strategi kompasnya emosi dan nafsunya.
Jangan mentadabbur Quran jiwanya melayang bernoda,
Jangan menabur khidmat habuan dunia mahunya,
Khuatir di sangkakan nasi, bubur pula jadinya,
Takut perahu sudah berlayar, baru maklumkan kebocorannya,
Risau jika sudah berkata nista dan fitnah, buruk pula padahnya,
Cemas jika lemas di lautan dunia, yang globalnya kian bergelora,
Biarlah apa fikirannya atau apa mahu jadinya,
Asalkan Allah matlamat tujuannya,
Biarlah apa saja yang dipelajarinya,
Asalkan fardhu ain sudah lepas dikuasainya,
Biarlah pendidikan mengenal Allah dan Rasulnya diutama,
Sebelum mengenal malaikat mautnya...
Biarlah di usia kecil mulakannya,
Supaya tumbesarannya bercorak agama,
Bukankah Kanak kecil itu suci kejadiannya..
Jika ibubapa sholeh dan sholehah pasti cantik asuhannya..
Dunia dan akhirat seimbanglah selayaknya,
Agar air hujan mencurah di lembah fitrahnya..”
Wallahu A'lam!
6 zulkaedah 1432 Hijri
Selasa. 4, 10, 2011 Maihi,
Hayyu Asyir Tubu Ramli,
Madinah An-Nasr City,
Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Universiti Tertua Al-Azhari,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi,
No comments:
Post a Comment