Tuesday, December 11, 2012

4 Tahun Duduk Mesir 4 Kali Pindah Rumah

Bismillahirrahmanirrahim….
Allahumma shalli ala saidina Muhammad wa Ala alihi wasohbihi wa barik wassalam…

Mesir, Aku datang lagi…
Alhamdulillah…

Kali ini aku datang berempat.. aku, zaujah, zuyyin dan Habib.
Kami datang penuh harapan, penuh semangat dan mempunyai niat yang sama seperti dulu.. iaitulah niat untuk mendalami ilmu agama Allah…dan ingin mendekati para alim ulama' dan inginkan keberkatan tanah para anbiya' dan auliya'.
Kami datang membawa 1001 pengharapan bagi hamba-hamba Allah yang mengharap… iaitu mengharapkan kebaikan serta keberkatan tanah anbiya' untuk dibawa pulang ke tanah air… kerana mereka mengharapkan anak-anaknya belajar dan terus menerus di dalam menuntut ilmu agar kepulangannya nanti disambut dengan majlis-majlis zikir dan memiliki kedudukan di taman-taman syurga yang diidami samaada syurga duniawi apatah lagi syurga yang hakiki di syurga firdausi.
Walaupun begitu untuk mendapatkan ilmu yang banyak dan ingin mendapatkan keberkatan dari para Alim Ulama' bukannya mudah dan senang ianya perlukan pengorbanan dan istiqamah dalam segala hal. Pengorbanan dari segi harta, masa dan tenaga mesti dilakukan agar dapat melazimkan diri di dalam majlis ilmu. Istiqamah pula ialah mesti mulazamah dengan masyaikh yang dituntut ilmu kepadaNya. Jika ianya dapat diseimbangkan insyaAllah semuanya akan diberkati serta apa yang dihajati akan terlaksana disamping berdoa kepada Allah serta bertawakkal kepadaNya.
……………………………………

Ujian Tanda Kasih Sayang Allah
Seminggu dua ini Zuyin dan Habib sakit demam, selsema dan batuk-batuk, hari ini pula zaujah terkena jangkitannya.. itulah ujian buat saya. Saya beritahu Zaujah bahawa ujian yang datang ini adalah menandakan kasih sayang Allah pada kita, agar Allah membersihkan kita dari dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Cuma biarlah sama-sama kita harungi hidup ini, susah senang tetap bersama dan menghadapinya bersama. Saya ingat pesanan mak angkat saya ketika mula-mula mahu pergi menuntut ilmu di Mesir, pesanan beliau: " Hidup tempat orang susah senang tetaplah bersama, kalau senang memang kita boleh bersama tapi ketika dilanda susah… cubalah untuk hadapinya bersama, sebab ramai orang boleh hidup senang bersama namun diwaktu susah ia gelisah dan berputus asa bahkan keyakinannya kepada Allah sudah mula tiada".
" Ya Allah, janjiMu untuk memasuki tanah Mesir dengan aman, maka amankanlah kami ya Allah, Sejahterakanlah kami ya Allah dan berilah kesabaran kepada kami ya Allah !
……………………………………………..

Teringat Memori Lama Ketika Mula Berada Di Mesir
Teringat masa saat mula-mula datang Mesir masa itu payahnya mahu berurusan. Apa tidaknya namanya saya tercicir, puas saya ke al-Azhar baru untuk cek nama namun tiada juga, kemudian saya pergi ke ARMA untuk cek nama saya disana juga tiada. Puas saya solat hajat dan bertaubat kepada Allah akhirnya termakbul juga dan nama saya pun keluar di university al-azhar kuliah usuluddin, itupun nama ayah saya tersilap. Walaubagaimanapun saya bersyukur kerana menjadi salah seorang pelajar al-Azhar Asy-Syarif. Semua yang berlaku saya anggap ianya ujian dari Allah untuk mendidik hati saya agar lebih bertawakkal kepadaNya.
Lain lagi masalah dan kenangan ketika duduk di dukya', ketika beli motorsikal, ketika zaujah baru datang Mesir, ketika zuyin lahir dan lain-lainnya… semuanya kenangan yang saya rasa terindah buat pengalaman hidup saya di Mesir… ada yang menyedihkan, mengembirakan dan membahagiakan semuanya Allah sahaja yang tahu. Apapun saya bersyukur kerana Allah masih menyayangi dan melindungi kami sehinggalah ketahap ini, semoga kasih sayangNya dan perlindunganNya sentiasa bersama kami sehinggalah bertemu denganNya disuatu hari yang bakal ditentukannya nanti. Amin !

Sudah Tahun Akhir
Alhamdulillah sekarang saya berada di tahun yang akhir tahun 4 pengajian di Kuliah Usuluddin pengkhususan Hadis ( Semoga Allah memberkati segala usaha yang dikurniakannya ). Ketika masuk ke kuliah tahun 4 saya rasa bersyukur kepada Allah kerana perancangan Allah serta bantuannya membuatkan saya seolah-olah tidak menyangka yang saya sudah berada di tahun 4 tahun akhir… bila saya fikir-fikirkan dan renungkan semula saat mula-mula berurusan dengan syu'un kuliah rasa lucu dan amat payah sekali, tapi sekarang Alhamdulillah… semuanya kehendak Allah yang wajib saya syukuri. Moga saya termasuk dikalangan hambaNya yang sentiasa bersyukur. Amiin !
" Ya Allah janjiMu bahawa pengakhiran itu lebih baik dari permulaan maka akhirilah kami dengan kebaikan, dengan keberkatan dan dengan kasih sayangMu ya Allah " amiin !

Pindah Rumah Kali Ke-Empat.
Alhamdlillah sekarang ni kami berpindah rumah, dan ini adalah kali ke empat kami berpindah. Empat tahun di bumi Mesir 4 kali juga kami berpinda rumah. Semuanya perancangan Ilahi. Semoga akhir ini lebih baik dari permulaannya amiin ya Allah !. Klau ikutkan berat hati untuk pindah rumah namun apakan daya anak sudah dua kewangan pun mesti banyak mahu diguna manakala kitab pula banyak lagi yang belum terbeli. Saya lakukan istikharah untuk memohon hidayah pilihannya samaada berpindah ataupun tetap tinggal di rumah lama, akhirnya natijah yang Allah berikan ialah berpindah, semoga inilah natijah yang boleh menenangkan hati saya sebab kalam saidina Umar al-khattab Radhiallahu anhu " Tidak rugi orang yang istikharah dan tidak menyesal orang yang syura". semoga semuanya baik-baik saja insyaAllah. Ya Allah hanya padaMu ku serahkah segalanya, berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan berkatilah segala usaha kami dan rahmatilah segala kerja buat kami dan redhailah segala amalan yang telah Engkau takdirkan untuk kami ya Allah amiin ya Allah !

Negara Mesir Tempat lahirnya para anbiya'
Bumi ini ada keberkatannya, banyak sejarahnya,
Namanya termaktub di dalam al-quran
Bagi mereka yang bisa merasainya,
Melihat isi tersiratnya
 mencerminkan melalui firasatnya,
Maka dia akan bertemu hikmahnya,
Namun jika sebaliknya terjadilah bahan fitnah,
Dan olokan buat ummatnya,
Maka insafilah…
Semua ada tandanya, ambillah iktibar darinya,
Mengembaralah di bumi
Bumi barakah,
Korek khazanah warisan nabinya,…
Siiru ala barakatillah…

Idea_Islamik
       &
habib_zuyin

No comments:

Related Posts with Thumbnails