Tuesday, October 19, 2010

Hukum Nyanyian Nasyid, Harus !!!

Bismillahirrahmanir Rahim... 

Alahumma Shalli Ala Saidina Muhammad Shallallahu Alaihi Wa Sallam.


~ Penasyid Asia, Malaysia ~


Hukum Nyanyian, Nasyid, Harus !!!

Alhamdulillah, sudah lama rasanya ingin memberikan pandangan berkenaan tentang hiburan nyanyian nasyid. Pada mulanya saya tidak berkenan untuk mengkaji mana-mana hukum dalam apa bidang sekalipun, kerana ianya sudah dibahaskan dan telahpun ditentukan hukumnya oleh para Ulama' yang diakui ilmunya dan para Mujtahid dan beberapa orang Mufti yang telah mengeluarkan fatwa tentangnya serta pandangan-pandangan para Ustaz-ustaz yang mempunyai ilmu kepakaran dalam bidang tersebut. Kebanyakan mereka memberikan pandangan " HARUS " terhadap hiburan nyanyian nasyid ini selagi ianya tidak menyimpang di sisi syariat.


Kalau diikutkan, saya tidak layak memberikan pandangan terhadap hukum ini, lagipun saya masih bergelar seorang pelajar, sudah tentu saya tidak layak memberikan pandangan, sebahagian daripada sahabat-sahabat saya meminta untuk memberikan pandangan mengenainya, Atas dasar inilah saya cuba sedaya yang mampu. saya bukan memberikan pandangan terhadap nasyid ini, sebaliknya saya mengambil kalam-kalam Ulama' yang pernah membahaskannya, saya cuma pinjam kalam mereka sahaja. Sekiranya ada kekurangan dan kelemahan saya minta maaf, kerana saya masih belajar dan perlukan tunjuk ajar, lebih-lebih lagi permasalahan ini adalah permasalahan hukum yang pertama saya terokai. Moga-moga apa yang saya lakukan ini adalah semata-semata mengharapkan keredhaan serta keberkatan daripada Allah s.w.t. ameen !



Hukum nyanyian nasyid adalah 'HARUS'.


Ini menurut pandangan beberapa orang Masyaikh seperti Imam As-Syafie Rahimahullah Taala, Imam Al Mawardi, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Fatwa Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi dan Fatwa Mufti Mesir Al-Fadhilah As-Syeikh Ali Al-Jumah dan banyak lagi di dalam beberapa buah kitab Al-Fadhilatus Syeikh. InsyaAllah saya akan mendatangkan dalil-dalil yang jelas dan mudah difahami menurut huraian para Masyaikh tentang masalah ini satu persatu. Sila lihat pandangan para Masyaikh di bawah ini, insyaAllah semoga difahami dengan lebih jelas.



1) Daripada Ubai Bin Ka'ab Radhiallahu Anh bahawa Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda :

" Sesungguhnya dari Syair itu terdapat hikmah ". ( Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya dalam kitab al-Adab, Imam Muslim dalam kitab Al-Jihad )

Menurut Ibnu Bathal daripada hadis ini, beliau menyebut:

 " Apa-apa yang terdapat pada syair (nasyid) dan zajar tentang mengingati Allah Taala, mengagungkanNya,  mengesakanNya, Pengorbanan mentaatiNya dan pasrah kepadaNya maka perkara tersebut adalah baik dan digalakkan. Itulah yang dikehendaki dengan hadis diatas. ( Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, karangan al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani Jilid 10, m/s 442. )


2) Al-Allamah As-Safarani di dalam mazmumatul Adab:


" Disebut dalam al-Iqna : Diharuskan hida' ( nyanyian atau dendangan bagi unta, ia merupakan nyanyian bangsa arab ) bagi penunggang unta ahli nasyid Arab" . (Ghiza'ul Al-bab Syarah Mazmuhatul Adab- Karangan al-Allamah As-Safarani Jilid 1 m/s 145)

Beliau juga menyebut: " Mazhab mengharuskan tanpa makruh kerana terdapat khabar yang saling menguatkan diantara satu sama lain. Ia juga zhahir di dalam atsar tentang dendangan syair dan hida' ketika bermusafir. Sesungguhnya sebahagian Ulama' telah menyebut bahawa telah ijma' tentang keharusan Hida'. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wa Sallam :
 
Dalam riwayat Muslim, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang akan menyanyi ketika dalam dalam perjalanan. Nama beliau Anjasyah. Kata Anas:  
“Bahawa Rasulullah s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang mempunyai suara yang lunak. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Perlahan wahai Anjasyah! Jangan pecahkan kaca (wanita-wanita)” (Riwayat Muslim).
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata : Ibnu Abdul Barr menaqalkan bahawa Ulama' bersepakat keatas harusnya Hida'. Dalam kata setengah Hanabilah terdapatnya khilaf. Sesiapa yang menegahnya maka hadis yang shahih ini menjadi hujah keatas dirinya.


Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullah Taala berkata dalam Ihya Ulmuddin, mengenai Hida' katanya " Adat kebiasaan arab pada zaman Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam dan zaman para sahabat Radhiallahu anhum ajmain ialah sentiasa berhida' dibelakang unta. ia tidak lain melainkan syair-syair ( nasyid ) yang dialunkan dengan suara yang merdu serta alunan yang berirama . Tidak dinukilkan walaupun dari seorang sahabat yang mengingkarinya " ( Ihya Ulumuddin, Karangan Imam Al-Ghazali Jilid 2 m/s: 242 ) 


3) Dikeluarkan oleh Ath Tabrani dari jalan Ibnu Juraij, katanya : Aku bertanya Atho' tentang Hida, syair dan nyanyian. Beliau menjawab: Tidak mengapa dengan perkara tersebut selagi ia tidak berbentuk keji. 

Daripada pandangan beliau, kita boleh simpulkan bahawa nyanyian dibolehkan asalkan tidak ada unsur-unsur perkataan dan perbuatan yang keji dan maksiat.



4) Saiyyidina Umar Al-Khattab Radhiallahu Anhu memberikan reaksi apabila mendengar dendangan syair yang berbunyi:

"Bukan diri dan bukan pula cinta,
Pemerhati diriku, ketakutan serta kegerunanku adalah pelindungku"

Sayyidina Umar memngatakan bahawa, " Mengenai kata-kata ini maka dendangkanlah bagi siapa yang mahu berdendang ". ( Al-Itisham- Karangan Imam Asy-Syathibi Jilid 1 m/s 220.)

Sayyida Umar tidak menegahnya bahkan membolehkan mendengkan syair tersebut, ini menunjukkan bahawa bersyair, bernyanyi, bernasyid itu dibolehkan, kerana perkataan-perkataan syair tersebut adalah perkataan yang baik dan tidak menyalahi syariat Allah.


5). Para sahabat berdoa bersama Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam dengan melantunkan syair (Nasyid) di saat menggali khandaq (parit) Rasululah Shallallahu Alaihi Wa Sallam dan sahabat2 radhiyallhu anhum  ajmain bersenandung bersama sama dengan ucapan : “HAAMIIIM LAA YUNSHARUUN..”. (Kitab Sirah Ibn Hisyam Bab Ghazwat Khandaq). Perlu diketahui bahawa sirah Ibn Hisyam adalah buku sejarah yg pertama ada dari seluruh buku sejarah, yaitu buku sejarah tertua. Kerana ia adalah Tabi’in.
 
6) Ketika membina Masjidirrasul Shallallahu Alaihi Wa Sallam: mereka bersemangat sambil bersenandung : “Laa ‘Iesy illa ‘Iesyul akhirah, Allahummarham Al Anshar wal Muhaajirah” setelah mendengar ini maka Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam pun segera mengikuti ucapan mereka seraya bersenandung dengan semangat : “Laa ‘Iesy illa ‘Iesyul akhirah, Allahummarham Al Anshar wal Muhajirah.. ” (Sirah Ibn Hisyam Bab Hijraturrasul saw- bina’ masjidissyarif hal 116) & ( Nuzum Islamiyyah M/S 140/141 TAjuk ke 4 Wa Min Riyadir Ruhiyah ( Al-Ghina ).




 Pandangan Ulama' Yang Mengatakan Harus Hiburan Nasyid:

1) Imam As-Syafie Rahimahullah Taa'la:

" Syair ( Nasyid ) adalah suatu kata-kata. Kata-kata yang baik adalah baik dan kata-kata yang keji adalah keji " ( Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari, Karangan Ibnu Hajar Al-Asqalani Jilid 10 m/s 443. hadis marfu' daripada Abdullah bin Amru dengan lafaz : " Syair (nasyid) itu mengikut kedudukan perkataan, keelokan syair (nasyid) adalah sama seperti keelokan kata-kata, keburukan syair (nasyid ) samalah dengan keburukan kata-kata."


2) Fatwa Al-Fadhilah As-Syeikh Dr Ali Al-Jumah Mufti Mesir:

Al-Fadhilah As-Syeikh mengeluarkan fatwa bahawa nyanyian tidak diharamkan melainkan apabila dalam nyanyian tersebut ada unsur-unsur yang menyalahi syara'. Dan beliau mengatakan ianya adalah ' HARUS ', dan disukai apabila nyanyian tersebut ada perkataan-perkataan yang mengandungi pujian kepada Allah, pujian kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam serta Islam dan kecintaan kepada Negara. ( Kitab Al-Bayan, Lamma Yasghilu Azhan. Miatu Fatwa liroddu ahamma syubhah al-khorij wa lam syamilu dakhil, fi Al-bab hukmu Al-Ghina, 364 )


Syeikh mendatangkan banyak dalil-dalil yang shahih untuk menguatkan pandangan beliau, diantaranya :

Hadis Ummul Mukminin ‘Aishah Radhiallahu Anha :
Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah r.a. bahawa
“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”.  (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).

Dalam hadis lain, ‘Aishah menceritakan
:“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).


3) Fatwa Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi :


Beliau memberikan pandangan tentang hiburan, beliau berpandangan bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga itu adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini di HARUS kan oleh Islam dengan syarat ianya tidak dicampuri dengan kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).


4) Imam Al Mawardi :

Beliau mengatakan bahwa syair-syair ( nasyid ) yang diungkapkan oleh orang-orang Arab lebih disukai apabila syair itu mampu menumbuhkan rasa waspada terhadap tipuan atau rayuan dunia, cinta kepada akhirat, dan mendorong kepada akhlak yang mulia. Kesimpulannya, syair seperti ini boleh jika selamat atau bebas dari kekejian dan kebohongan.


5) Pandangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Taala:

Al-Hujjatul Islam Imam Ghazali memberikan huraian yang cukup bernas dan sangat teliti dalam permasalahan ini, ini jelas apabila beliau menghuraikan maksud pada perkataan Ibnu Mas'ud Radhiallahu Anhu, : " Nyanyian boleh menumbuhkan sifat munafiq dalam hati". Kata-kata Ibnu Mas'ud ini perlu diperinci dan diteliti dengan betul, dan tidak boleh mengambil dalil ini secara zhahir lantas mengharamkan nyanyian, kerana Ibnu Mas'ud cuma mengatakan ianya boleh menumbuhkan sifat munafiq.

Hujjatul Islam Imam Ghazali menghuraikan kalam Ibnu Mas''ud ini dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa, kerana kebanyakan orang yang menyanyikan lagu itu merasa bangga, takabbur, riak dan seumpamanya, namun ianya tidak semua  bersikap sedemikian, sebagai contoh, jika seseorang memakai pakaian yang cantik-cantik, kenderaan yang mewah, rumah yang besar ianya juga boleh mendatangkan sifat-sifat tersebut, tapi adakah memakai pakaian yang cantik, memiliki rumah besar dan kereta yang mewah itu hukumnya haram ?

Dan sebagai contoh yang lain, orang yang menaiki motor tanpa lampu diwaktu malam dan jalannya gelap gelita boleh menyebabkan kemalangan, adakah setiap orang yang menaiki motor tidak berlampu itu kemalangan ? Jawapannya, Bergantung kepada pembawa motosikal tersebut, kalau dia memandu dengan berhati-hati  cermat dan perlahan maka dia akan selamat, begitulah juga dengan nyanyian, bergantung kepada penyanyi tersebut, jika dia niatkan kerana Allah, ikhlas dalam menyampaikan nyanyian dan mengajak manusia melakukan kebaikan, maka ianya tidak mengapa dan dibolehkan.



6) Majlis Fatwa Malaysia :


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Rakaman Lagu-Lagu Nasyid Berbentuk Doa. Muzakarah telah memutuskan bahawa lagu-lagu nasyid berbentuk doa diharuskan di dalam Islam selagimana nyanyian tersebut mempunyai senikata yang baik yang memuji Allah dan Rasul, keindahan makhluk Allah atau kepada tanggungjawab atau mengenai sifat bertaqwa kepada Allah SWT, tidak biadap dan mendorong kepada maksiat, tidak bercampurgaul di antara lelaki dan wanita, tidak membawa kepada fitnah, tidak mendedahkan aurat dan tidak memuji makhluk Allah secara berlebihan.



7) Pandangan Ustaz tentang hiburan dan nyanyian :


Jawapan : Saudara, Islam bukanlah satu agama yang mengharamkan segala bentuk kegembiraan dan hiburan dalam hidup manusia. Allah Yang Maha Mencipta mengetahui bahawa manusia melalui dalam hidup mereka berbagai suasana dan keadaan. Ada kala manusia perlukan hiburan atau perlu dihiburkan. Hiburan wujud dalam berbagai bentuk. Islam datang bukan untuk mengharamkan, tetapi untuk member garis panduan. Untuk soalan saudara, saya sentuh perkara-perkara berikut;

1. Tumpuan hidup insan bukan kepada hiburan, tetapi kepada mengabdikan diri kepada Allah. Hiburan dan nyanyian hanya sampingan yang menghiasi rempah ratus kehidupan dan asam garamnya, bukannya tujuan asal kehidupan. Seperti juga memiliki rumah dan kenderaan yang cantik. Ia bukan tujuan hidup, tetapi termasuk dalam perkara-perkara yang diizinkan dengan batasannya.

2. Dalam hadis Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi s.a.w yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah baginda. Nabi s.a.w tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membenteras hiburan habis-habisan. Bantahan Abu Bakr ditolak oleh Nabi s.a.w secara berhikmah.

Ada sesetengah pandangan yang cuba menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak menolak dakwaan Abu Bakr bahawa nyanyian suara syaitan, cumanya hanya diizinkan disebabkan hari raya. Penghujahan seperti ini tidak kukuh. Sebabnya, apakah jika nyanyian suara syaitan maka pada hari raya ia tidak menjadi suara syaitan lagi dan selepas itu kembali menjadi suara syaitan semula?! Atau apakah pada hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr. Suara syaitan sepatutnya bukan dikaitkan dengan hari dan waktu, tetapi dengan isi kandungan!.

3. Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah r.a. bahawa
“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”. Maka, dalam hadis ini menunjukkan Nabi s.a.w prihatin dengan kecenderungan hiburan sesuatu kaum dalam majlis-majlis yang bertujuan untuk kegembiraan dan kesukaan seperti majlis perkahwinan. Mungkin hal ini boleh diluaskan kepada majlis sambutan kesukaan yang lain seperti majlis keluarga atau pejabat dan seumpamanya. Bahkan mengenai majlis perkahwinan Nabi s.a.w pernah bersabda: “Perbezaan antara yang haram dan yang halal adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”. (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).
Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diistiharkan. Berbeza dengan perzinaan yang biasanya dilakukan secara senyap-senyap. Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang menafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian.

Maka menjadi sunnah ketika majlis perkahwinan adanya hiburan seperti pukulan kompang dan suara nyanyian. Maka apa yang diamalkan dalam tradisi melayu ketika perkahwinan diadakan pukulan kompang dan nyanyian adalah tidak becanggah dengan ajaran Nabi s.a.w.

4. Dalam riwayat Muslim, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang akan menyanyi ketika dalam dalam perjalanan. Nama beliau Anjasyah. Kata Anas:
“Bahawa Rasulullah s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang mempunyai suara yang lunak. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Perlahan wahai Anjasyah! Jangan pecahkan kaca (wanita-wanita)” (Riwayat Muslim).
Ulama hadis berbeza pendapat tentang maksud Nabi s.a.w dalam hadis ini. Namun, maksud yang dipaling dapat difahami ialah baginda meminta agar Anjasyah memperlahan lagunya kerana ia telah menyebabkan unta semakin pantas, sedangkan wanita-wanita iaitu isteri-isteri baginda mungkin tidak termampu bergerak sepantas itu. Ini menunjukkan bagaimana baginda tidak melarang nyanyian, sebaliknya menggunakannya untuk menggalakkan perjalanan. Cumanya, apabila menyebabkan kesusahan wanita, baginda meminta agar ia diperlahankan.

5. Dalam hadis lain, ‘Aishah menceritakan
:“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).
Demikian Nabi s.a.w memberi ruang untuk isterinya menikmati hiburan.

6. Ada sesetengah pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan hiburan hanya pada hari raya sahaja atau dengan bentuk kompang tertentu sahaja. Mereka memahami hadis-hadis ini secara literal.

Bagi saya, pandangan ini boleh menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam. Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan. Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

7. Namun, sudah pasti di sana ada batasan yang mesti dipatuhi dalam setiap perkara. Hiburan juga ada disiplin dan batasannya. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:

“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat tidurku seperti engkau duduk. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut. Lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mereka juga tidak dilarang oleh Nabi s.a.w. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang salah atau bercanggahan dengan kebenaran maka ia ditegur oleh Nabi s.a.w. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Maka, lirik-lirik nyanyian hendaklah dipastikan tidak menyanggahi syarak seperti bercanggah dengan akidah yang sahih, atau mengajak kepada maksiat, atau membohongi fakta dan seumpamanya. Demikian juga jika ia diiringi dengan perbuatan yang haram, maka hiburan dalam bentuk seperti itu diharamkan.

8. Seorang muslim hendaklah melihat keluasan syarak ini sekalipun dia secara individu mungkin tidak menggemarinya. Mungkin seseorang yang kuat agama itu tidak gemarkan nyanyian, tapi tidak bererti mesti diharamkan terhadap orang lain. Sebaliknya, hendaklah dia amanah dalam memberitahu keluasan syarak dalam hal ini.

9. Di samping tidak wajar hidup ini disibukkan dengan hiburan sehingga melupai tujuan hidup yang sebenar. Hiburan hanya diambil dengan kadarnya sahaja, jangan dijadikan tumpuan hidup. Jika dijadikan tumpuan sehingga melupai tanggungjawab Islam, maka hiburan itu akan membawa kepada dosa dan maksiat kepada Allah.


................................................


Berdasarkan huraian, pandangan serta fatwa di atas, menunjukkan bahawa nyanyian nasyid adalah HARUS, selagimana ianya tidak menyanggahi syariat dan nyanyian tersebut ada unsur-unsur maksiat. Sekiranya ia berbentuk kebaikan maka ianya dibenarkan di dalam Islam. Allah sebut dalam Al-Quran: " Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk)" (Surah Al-A‘raf, ayat 157). "  

Setiap sesuatu amalan mestilah berdasarkan niat pengamalnya, bergantung kepada niat individu tersebut, jika diniatkan untuk kebaikan maka baiklah baginya, jika kejahatan maka jahatlah baginya. Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda " Setiap amalan berdasarkan niat " ( Bukhari Dan Muslim ).


Berhati-Hati Dalam Menjatuhkan Hukum Haram !!!


Maher Zain (Penasyid Antarabangsa)
Adapun bagi golongan yang mengharamkan terus secara keras dan pengharaman mutlaq, diharap dapat menghormati pandangan-pandangan Ulama' yang membolehkannya. Dan diharap berhati-hati dalam menjatuhkan hukum Haram secara membabi buta, Sebab itu bukan sikap para Ulama. Dan Ulama' begitu berhati-hati ketika menentukan hukum terhadap sesuatu masalah, Inilah sebabnya Ulama' Fiqh dari golongan tabi'in di Kufah apabila mereka berfatwa menegah sesuatu mereka mgatakan : ini makruh. dan mreka tiada mahu mengatakan : Ini haram. kecuali kalau diketahui haramnya secara pasti. Dan Ini sebabnya dikala imam Ahmad bn hanbal, dikala ditanya org dari suatu perkara, beliau berkata: aku tiada suka, atau aku tiada memandangnya bagus, dan tiada ianya berkata: ini haram.


Imam Syafie dlm Kitabnya Al-Umm (menurut riwayat dari Qadi Abu Yusof Sahabat Imam Abu Hanifah ) mengatakan" bahwa aku mendapati maha guru kami dari kalangan ahli ilmu tiada suka berfatwa degnan mengatakan ini halal dan ini haram, kecuali menurut apa yang telah ada dalam kitabullah keterangannya yang tiada tafsirannya."

Al-Rabi' bin Haitham seorang terkemuka dari golongan tabi'in berkata " hendaklah salah seorang kamu takut daripada berkata bahawa aku halalkan ini dan aku haramkan itu, kerana Allah akan berkata kepadanya: engkau pembohong, aku tiada pernah halalkan ini dan haramkan itu.

kesimpulannya : Perkara yg didiamkan Allah itu adalah Rahmat atau kemudahan. Di sini Ulama' mengeluarkan satu qaedah Usul fiqh :

" Asal hukum pada segala sesuatu itu adalah harus hingga ada dalil atas ketiadaan harusnya.. "

inilah pendapat dalam mazhab Imam Syafie Rahimahullah Taala n sbhagian imam Mazhab Abu Hanifah.



Begitu juga bagi yang membolehkannya diharap dapat menghormati pandangan Ulama' yang mengharamkannya. Apabila kedua-dua golongan ini saling hormat menghormati diantara satu dengan yang lain, maka keharmonian dalam Islam akan menjadi rahmat untuk semua insan, kerana perkara khilaf itu adalah rahmat, kemudahan serta dimaafkan oleh Allah s.w.t.

 Sabda baginda rasulullah : “Perkara yang Halal itu ialah apa yang dihalalkan oleh Allah dalam kitab (Al-Qur’an) dan apa yang haram itu ialah apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab-Nya dan apa yang didiamkan olehnya maka ianya termasuk apa yang dimaafkan kepada kalian” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no. 1726, Ibn majah, Hakim).

Kita ambil jalan tengah wasithah,  sebab perbuatan yang baik itu adalah yang sederhana dan pertengahan, tidak boleh terlalu keras dan tidak boleh juga terlalu lembut, ambil jalan mudah, kerana itu sikap serta sifat Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam, jika Baginda diberi pilihan untuk memilih maka Baginda s.a.w mengambil yang mana paling mudah menurutnya.


Sekali lagi saya minta maaf sekiranya ada yg terasa dengan bahasa yang ana guna, ana tidak bermaksud untuk membuka aib mana-mana pihak dalam hal ini, Sesungguhnya apa yang ana nyatakan diatas adalah benar menurut apa yang ana ketahui dan fahami, cukuplah Allah jadi saksi dalam soal ini , " Ya Allah aku mohon keampunanMu, Maafkanlah hambaMu yang lemah lagi dhaif ini, sungguh aku tidak pernah bermaksud untuk membenci hamba-hambaMu apatah lagi ingin membuka aib mereka, maha suci engkau ya Allah, engkau lebih mengetahui, bahwa semuanya itu bukanlah tujuan kehidupanku, kerna tujuan hidupku adalah semata-mata berharap keredhaan dan keberkatan hidup dariMu, ameen Ya Allah !!! "


Semoga dapat difahami dengan lebih baik dan jelas agar tiada yg menuduh dan menfitnah tanpa usul periksa. Wallahu A'lam !!! (",)  
  

Hamba Ilahi : Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi .


Sumber Rujukan :

1) http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-rakaman-lagu-lagu-nasyid-berbentuk-doa.

2)  Haqaiq an al-Tasawuf , Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah Taala. Fi Bab Zikr, Nasyid Dan     Sima' Di Masjid, 141- 147 ( Terjemahan Bahasa Melayu Oleh Mustafa Hussain At-Taib ).

3) Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi. al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273.

4) Syeikh Dr Ali Al-Jumah Mufti Mesir, Kitab Al-Bayan, Lamma Yasghilu Azhan. Miatu Fatwa liroddu ahamma syubhah al-khorij wa lam syamilu dakhil, fi Al-bab hukmu Sima' Al-Ghina, 364. 

5) Nuzum Islamiyyah M/S 140/141 TAjuk ke 4 Wa Min Riyadir Ruhiyah ( Al-Ghina ).


6) Syarah Imam An-Nawawi, Syarah Hadis 40. Arbain An-Nawawi. m/s: 341/342.

7) ( Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, karangan al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani Jilid 10, m/s 442. )

8) ( Ihya Ulumuddin, Karangan Imam Al-Ghazali Jilid 2 m/s: 242 )

1 comment:

Mardhiyyah_cahayakeredhaan said...

syukran atas perkongsian... dapat membantu saya.. :)

Related Posts with Thumbnails