Thursday, August 11, 2011

Wasilah Berkata Dengan Tuhan ( al-Quran )

Pada saat aku dapat mengkhatamkan al-Quran,

Terdetik di hatiku untuk menukilkan sebuah kisah tentangnya,

Aku rasa gembira kerana dapat membacanya,

Dapat mengkhatamkannya,

Yang hanya mengambil masa dalam enam hari ramadhan,

Sehari lima juzuk aku bacakan, semata-mata mahu memuliakan

ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran.



Alhamdulillah, aku sujud syukur di anjung Masjid al-Azhar,

Tempat yang banyak melahirkan para ilmuan,

Di dalamnya tersembunyi bermacam hikmah dan keberkatan,


Syukur ku panjatkan,

Kerna dengan inayah dan bantuan-Nya, keazamanku dapat disempurnakan.

Tanpa-Nya, satu amalan apapun yang baik dan diredhainya tak akan dapat di lakukan.

Walaupun berkesempatan.



Al-Quran…

Bila membacanya…

Jiwaku rasa tenang tenteram,

Terasa bagai berkata-kata dengan Tuhan.

Seperti sabda Junjungan s.a.w:" jika kamu ingin berkata dengan Tuhan, bacalah al-Quran!”.



Bila menghayati…

Setiap bait ayat kalamnya,

Terasa bagai disuluh cahaya yang terang.

Indah, Menusuk Qalbuku yang kian gersang,



Bila mengalunkannya,

Terasa bagai dinaungi sakinah dari malaikat Tuhan.

Yang membuatkan aku merasai ada kelazatan,

Satu perasaan yang penuh dengan kenikmatan.

Walaupun suaraku tidak gemersik pada pendengaran insan.



Al-Quran…

Dia bisa Menitiskan air mataku,

Melembutkan lidahku yang kelu,

Menggetarkan jasadku yang utuh…



Dia kalam Tuhan,

Tiada makhluk dapat menyamakan,

Hatta membandingkan semisalnya.



Ketika bacaanku mengenai ayat targhib,

Misalnya Syurga dan orang yang muttaqin,

Hatiku berbisik sopan berdoa,

Mohon pada-Mu Ya Allah, Aku ingin masuk dikalangannya.



Ketika bacaanku mengenai ayat tarhib,

Misalnya neraka dan orang yang inkar perintah Allah,

Hatiku berbisik lantas berdoa,

Mohon pada-Mu Ya Allah, jauhkan aku dari bahayanya.



Al-Quran..

Makna bahasanya sungguh mengkagumkan,

Menjadi panduan buat diriku yang inginkan pimpinan.

Maha suci engkau wahai Tuhan, yang mewahyukan al-Quran,

Sebagai penawar bagi orang beriman,

Menjadi hidayah buat hamba-Mu yang bertakwa dan yang inginkan keredhaan.



Aku mohon pada-Mu wahai Tuhan!

Rahmatilah aku dengan berkat membaca al-Quran,

Dan jadikanlah al-Quran buat diriku sebagai imam,

Sebagai petunjuk dan juga rahmat dari-Mu,

Agar aku merasakan sentiasa merujuk pada-Mu wahai Tuhan.

Juga agar aku tidak tersasar dari jalan kebenaran.

Dengan berkat rahmat-Mu Ya Allah yang maha pengasih dan penyayang.

Perkenankanlah! Ameen Ya Salam!


....................................................................


- Sama-sama kita renungkan amalan Nabi shallallahu Alaihi Wa Sallam dan para sahabat serta tabi'ien di bulan ramadhan.


Nabi Sallallahu'alaihi wasallam menceritakan bahawa Jibrail a.s membacakan kepadanya Al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sayyidina Uthman bin Affan berkata: "Kalau hati kita bersih, kita tidak akan pernah kenyang daripada Al-Quran. Aku tidak menyukai satu hari yang aku tidak membaca mashaf al-Quran padanya."

 

Imam al-Baihaqi berkata: "Apabila Uthman wafat, mashafnya telah rosak kerana terlalu kerap dibaca."

 

Rabi' bin Sulaiman bercerita: "Al-Syafi'e mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak 60kali. Pada bulan yang lain sebanyak 30kali."

Imam Abu al-Qasim al-Qushairi bercerita: "Setiap kali tiba bulan Ramadhan, Abu Bakar al-Shibli akan meningkatkan ketekunan ibadahnya. Ia berkata: 'Inilah bulan yang diagungkan oleh Allah. Maka aku mesti menjadi orang yang paling pertama mengagungkannya."


Ibrahim al-Nakha'i berkata: "Al-Aswab bin Yazid(ulama tabi'in di Kufah)mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan setiap dua hari sekali. Beliau tidur antara Maghrib dan Isyak. Selain bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkannya setiap enam hari sekali."


Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hambali berkata: "Seorang Mukmin menghadapi dua Jihad pada bulan Ramadhan. Jihad puasa pada siang hari dan Jihad Qiam(solat sambil membaca Al-Quran) pada malam hari."

 

Ketika terjumpa hadis ini di dinding FB Ustaz Kazim Iliyas, 

Aku terus menekan butang 'like',

Tersentap... Berjalan ke sana sini tidak menentu.

Fikiranku mula melayang dan berangan,

Kemudian tenang lantas tertumpu pada Tuhan,

Sungguh aku ingin melakukan seperti ini Ya Allah!,

Aku ingin lakukannya.

Aku memang memasang azam untuk melakukannya,

Walaupun mengambil masa yang lama untuk menunaikannya,

Aku ingin cuba,

Percubaan dengan izin-Nya...

Jika boleh sekali,

Pasti terasa mudah untuk kedua kali,

Insya'Allah suatu hari nanti pasti dapat ku kecapi,

Kenikmatan khatam kalam ilahi,

Persis ikutan dan tauladan amalan sholeh hamba Ilahi...

Subhanallah... hanya padamu ya Robbi!

Hanya padamu segalanya!


" Nikmat Ilahi Untuk Dikongsi Dan Disyukuri "


11 ramadhan 1432H,
Masjid Walidain,
Hayyu Asyir, Cairo.

2 comments:

Brilliant Marjan said...

Salam..

Izinkan saya kongsi hasil ini..

Kamarudin Toyo said...

Salam Semurni Ramadhan.

Silakan, sememangnya utk dikongsikan! (",)

Related Posts with Thumbnails