Friday, November 11, 2011

Qadha dan Qadr Menurut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah


Pengertian qadha’ dan qadar:


Qadr memberi erti ketetapan yang ditentukan oleh Allah terhadap makhluknya sejak azali lagi, manakala qadha’ pula ialah pelaksanaan ketetapan Allah pada azali juga. Bila disatukan dua perkara itu memberi erti ( suatu ketetapan yang dilaksanakan oleh Allah terhadap makhluknya sejak azali lagi ).

Segala apa yang berlaku kepada makhluk samaada baik atau jahat, untung atau rugi, dan lainnya adalah semuanya berlaku mengikut qadar dan qadha’ daripada Allah belaka. 

Manakala erti azali itu ialah suatu ketika yang belum ada sesuatu apapun lagi kecuali Allah jua.

Beberapa dalil daripada ayat al-Quran dan al-Hadis tentang qadha' dan qadar’:

1)    Firman Allah ayat 8 surah ar-ra’du yang bermaksud :“ Dan tiap-tiap suatu adalah ditetapkan disisi Allah dengan kadar yang tertentu.”

2)   Ayat 2 surah al-Furqan yang bermaksud :“ Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap suatu lagi menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdirnya yang sempurna.”

3)   Firman Allah dalam surah ali Imran ayat 47 yang bermaksud: “ Apabila Allah hendak meluluskan suatu perkara maka ia hanyalah berfirman kepadanya : Jadilah lalu terus berlaku.”

4)   Firman Allah subhatanahu wa taala lagi dalam surah al-an’am ayat 2 yang bermaksud :   Dialah Allah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian ia tentukan ajalnya. ( tempoh kematian kamu ).”


Rasulullah shallallahu alaihi wassalam bersabda ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh malaikat Jibril alaihissalam tentang keimanan, katanya : “ Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat, rasul-rasul dan hari akhirat serta beriman dengan qadr yang baik atau yang jahat. ( muslim)

Apakah yang yang dimaksudkan dengan qadar dan qadha’?

Di dalam kejadian Allah yang maha Agung yang meliputi apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi ini adalah dijadikan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh Allah pada azali ( Sunnatullah fi khalqihi ).

Segala peraturan dan undang-undang yang ditentukan itu adalah mengikut perancangan Allah yang maha bijaksana dan telah dilaksanakan sebelum diwujudkan sesuatu apapun lagi, seperti peraturan memproseskan kejadian manusia, peraturan dan tabiat yang ada kepada api, dan kaitan pertemuan sesuatu sebab dengan suatu sebab yang lain yang boleh menghasilkan suatu akibat ( kejadian ) umpamanya berlaku kebakaran bila api bersentuh dengan sesuatu benda yang kering ( Kertas Umpamanya ), atau tidak berlaku kebakaran bila dipancutkan air keatasnya, begitulah lain-lain peraturan yang ada kaitan sebab dan musababnya.

Ia merupakan peraturan tetap bagi alam, dan peraturan inilah yang dikatakan qadar, kemudian suatu yang berlaku sebagai hasil daripada perkaitan antara satu sebab dengan sebab yang lain, maka itu dikatakan sebagai qadha’, atau pelaksanaan diatas peraturan yang telah ditetapkan. Misalnya:

Satu biji benih yang baik tabiatnya pasti boleh tumbuh bila diletakkan diatas tanah yang lembab, tetapi jika diletakkan pada tanah yang kering tentu ia tidak akan tumbuh, kerana disana tidak ada daya penumbuh, atau tidak ada sebab yang menggerakkan benih itu untuk tumbuh.

Tegasnya qadar itu boleh berubah dengan satu qadar yang lain, atau berubah sebab dengan sebab yang lain juga, manakala qadha’ pula ialah suatu yang telah sempurna dan terlaksana wujudnya, ibarat sebatang anak panah yang telah dilepaskan dari busurnya maka sudah tentu tidak akan kembali lagi.

Dalam pada itu Rasulullah shallallahu alaihi wassalam bersabda katanya : “ La Yuroddul qadha’ illa biddua’ “ Maksudnya: " Tidak akan terubah qadha melainkan dengan doa."

Saidina Umar al-Khattab pernah menjelaskan sikapnya didalam membezakan antara qadar dan qadha’ ketika menjawab pertanyaan  Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah mengenai wabak  taun yang merebak di negeri Syam ( Syria ) adakah tuan hamba lari daripada takdir Allah? Jawab Saidina Umar: saya lari daripada takdir Allah kepada takdirNya yang lain; iaitu lari daripada penyakit dan wabak kepada takdir sihat dan afiat. Begitulah juga jika seseorang yang berpindah daripada bumi yang menghadapi kemarau kepada bumi yang subur untuk memelihara ternakannya, maka perpindahannya itu beerti bertukar dari satu takdir kepada takdir yang lain.

Tiap-tiap manusia yang telah dikurniakan daya usaha dan kuasa pilihan mesti melakukan kerja-kerja yang baik bagi dirinya dan meninggalkan kerja-kerja yang buruk dan jahat, kerana segala pekerjaannya itu termasuk dibawah tanggungjawabnya yang akan diambil tindakannya diakhirat kelak.

Qadr dan qadha’ terbahagi kepada dua bahagian:

1)   Qadr dan qadha’ mubram.

2)   Qadr dan qadha’ muallaq.

1)   Qadr dan qadha’ mubram iaitu yang telah ditentukan oleh Allah mengikut perancangan pada azali dan tidak akan berubah lagi ( Tak akan berubah ) seperti jenis bangsa: Arab, Melayu, Cina dan India serta inggeris dan lainnya, begitu juga malapetaka dan bencana-bencana alam yang berlaku dan sebagainya. Kesemuanya itu sudah tetap dan tidak boleh berubah lagi.

2)   Qadr dan qadha’ muallaq iaitu apa-apa yang berkait dengan usaha ikhtiar manusia, seperti sebab-sebab yang membawa kecelakaan dan kebahagiaan kepada seseorang, sebab-sebab yang membawa kederhakaan dan ketaatan dan lainnya. (Takdir ini boleh berubah cuba lihat kisah Saidina Umar al-Khattab di atas ).


Firman Allahu Taala dalam surah al-Insan ayar 4 yang bermaksud : “ Sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya ( manusia melalui akal dan Rasul ) akan jalan-jalan yang benar dan yang salah samaada ia bersyukur ( dengan beriman ) atau kufur ( mengingkari kebenaran ).”


Hukum percaya kepada qadar dan qadha’:

Setiap orang Islam yang mukallaf wajib beriman bahawa Allah telah menjadikan undang-undang dan peraturan-peraturan kepada semua makhluknya, dan segala sesuatu yang berlaku itu adalah berlaku mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh Allah subhanahu wa taala sejak azali samaada dalam keadaan baik atau jahat atau lain-lainnya.

Firman Allah subhanahu wa taala dalam surah yasin ayat 37-39 yang bermaksud: “ Dan dalil yang terang untuk mereka berfikir ialah malam yang kami hilangkan siang daripadanya, maka serta merta mereka berada dalam gelap gelita, dan sebahagian dari dalilnya lagi ialah matahari yang kelihatan beredar ditempat yang ditetapkan baginya itu adalah penentuan takdir Tuhan yang Maha kuasa lagi amat mengetahui, dan bulan pula kami takdir ia beredar melalui beberapa peringkat sehingga diakhir peredarannya kelihatan kembali pula ke peringkat awalnya berbentuk melengkung seperti  tandan yang kering."

Begitulah  ( Nizhomullah Fil Alam ) yang datang dari ketentuan Allah yang maha berkuasa dan maha bijaksana.”



Diwajibkan kepada setiap orang yang mukallaf agar mengi'tikadkan bawawa; Adalah hak Allah, JAIZ yakni harus membuat perkara yang baik dan yang buruk. Kebebasan Allah menjadikan muslim bagi si fulan dan menjadikan kafir bagi si fulan lainnya, atau menjadikan pintar atau bijak bagi si fulan dan bodoh bagi si fulan lainnya.


Firman Allah Taa'la yang bermaksud: " ... Katakanlah! semuanya datang dari sisi Allah...' ( an-Nisa': ayat 78 )


Meskipun demikin kita manusia diberi anggota oleh Allah untuk berfikir dan berusaha serta bekerja, diperintah oleh Allah agar beribadah kepadaNya dan berusaha untuk kepentingan hidup dan kehidupan kita bersama dengan makhluk lainnya. Kerana itu pula kita orang yang beriman dan muslim wajib bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan dan mentakdirkan kita sebagai seorang mukmin dan muslim tidak dijadikan sebagai seorang kafir dan munafiq.


Semua perkara atau kejadian yang baik dan yang buruk terjadi atas qadar dan qadha Allah Taa'la yang disebut qadha juga disisi Ulama' ialah, semua perencanaan Allah sejak azali mengenai seluruh nasib makhluknya yakni sebelum Allah menciptakan alam semesta. Qadar pula ialah, menjadikan dan melaksanakan seluruh rencanaNya sekarang di dalam dunia ini sesuai dengan perencanaanNya sejak azali.

Persoalan yang sering timbul dan meragukan tentang qadar dan qadha’:

Apakah kita hanya berserah kepada Allah dalam setiap urusan tanpa perlu berusaha? Apalah faedahnya kita beramal dan mengapakah perlu kita bersusah payah berusaha, tunggu sajalah keputusan takdir? Inilah pertanyaan yang selalu timbul yang sungguh-sungguh meragukan dan membuatkan seseorang sukar untuk memhaminya. Dan pada zaman Rasulullah shallallahu alaihi wassalam pernah juga berbangkit soalan-soalan seperti itu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Nabi shallallahu alaihi wassalam dalam satu hadith sebagai berikut:

“ Tidak ada seorang daripada kamu melainkan telah dituliskan tempat duduknya dari neraka dan tempat duduknya dari syurga. Lalu mereka berkata: Ya Rasulullah! Kalau begitu, maka apakah kami hanya berserah sahaja kepada tulisan ( takdir kami ) dan kami tinggalkan amal? Rasulullah shallallahu alaihi wassalam bersabda: Beramallah kamu, maka semuanya akan dipermudahkan kepada apa yang telah dijadikan baginya. Adapun orang yang digolongan bahagia maka ia akan beramal dengan amalan golongan bahagia. Dan adapun orang yang dari golongan celaka maka ia akan beramal dengan amalan golongan celaka ( Dalam hadis yang lain ada disebutkan bahawa orang yang bahagia akan dipermudahkan untuk amal orang yang bahagia, sedang orang yang celaka akan dipermudahkan untuk amal orang yang celaka. ). Kemudaian Rasulullah shallallahu alaihi wassalam membaca ayat yang tersebut, iaitu:
“ Maka adapun orang yang member dan berbakti dan mengakui dengan kebaikan, maka Kami akan permudahkan dia kejalan yang mudah. Dan adapun orang yang bakhil dan merasa terkaya dan mendustakan dengan kebathilan, maka Kami akan permudahkan ia kejalan yang payah.” ( Surah al-Lail ayat 5-10 )


Tujuan beriman kepada qadr dan qadha’:

Seseorang yang beriman dengan qadar dan qadha’ akan mendapat beberapa faedah yang besar diantaranya:

1)   Untuk mengagungkan kebesaran Allah dan kekuasaanNya terhadap makhluknya.

2)  Dapat memelihara diri daripada berperasaan sombong dan takabbur dengan kejayaan yang telah dicapai.

3)  Dapat memberikan ketenangan jiwa di masa menghadapi  sesuatu ujian dan percubaan dan menimbulkan kerelaan hati dengan apa yang telah berlaku.

4)  Dapat memelihara diri daripada berputus asa jika gagal dalam sesuatu usaha.

5)  Dapat melahirkan keikhlasan dan kebersihan hati dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah dan dalam segala urusan hidup kerana semuanya dari kekuasaan Allah subhanahu wa Taala.


Wallahu a’lam…


Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah nasib mereka sendiri..”
Tujuan saya menceritakan tentang qadha’ dan qadar ini adalah kerana prihatin terhadap saudara seIslam saya yang mana ada sebahagian mereka yag masih belum mengetahui dengan lebih lanjut tentang maksud sebenar qadha’ dan qadar ini. Ini kerana ketika mana saya membaca beberapa masalah dan persoalan dikalangan mereka yang masih belum memahami masalah ini dengan mengatakan bahawa apakah takdir itu boleh berubah atau sebaliknya yakni tidak boleh berubah sama sekali. Maka ada sebahagian mereka yang mengatakan bahawa takdir itu tidak sama sekali akan berubah kerana setiap apa yang berlaku semuanya sudah ditentukan Allah sejak azali lagi, ia tidak akan berubah walau dengan doa sekalipun atau sebab apapun. Jadi atas sebab inilah saya memberikan penjelasan bahawa takdir qadha’ dan qadar itu terbahagi kepada dua Mubram dan Muallaq seperti yang sudah saya jelaskan diatas. Yang dikatakan qadha’ dan qadr Mubram adalah takdir yang tidak boleh berubah, manakala qadha’ dan qadar muallaq adalah takdir yang boleh berubah dengan sebab usaha dan ikhtiarnya seseorang.

Dengan adanya artikel ini ia tidak membawa maksud bahawa saya lebih mengetahui berbanding mereka, tidak sama sekali bahkan saya mahu kongsikan apa-apa ilmu yang sudah saya fahami kepada sesiapa sahaja yang mahu dan berhajat dengannya. Kerana menyampaikan dan berkongsi satu ilmu itu merupakan sedekah dan ibadah kepada sesiapa yang mahu menerimanya.

Untu semuanya itu saya sudah jelaskan kesemuanya diatas, harap dapat difahami dengan lebih baik agar tiada kekeliriuan tentang masalah ini lagi. Moga artikel ini dapat membantu kita semua, serta mendapat ilmu yang bermanfaat buat kita supaya faham tentang takdir dan rencananya Allah kepada makhluknya. Amen ya Robbal Alamin !


Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi,
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarifi,
Kaherah Mesir Bumi Barakah Para Nabi

Lirik Nasyid tentang Sabar dengan Takdir 'Ujian Hidup' Dari Allah


Rujukan:

1)    Al-Quran al-Karim

2)   Tafsir al-Quran pimpinan ar-Rahman

3)   Hadis Arbain an-Nawawi

4)  Asas Akidah al-Islam,
5)  Kitab Tijaanud Daraarii ( Sifat 20 ).
Related Posts with Thumbnails