Showing posts with label Penuntut Ilmu warisan Nabi. Show all posts
Showing posts with label Penuntut Ilmu warisan Nabi. Show all posts

Friday, March 27, 2015

Alhamdulillah Graduate Ijazah Pertama


Alhamdulillah segala puji bagi Allah….

dengan bantuan dan izin Allah saya najah juga dalam imtihan akhir di al-Azhar.


Terima Kasih Ya Allah !

( Asy-Syahadah Al-Asliyyah @ Al-Ijazah Al-Aliyyah )





Alhamdulillah Jazakumullahu khoiron jaza' kepada ibu yang selalu mendoakan kejayaan saya para guru, ustaz/ustazah, sahabat-sahabat, keluarga dan ibu-ibu angkat  serta yang banyak membantu dan menunjuk ajar kepada saya yang jahil dan hina ini… Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan yang kalian lakukan pada saya. Barakallahu fikum.

Semoga kejayaan ini dapat membantu diri hamba yang faqir ini untuk terus menyampaikan dakwah dan mengajarkan ilmu kepada masyarakat dan berkhidmat kepada ummat Nabi shallallahu alaihi wa sallam demi meraih keredhaan daripada Allah dan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin, Amin ya Robbal alamin !


Rancangan seterusnya insyaAllah…. Sambung belajar diperingkat Master insyaAllah.

Friday, June 14, 2013

Wanita Berlin In Masjid Azhar


Bersujud Syukur

Selepas selesai menjawab soalan peperiksaan Usul Fiqh pagi tadi ( Khamis ) saya terus pergi ke masjid al-azhar untuk menunaikan sholat fardhu zhohor, kemudian saya bersujud syukur.

Sujud syukur bukan kerana saya mudah menjawab periksa bukan juga kerana ada apa-apa ketakjuban yang dirasai  tapi kerana satu sebab saja, iaitu sebab saya boleh masuk ke dalam dewan periksa untuk duduk dan menjawab periksa.

Nak tahu kenapa?

Begini… pagi tadi saya bangun lewat. Periksa start jam 10 pagi. Manakala saya pula bangun tepat jam 10 pagi. Perjalanan untuk pergi ke al-azhar dari tempat saya kira-kira 30 minit. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan saya ketika itu? Kalut, kelam kabut, risau, takut, berserabut rasa macam nak pecut, nak jadi superman nak pinjam helicopter, jet etc… macam-macam yang bermain difikiran.

Tapi.. begitulah.. kehendak Allah, ketentuannya… kita ni hambaNya Dia pula Tuhan kita, jadi saya bisik hati saya untuk berserah dan bertawakkal kepadaNya, Dia berkuasa atas segalanya. 

sambil bawa motor dengan laju saya tuntun lidah untuk berzikir dan bertasbih kepadaNya…

 'Hasbiyallah' dan ' La Haula Wa La Quwwata Illa Billah'.

Sampai di dewan, saya lihat doctor memandang saya dan menggelengkan kepalanya. Kemudian dia pelawa saya untuk duduk diatas kerusi dan ambil kertas soalan.

Dalam hati rasa lega… puji syukur pada yang Maha Esa. Alhamdulillah.

( Saya Cuma berfikir kalau2 doktor tidak membenarkan saya ambil periksa pagi tadi kalau dia marah dan tidak membenarkan saya mengambil periksa, entah bagaimana. Semalam saya pulun study, sampai jam 6 pagi baru tidur… rasa rugi kalau tidak dapat masuk periksa tadi. Tapi Alhamdulillah. Syukur pada Allah.)
Itu sebablah saya sujud syukur!

Wanita Berlin Masihiyyah

Masa di masjid azhar, saya bersembang dengan seorang 'siahah' pemandu travel. Yang bersamanya wanita 'masihiyyah' dari 'Berlin'. Saya pergi dekat padanya. Kerana saya perhatikan dari awal pergerakan mereka yang mengangguk dan seolah2 menceritakan sesuatu tentang ibadah sholat dan keajaiban masjid azhar. 

Saya pergi duduk disebelah kerusinya. Saya mulakan salam dan berkenalan.

Anta masriyyin? 

Na'am, 'ana masri'.

Alhamdulillah.

Saya mulakan soalan. Dan bertanya macam-macam tentang keberkatan azhar yang kekal ramai anak muridnya dari seluruh dunia yang tiap tahun datang dan belajar di azhar. Dan saya juga bertanya tentang wanita berlin tersebut. Senang cerita dia jawab begini.

Wanita tu dari berlin. Dia beragama masihiyyah. Saya ni pemandu travelnya.

Tadi wanita itu beritahu kepada saya, bahwa dia sangat suka dengan pengajian ilmu, dan teringin duduk di samping masyaikh sertaa doctor yang mengajar, dan dia meminta kepada saya untuk mengambil gambarnya bersama syeikh yang sedang mengajar tu.

Dan dia jawab, kenapa azhar tetap utuh dari dulu hingga sekarang dan mendapat sambutan yang menggalakkan seluruh dunia, kerana azhar adalah university yang mengajar tentang Islam sebagai rahmat lil alamin, dan dulu katanya semua penunut ilmu datang dari seluruh dunia dan duduk belajar di masjid ini. Kemudian berpindah kepada bangunan 'jami'ah'. Dan diantara sebab musabbabnya juga adalah kerana system pengajian di azhar yang mudah dan disenangi oleh orang2 Islam seluruh dunia, yuran pengajian juga adalah percuma. Bahkan katanya pelajar2 azhar yang pulang ke negerinya bukan saja membawa ilmu dari azhar bahkan membawa sikap yang matang dalam menilai setiap aspek keagamaan. Dan mereka mengajar dan membuka sekolah2 agama di negeri mereka. Itu sebablah azhar kekal sejak seribu tahun dan berkembang sehingga ke hari ini.

Kenapa orang2 masihiyyah suka menziarahi masjid azhar? 

Kerana masjid azhar ini adalah masjid yang lama, dan 'jami'ah di azhar adalah jami'ah yang sudah beribu tahun lamanya'. Punyai sejarah dan kesenian yang tersendiri.

Dan boleh jadi juga kerana masihiyyin merasa tercabar dan respek dengan pengajian agama yang berada di azhar. Kerana rintangan yang paling besar para 'muballig' kristian dalam menyampaikan dakyah mereka ialah pelajar2 yang berlajar  di ' jamiah azhar' kerana mereka berpegang dengan Islam yang kukuh berdasarkan system yang dibawa oleh al-azhar kemudian menjadi pendakwah bila pulang ke negeri mereka.

Tiba-tiba Wanita masihiyyah tu datang…. Pemandu travel tu memperkenalkan saya kepada wanita berlin itu. Dia tersenyum dan mengucapkan ' welcome'. are you student at al-Azhar University. what faculty?

Saya pun jawab lah. "yes .. I am student of al-Azhar. faculty Ushuluddin syukbah Hadith."

Kemudian dia bercerita dengan katanya. " Dahulu ada kawan2 saya dari jerman menaiki sebuah kapal terbang, semasa kapal itu mahu 'landing' kami melihat orang2 Islam mengangkat tangan dan berdoa… ya, masa itu kami takut, kapal itu seolah2 macam mahu terhempas… oleh sebab orang Islam itu berdoa… maka kami pun selamat. Dia cerita sambil memberikan senyuman. Lantas dia Tanya, kenapa mereka berdoa?

Saya jawab, " Islam mengajar penganutnya untuk berdoa disetiap keadaan, masa dan tempat. Agar mereka selamat. Kerana mereka memliki perasaan bertuhan yang mana Tuhan itu berkuasa atas segalanya dan Tuhan mendengar doa mereka dan memakbulkan permintaan mereka. Itu sebablah orang Islam yang menaiki kapal terbang bersama saudari mengangkan tangan berdoa."

Dia tersenyum… seperti bersetuju dan faham dengan jawapan yang saya berikan.

Kemudian dia pergi kea rah depan berdekatan Mihrab kerana di sana ada pengajian talaqqi bersama ' Asy-syeikh Dr Fathi al-Hijazi hafizahullah'. 

Saya Tanya kepada ketua travel, saya melihat dia ( wanita berlin) itu suka dengan Islam.
Ketua travel itu jawab, "ya! Memang dia berminat. Saya ada bawa dia pergi ke satu masjid, disana dia melihat orang2 Islam sedang sholat dan membaca quran… masa itu dia melihat… dan dia cerita dekat saya katanya," sejuk hati saya tengok amalan2 mereka, teringin mahu mencuba…"

Saya Tanya lagi, " apakah dia ada perasaan mahu memasuki agama Islam?

Dia jawab, " ya, mungkin ada, kita doa pada ' Robb ' moga Allah beri hidayah kepada'Nya.

Tiba-tiba kami terdengar suara dari belakang kerusi… dia pun tiba-tiba menyampuk dan mula berbiaca..
" ya, katanya…. Islam menyuruh kita berlaku baik dan memuliakan tetamu2 walaupun mereka bukan Islam, kerana akhlak Islam itu indah dan sempurna Cuma penganutnya yang kurang mengamalkannya." 

Subhanallah… aku seolah2 terasa… bila pakcik ini menyentuh soal akhlak dan mengatakan Islam sempurna dan penganutnya yang kurang mengamalkan dan menghayatinya… ya Allah.. memang cukup terasa… 

Saya Cuma angguk kepala menandakan setujunya saya dengan kata2 pakcik arab itu. Tak sangka yang pakcik itu mendengar perbualan kami berdua dan bertiga dari tadi.

Dia teruskan percakapannya dan didengari dengan tekun oleh travel tersebut, mereka berdua rancak bersembang, manakala saya pula memerhatikan wanita-wanita mashiyiyyah yang datang ramai dan menerokai masjid azhar.

Sekali lagi wanita berlin itu datang, setelah puas menerokai dan pergi mengambil gambar syeikh yang sedang mengajar, dia pun meminta travelnya untuk bertolak. Dan sebelum bertolak dia memandang saya, sambil senyum dia mengucapkan, ' Bye Bye and see you again '.


Hamba Ilahi Ustaz Kamarudin Toyo As-Shobahi.

Tuesday, February 12, 2013

Ziarah Maqam Sayyidah Nafisah Radhiallahu Anha 145H - 208H

Alhamdulillah... selepas pengajian sunan ibnu Majah bersama Syeikhuna Dr Yusri Hafizahullah ana dan ustaz Zulkifli Ilyas pergi menziarahi Maqam Srikandi Ahlul Bait Rasulullah shallallahu alaihi wassalam Sayyidah Nafisah Radhiallahu anha. Sudah lama ingin kesana Alhamdulillah akhirnya diizinkan Allah jua. Semoga Allah redha dengan ziarah ini.. amiin ya Allah!

Mari kita baca sebentar tentang sejarah Sayyidah Nafisah radhiallahu anha yang diberi gelaran sebagai Ummul Ulum ( ibu sekalian ilmu ) agar semakin bertambah kecintaan kita kepada ahlul bait Nabi shallallahu alaihi wassalam :



Sayyidah Nafisah radhiallahu anha 145H-208H: 63 TAHUN  

Serikandi Ahlul Bait Rasulullah s.a.w

Bumi Mesir diberi kelebihan oleh Allah dengan bersemadinya sekalian ramai jasad Ahlul Bait. Antara mereka ialah Sayyidah Nafisah r.anha. Nama Sayyidah Nafisah tidak asing lagi bagi umat Islam di Mesir ini. Masjid beliau yang terletak berhampiran Kubu Salahudin Al-Ayubi, Kaherah menjadi saksi betapa kasihnya umat Islam kepada beliau apatah lagi tanggal 9 Jamadilakhir setiap tahun, sekalian umat Islam akan berkumpul di perkarangan masjid beliau bagi merayakan maulid beliau.

Berdekatan masjid beliau, juga terdapat beberapa maqam Ahlul Bait Nabi dan ulamak yang lain antaranya Sayyidah Sukainah binti Saidina Husein, Sayyidah Ruqayah binti Saidina Ali, bapa saudaranya Sayyid Muhammad Al-Anwar dan pengarang kitab "Tafsir Mimpi" Imam Ibnu Sirin.

Keturunan Mulia

Sayyidah Nafisah memang terkenal sebagai seorang serikandi yang berani bahkan terkenal dengan kehebatan ilmunya yang tinggi hingga digelar sebagai “Ummul ‘Ulum” (ibu sekalian ilmu). Nama beliau ialah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar bin Saidina Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali bin Abi Talib, menantu Rasulullah s.a.w. “Nafisah” diambil dari kalimah "an-nafasah" yang bermaksud kemuliaan atau ketinggian keadaan sesuatu. Beliau sangat menyerupai emak saudara sebelah bapanya yang bernama Sayyidah Sukainah al-Kubra binti Zaid r.anhum.

Ayahandanya Sayyid Hasan al-Anwar dan diberi gelaran “al-Anwar” iaitu yang bercahaya kerana keadaan mukanya yang kelihatan bercahaya kesan daripada kuat ibadat yang ikhlas kepada Allah. Beliau dilantik oleh Khalifah Jaafar al-Mansur sebagai gabenor Madinah al-Munawarah tahun 150 hijrah. Sayyidah Nafisah dilahirkan di Mekah tanggal 11 Rabiul Awal tahun 145 hijrah. Beliau dibesarkan di Madinah kerana ayahandanya seorang gabenor. Sejak kecil, beliau lebih suka membaca al-Quran, selawat ke atas Nabi di samping gemar menziarahi maqam Nabi. Hingga satu masa, setelah usia Sayyidah Nafisah mencecah beberapa tahun, ayahandanya telah membawa beliau menuju ke bilik yang bersemadi jasad Rasulullah s.a.w. Lalu ayahandanya berkata, "Ya Rasulullah! Redhailah anak perempuan aku yang aku namakan Nafisah ini." Lalu satu malam ayahandanya bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w lalu Baginda bersabda, "Wahai Hasan!Sesungguhnya aku telah meredhai anakmu yang juga zuriatku, Nafisah dan Allah Taala juga meredhainya dengan sebab redha aku kepadanya".

Perkahwinan

Sayyidah Nafisah berkahwin dengan sepupu beliau yang berketurunan Saidina Husein, Sayyidi Ishaq al-Mu'taman bin Saidina Jaafar As-Sodiq bin Saidina Muhammad al-Baqir bin Saidina Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali menantu Rasulullah s.a.w. Suaminya digelar sebagai "al-Mu'taman" kerana beliau seorang yang sangat amanah dan kuat imannya. Beliau merupakan saudara kandung kepada Sayyidah Aisyah (bukan Aisyah isteri Rasulullah s.a.w) iaitu anak kepada Saidina Jaafar as-Sodiq. Sayyidah Aisyah juga disemadikan dalam masjidnya di Hayyu Al-Khalifah dekat dengan Kubu Salahudin Al-Ayubi di Kaherah. Tatkala Sayyid Hasan Al-Anwar meninggalkan jawatan gabenor Madinah, ia diganti oleh menantunya Sayyid Ishaq Al-Mu'taman sebagai gabenor bagi khilafah Abbasiyah. Beliau diakad nikah pada hari Jumaat 5 Rejab tahun 161 hijrah dan telah dikurniakan dua cahaya mata bernama Qasim dan Ummu Kalthum.

Ibadat Sayyidah Nafisah

Sayyidah Nafisah sangat gemar membaca al-Quran, kuat berpuasa di siang hari, solat pada malamnya, amat kasihan belas kepada orang miskin, anak-anak yatim dan manusia sekaliannya. Diriwayatkan daripada Sayyidah Zainab binti Sayyid Yahya yang juga anak saudaranya, beliau berkata, “Aku telah berkhidmat kepada emak saudaraku (sebelah ayah), Sayyidah Nafisah selama 40 tahun. Aku tidak pernah lagi melihat Sayyidah Nafisah tidur pada siang dan malam kecuali kerana darurat (terpaksa) kerana sibuk dengan beribadat. Beliau juga sentiasa berpuasa kecuali dua hari raya dan hari tasyriq. Lalu aku bertanya kepadanya, “Wahai emak saudaraku!Tidakkah kau berasa penat dan kasihani tubuhmu?” Lantas beliau berkata, “Bagaimana aku mampu mengasihani diriku sedangkan dihadapanku azab Allah sedang menanti. Tiada siapapun yang dapat mengelak daripadanya kecuali orang-orang yang berjaya.”

Sayyidah Nafisah telah mengerjakan haji sebanyak 30 kali dan kebanyakannya beliau pergi dengan berjalan kaki. Beliau selalu berdoa sambil menangis di sisi Kaabah “Tuhan ku!Penciptaku!Penolongku!Berikanlah kegembiraan kepadaku dengan redha-Mu kepadaku. Janganlah diriku ini menjadi sebab sebagai pendinding (hijab) antara Kau dan aku. Tuhanku!Permudahkanlah aku menziarahi kubur kekasih-Mu, Ibrahim (iaitu Mekah)”.

Pada hari yang kesepuluh akhir Ramadhan tahun 193 hijrah Sayyidah Nafisah bermusafir ke Mesir bersama suami, ayah dan kedua-dua anaknya yang ketika itu umur beliau mencecah 48 tahun kerana bertujuan menziarahi ahli keluarga Rasulullah s.a.w yang lain di Mesir. Setelah menziarahi Mekah dan Baitulmaqdis, mereka tiba di Mesir dengan disambut meriah oleh sekalian penduduk Mesir termasuk sekalian pembesar negara ketika itu. Kebanyakan mereka menjemput Sayyidah Nafisah ke rumah. Hinggalah beliau tiba di rumah Ummu Hani’, satu keajaiban telah berlaku apabila Allah s.w.t telah memuliakan hamba-Nya itu dengan disembuhkan kecacatan seorang budak perempuan Yahudi dengan keberkatan air wuduk Sayyidah Nafisah yang menyebabkan keluarga budak tadi memeluk Islam. Sejak itu,berduyun-duyun manusia menziarahi Sayyidah Nafisah meminta doa dengan pelbagai hajat hingga suaminya bercita-cita untuk kembali ke Madinah. Lalu Sayyidah Nafisah berkata, “Aku tidak boleh berbuat demikian kerana aku melihat Rasululah s.a.w dalam mimpi bersabda,“Jangan tinggalkan Mesir kerana Allah akan mematikan kamu di sana”.

Kasihnya beliau kepada Mesir dan penduduknya amatlah tinggi. Beliau pernah berkata, “Sesungguhnya aku amat menyayangi penduduk Mesir. Aku bercita-cita untuk dikuburkan di sini. Allah memuliakan Mesir dengan menyebutnya dalam al-Quran sebagaimana disebutnya Mekah.” (rujuk kitab Ad-Durr An-Nafisah oleh Syeikh Ramadhan Abdu Rabbuhu Asfur r.anhu).

Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie

Imam Syafi’e r.anhu, Imam mazhab Feqah yang masyhur sempat hidup sezaman dengan Sayyidah Nafisah. Sayyidah Nafisah menjalani kehidupan di Mesir selama 15 tahun iaitu dari 26 Ramadhan tahun 193 hijrah hingga 15 Ramadhan tahun 208 hijrah. Imam Syafi’e amat kerap menziarahi beliau. Ini sebagai tanda mulia dan kasihnya Imam Syafi’e kepada ahli keluarga Nabi. Selain ziarah, Imam Syafi’e juga turut mendengar bacaan hadis daripada Sayyidah Nafisah dan beliau juga membaca hadith kepada Sayyidah Nafisah. Beliau juga kerap menunaikan solat terawih di masjid Sayyidah Nafisah dan apabila Imam Syafi’e ditimpa sakit beliau pasti akan menghantar seorang utusan bertemu Sayyidah Nafisah dan mengirim salam bertujuan menggantikannya menziarahi Sayyidah Nafisah. Beliau pasti meminta Sayyidah Nafisah mendoakan kesihatan untuk beliau. Hingga satu hari beliau ditimpa sakit yang membawa kepada kewafatan beliau, seperti biasa seorang utusan diutus bertemu Sayyidah Nafisah dan kali ini Sayyidah Nafisah berdoa, “Semoga Allah memberikan kepadanya (Imam Syafi’e) sebaik-baik pertemuan dan memberikan kenikmatan dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Maka utusan itu kembali dan memberi tahu apa yang didengar kepada Imam Syafi’e lalu beliau tahulah bahawa ajalnya bakal tiba tidak lama lagi. Lalu Imam Syafi’e berwasiat agar Sayyidah Nafisah menyembahyangkan jenazahnya lalu wafatlah Imam Syafi’e pada hari Khamis, akhir bulan Rejab tahun 204 hijrah.

Apabila mendengar berita kewafatan Imam Syafi’e dengan penuh kesedihan, Sayyidah Nafisah berdoa,” Semoga Allah merahmatinya,dan adalah dia seorang yang memperelok wuduk”. Ini adalah sebagai penyaksian Sayyidah Nafisah kerana wuduk adalah asas melakukan ibadat. Apabila cantik asasnya maka cantiklah ibadat yang dibina padanya seolah-olah beliau berkata, “Imam Syafi’e itu elok pada ijtihadnya.” Tatkala terasa kesakitan yang menimpa amatlah kuat hingga memisahkannya dari dunia,Sayyidah Nafisah mula menggalikan kubur dalam biliknya. Pada saat-saat akhir usianya,beliau sering turun dan beribadat dalam liang lahad tersebut dengan banyak bersembahyang sunat dan membaca al-Quran. Berkata Al-Allamah Al-Ajhauri, “Adalah Sayyidah Nafisah membaca al-Quran dan mengkhatamnya dalam kuburnya sebanyak 6,000 kali dan beliau menghadiahkan pahalanya kepada sekalian umat Islam yang telah meninggal dunia.”

Menghembus Nafas Terakhir

Kesakitan yang menimpanya semakin kuat pada pertengahan bulan Ramadhan tahun 208 hijrah dan beliau sedang berpuasa ketika itu. Maka sekalian orang yang hadir ketika itu menyarankan agar beliau berbuka puasa sahaja bagi meringankan kesakitan yang dihadapi. Mendengar hal tersebut beliau berkata, “Pelik sungguh. Aku berpuasa 30 tahun dan aku berdoa kepada Allah agar dimatikan aku dalam keadaan berpuasa tiba-tiba aku diminta berbuka?”.

Kesakitan yang ditanggungnya berlarutan hingga hari Jumaat hari yang ke-15 Ramadhan. Mulut beliau masih lagi mampu membaca al-Quran hingga sampai pada ayat ke-127 daripada Surah al-An’am yang bermaksud, “Bagi mereka itu (orang-orang yang merenung dan menghayati pesanan dari Allah) disediakan tempat yang selamat dan aman iaitu syurga di sisi Tuhan mereka dan mereka berada dalam kekuasaan dan pertolongan-Nya dengan sebab apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu.” Ketika selesai membaca ayat ini, sunyi seketika rumah beliau diikuti tangisan dan doa sekalian manusia yang hadir mengiringi roh beliau yang baru dijemput mengadap Allah.


Maqam Sayyidah Nafisah Radhiallahu Anha 208H

Disemadikan Di Mesir

Setelah kewafatan Sayyidah Nafisah,suaminya Ishaq al-Mu’taman telah bercadang untuk membawa kembali jasad Sayyidah Nafisah ke Madinah untuk dikebumikan bersama-sama ahli keluarganya yang lain. Tetapi,penduduk Mesir telah membantah dan meminta agar Sayyidah Nafisah disemadikan di Mesir dalam kubur yang digali dengan tangan beliau sendiri. Setelah cubaan memujuk keluarganya menemui jalan buntu, sekalian penduduk Mesir telah mengadu kepada Ubaidillah bin as-Sura, gabenor Mesir ketika itu agar dapat menangani masalah ini dengan baik. Dikatakan sekalian penduduk Mesir telah mengumpulkan sekalian harta bagi diberikan kepada keluarga Sayyidah Nafisah agar hasrat untuk mengembalikan Sayyidah Nafisah ke Madinah dibatalkan. Pada malamnya,suaminya telah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w dan Baginda bersabda kepada Ishaq,” Wahai Ishaq! Kembalikan harta manusia (penduduk Mesir) kepada mereka dan semadikan Nafisah di sisi mereka kerana rahmat diturunkan kepada mereka dengan berkat Nafisah.” Keesokannya, Sayyid Ishaq telah memaklumkan mimpinya kepada penduduk Mesir. Dengan penuh gembira dan syukur kepada Allah, jasad Sayyidah Nafisah disepurnakan lalu disemadikan di dalam biliknya yang kini dibina masjid padanya yang dinamakan “Masjid Sayyidah Nafisah”.

Semoga kita bisa mencontohi beliau... (",)


Tuesday, December 11, 2012

4 Tahun Duduk Mesir 4 Kali Pindah Rumah

Bismillahirrahmanirrahim….
Allahumma shalli ala saidina Muhammad wa Ala alihi wasohbihi wa barik wassalam…

Mesir, Aku datang lagi…
Alhamdulillah…

Kali ini aku datang berempat.. aku, zaujah, zuyyin dan Habib.
Kami datang penuh harapan, penuh semangat dan mempunyai niat yang sama seperti dulu.. iaitulah niat untuk mendalami ilmu agama Allah…dan ingin mendekati para alim ulama' dan inginkan keberkatan tanah para anbiya' dan auliya'.
Kami datang membawa 1001 pengharapan bagi hamba-hamba Allah yang mengharap… iaitu mengharapkan kebaikan serta keberkatan tanah anbiya' untuk dibawa pulang ke tanah air… kerana mereka mengharapkan anak-anaknya belajar dan terus menerus di dalam menuntut ilmu agar kepulangannya nanti disambut dengan majlis-majlis zikir dan memiliki kedudukan di taman-taman syurga yang diidami samaada syurga duniawi apatah lagi syurga yang hakiki di syurga firdausi.
Walaupun begitu untuk mendapatkan ilmu yang banyak dan ingin mendapatkan keberkatan dari para Alim Ulama' bukannya mudah dan senang ianya perlukan pengorbanan dan istiqamah dalam segala hal. Pengorbanan dari segi harta, masa dan tenaga mesti dilakukan agar dapat melazimkan diri di dalam majlis ilmu. Istiqamah pula ialah mesti mulazamah dengan masyaikh yang dituntut ilmu kepadaNya. Jika ianya dapat diseimbangkan insyaAllah semuanya akan diberkati serta apa yang dihajati akan terlaksana disamping berdoa kepada Allah serta bertawakkal kepadaNya.
……………………………………

Ujian Tanda Kasih Sayang Allah
Seminggu dua ini Zuyin dan Habib sakit demam, selsema dan batuk-batuk, hari ini pula zaujah terkena jangkitannya.. itulah ujian buat saya. Saya beritahu Zaujah bahawa ujian yang datang ini adalah menandakan kasih sayang Allah pada kita, agar Allah membersihkan kita dari dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Cuma biarlah sama-sama kita harungi hidup ini, susah senang tetap bersama dan menghadapinya bersama. Saya ingat pesanan mak angkat saya ketika mula-mula mahu pergi menuntut ilmu di Mesir, pesanan beliau: " Hidup tempat orang susah senang tetaplah bersama, kalau senang memang kita boleh bersama tapi ketika dilanda susah… cubalah untuk hadapinya bersama, sebab ramai orang boleh hidup senang bersama namun diwaktu susah ia gelisah dan berputus asa bahkan keyakinannya kepada Allah sudah mula tiada".
" Ya Allah, janjiMu untuk memasuki tanah Mesir dengan aman, maka amankanlah kami ya Allah, Sejahterakanlah kami ya Allah dan berilah kesabaran kepada kami ya Allah !
……………………………………………..

Teringat Memori Lama Ketika Mula Berada Di Mesir
Teringat masa saat mula-mula datang Mesir masa itu payahnya mahu berurusan. Apa tidaknya namanya saya tercicir, puas saya ke al-Azhar baru untuk cek nama namun tiada juga, kemudian saya pergi ke ARMA untuk cek nama saya disana juga tiada. Puas saya solat hajat dan bertaubat kepada Allah akhirnya termakbul juga dan nama saya pun keluar di university al-azhar kuliah usuluddin, itupun nama ayah saya tersilap. Walaubagaimanapun saya bersyukur kerana menjadi salah seorang pelajar al-Azhar Asy-Syarif. Semua yang berlaku saya anggap ianya ujian dari Allah untuk mendidik hati saya agar lebih bertawakkal kepadaNya.
Lain lagi masalah dan kenangan ketika duduk di dukya', ketika beli motorsikal, ketika zaujah baru datang Mesir, ketika zuyin lahir dan lain-lainnya… semuanya kenangan yang saya rasa terindah buat pengalaman hidup saya di Mesir… ada yang menyedihkan, mengembirakan dan membahagiakan semuanya Allah sahaja yang tahu. Apapun saya bersyukur kerana Allah masih menyayangi dan melindungi kami sehinggalah ketahap ini, semoga kasih sayangNya dan perlindunganNya sentiasa bersama kami sehinggalah bertemu denganNya disuatu hari yang bakal ditentukannya nanti. Amin !

Sudah Tahun Akhir
Alhamdulillah sekarang saya berada di tahun yang akhir tahun 4 pengajian di Kuliah Usuluddin pengkhususan Hadis ( Semoga Allah memberkati segala usaha yang dikurniakannya ). Ketika masuk ke kuliah tahun 4 saya rasa bersyukur kepada Allah kerana perancangan Allah serta bantuannya membuatkan saya seolah-olah tidak menyangka yang saya sudah berada di tahun 4 tahun akhir… bila saya fikir-fikirkan dan renungkan semula saat mula-mula berurusan dengan syu'un kuliah rasa lucu dan amat payah sekali, tapi sekarang Alhamdulillah… semuanya kehendak Allah yang wajib saya syukuri. Moga saya termasuk dikalangan hambaNya yang sentiasa bersyukur. Amiin !
" Ya Allah janjiMu bahawa pengakhiran itu lebih baik dari permulaan maka akhirilah kami dengan kebaikan, dengan keberkatan dan dengan kasih sayangMu ya Allah " amiin !

Pindah Rumah Kali Ke-Empat.
Alhamdlillah sekarang ni kami berpindah rumah, dan ini adalah kali ke empat kami berpindah. Empat tahun di bumi Mesir 4 kali juga kami berpinda rumah. Semuanya perancangan Ilahi. Semoga akhir ini lebih baik dari permulaannya amiin ya Allah !. Klau ikutkan berat hati untuk pindah rumah namun apakan daya anak sudah dua kewangan pun mesti banyak mahu diguna manakala kitab pula banyak lagi yang belum terbeli. Saya lakukan istikharah untuk memohon hidayah pilihannya samaada berpindah ataupun tetap tinggal di rumah lama, akhirnya natijah yang Allah berikan ialah berpindah, semoga inilah natijah yang boleh menenangkan hati saya sebab kalam saidina Umar al-khattab Radhiallahu anhu " Tidak rugi orang yang istikharah dan tidak menyesal orang yang syura". semoga semuanya baik-baik saja insyaAllah. Ya Allah hanya padaMu ku serahkah segalanya, berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan berkatilah segala usaha kami dan rahmatilah segala kerja buat kami dan redhailah segala amalan yang telah Engkau takdirkan untuk kami ya Allah amiin ya Allah !

Negara Mesir Tempat lahirnya para anbiya'
Bumi ini ada keberkatannya, banyak sejarahnya,
Namanya termaktub di dalam al-quran
Bagi mereka yang bisa merasainya,
Melihat isi tersiratnya
 mencerminkan melalui firasatnya,
Maka dia akan bertemu hikmahnya,
Namun jika sebaliknya terjadilah bahan fitnah,
Dan olokan buat ummatnya,
Maka insafilah…
Semua ada tandanya, ambillah iktibar darinya,
Mengembaralah di bumi
Bumi barakah,
Korek khazanah warisan nabinya,…
Siiru ala barakatillah…

Idea_Islamik
       &
habib_zuyin

Sunday, July 1, 2012

Perancangan Terindah Sempurna Alhamdulillah

Bismillahirrahmanirrahim
Allahumma shalli ala saidina Muhammad wa ala alihi wa sohbihi wa salam.
Mula-mula hamba bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnia rahmat dan hidayah daripadaNya segala perancangan tahun ini yang telah hamba rancang menjadi sempurna dan berjalan seiring dengan kehendak dan ketentuanNya.
Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi kita Muhammad shallallahu alaihi wa salam serta keluarga dan para sahabat Baginda shallallahu alaihi wassalam.
Hamba telah merancang dengan tiga perancangan pada tahun ini iaitu:
1)      Membawa family ke pesta buku ( Ma'arad Kitab ) Kaherah Mesir.
2)      Melaksanakan ibadah Umrah di tanah suci Mekah al-Mukarramah dan menziarahi Kekasih agung Rasulullah shallallahu alaihi wassalam yang tercinta di Madinah al-Munawwarah.
3)      Pulang kampong. Pulang ke Malaysia selapas imtihan peperiksaan penggal akhir.
Alhamdulillah segala perancangan ini telah pun sempurna seperti yang dirancang.
Sekarang hamba sekeluarga berada di Pulau Pinang Malaysia di rumah zaujah yang terletak di Tasek Gelugor.
Zuyin di pondok achik dia...

Singgah sebentar ambil gambar Jambatan Pulau Pinang

kapal ettihad

zuyin di perhimpunan xpresi hijau bagan penang

Umi di klinik nak masuk wad

Kami pulang ke Malaysia pada tanggal 19-6-2012 dan sampai dengan selamat di KLIA Malaysia pada jam 2 petang 20-06-2012.
Sebelum pulang ke Malaysia hamba sempat menghadiri bacaan kitab Hikam Syeikh Ibnu Athoillah As-sakandari Rahimahullah Ta'ala bertempat di Masjid Syeikh Ibnu Athoillah. Pembacaan kitab Hikam ini telah dibacakan dengan sempurna sehingga selesai kalam Syeikh Arif Billah oleh 3 orang Masyaikh yang sangat dimuliakan iaitu Syeikh Dr Yusri Rusydi al-Hasani hafizahullahu Ta'ala dan Syeikh Usama al-Azhari serta seorang lagi syeikh. Selepas tamat pembacaan kitab Hikam hamba menziarahi maqam Syeikh Ibnu Athoillah as-sakandari Rahimahullahu Ta'ala yang juga bertempat di Masjid tersebut. Hamba sangat bersyukur kerana sudah lama hamba mengidamkan untuk menziarahi maqam beliau dan setelah tiga tahun berada di Mesir akhirnya ianyanya pun tercapai, Alhamdulillah. sujud syukur natijahnya, memuji kebesaran Allah yang Maha menentukan segala takdirnya dan yang mentadbir hambaNya dengan sempurna.
Masjid Syeikh Ibnu Athoillah As-Sakandari


Maqam Waliyullah Syeikh Ibnu Athoillah As-sakandari

InsyaAllah kami akan pulang ke Sabah selapas zaujah melahirkan anak kami yang kedua yang juga merupakan bakal adik Zuyin @ Qurratul Ain. Dan dijangkakan bakal anak kedua kami pada pertengahan bulan ramadhan 15 ramadhan bulan 8 tanggal 4. Apapun kami serah kepada Allah yang menentukan segala kejadian, semua dalam pengetahuannya Dialah Tuhan yang Maha mengetahui dan maha Berkuasa atas segala sesuatu, adapun kami sebagai hambaNya tiada sedikit pun pengetahuan tentang itu melainkan hanya berserah segala-galanya kepadanya dan berdoa kepadaNya semoga segalanya dimudahkan dan semoga semuanya selamat. Serta kami berharap anak kami yang bakal lahir nanti menjadi hambaNya yang sholeh mahupun sholehah dan beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan juga memiliki sifat kehambaan di sisi Tuhannya.

" Ya Allah Ya Tuhan Kami jadikanlah isteri kami dan zuriat keturunan kami penyejuk hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa " amin !

Akhir sekali, kita hanya mampu merancang tapi Allah Dialah yang Maha menentukan dan menyempurnakan segala perancangan menurut kehendakNya. Alhamdulillah ! (",)


Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi
Tasek Gelugor Pulau Pinang. (",)

Wednesday, May 2, 2012

Berjaya Tapi Tidak Sholat?

Berjaya tapi tidak sholat adalah kejayaan yang menipu daya.

Sering kita dengar kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh orang yang tidak sholat,  kejayaan pada mereka yang tidak menutup aurat. Dan begitu juga dengan kejayaan orang kafir. Dan tidak dinafikan kejayaan bagi orang Islam yang menjaga sholatnya. Persoalannya mengapa mereka berjaya sedangkan mereka tidak sholat? Mereka tidak menutup aurat dan mereka adalah orang kafir?

Sebelum menghuraikan permasalahan tersebut, perlu dilihat kejayaan yang sebenar itu dilihat dari aspek atau sudut mana? Ada orang yang melihat kejayaan itu dari sudut material, kekayaan, pelajaran, kerjaya dan seumpamanya. Tapi dalam Islam kejayaan itu diukur dengan beberapa factor. Terutamanya kejayaan yang bersumberkan ketenangan hati dan kebahagiaan di dunia dan lebih-lebih lagi di hari akhirat kelak mendapat keredhaan Allah sehingga dapat merasai nikmatnya syurga. Jika kita lihat kejayaan itu hanya pada orang kaya atau orang yang mendapat kejayaan dalam pelajaran kerana kepandaiannya sahaja maknanya kejayaan itu tidak boleh diperolehi oleh orang miskin dan yang lemah.
Contohnya:
Pertama: ada orang kaya yang banyak harta tetapi hatinya gundah tiada ketenangan kerana tidak sholat. Tetapi ada orang miskin yang sholat yang walaupun tiada harta tetapi tetap still tenang jiwanya dan bahagia bersama keluarga dan anak-anak.
Kedua: orang kafir mendapat kesenangan dan kemewahan dunia tapi tidak Islam dan mereka mendapat segala macam kemewahan walaupun mereka tidak sembahyang. Tetapi orang Islam yang sholat walaupun hidupnya tidak mewah tetapi tenang jiwanya dan bahagia dengan merasakan rahmat dan keredhaan Allah.
Ketiga: orang yang tidak menutup aurat bergaul bebas dan berpegangan tangan tiada ikatan yang sah tapi Berjaya dalam kerjaya dan pelajaran mereka dan mereka juga tidak sholat.

Saya sering ditanya tentang dan masalah ini berkali-kali, jawapan yang saya selalu berikan sebagai contoh:

Pertama: Orang kaya banyak harta tetapi hatinya gundah tiada ketenangan. Ini kerana kekayaan itu bukanlah menjadi punca kejayaan dan kebahagiaan bagi seseorang. Kena lihat harta itu dari sumber mana? Apakah halal atau haram? Selalunya harta yang halal akan membuahkan ketenangan dan kebahagiaan serta keberkatan dalam diri, keluarga dan anak-anak. Akan tetapi sekiranya harta tersebut adalah didapati dari sumber yang haram seperti rasuah, menang judi, riba dan seumpamanya maka itulah penyebab si kaya tadi tidak memperolehi ketenangan walaupun memiliki harta segudang. Dan ada orang yang kaya berganda kekayaannya disebabkan ia sholat dan menjaga hartanya serta pendapatannya dari sumber yang bersih lagi halal, dan membelanjakan hartanya dijalan yang diredhai Allah seperti ia bersedekah, menderma, keluarkan zakat dan lainnya. Maka orang ini mendapat kekayaan berlipat kali ganda iaitulah kekayaan harta dan kekayaan hati.

Sabda Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wassalam:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنِ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wassalam bersabda: " Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta akan tetapi kekayaan itu dengan ketenangan jiwa (hati)." Muttafaqun Alaih.

Kedua: orang kafir kaya dan mendapat kemewahan yang banyak didunia sedangkan mereka tidak sholat dan tidak beriman dan tidak menyembah kepada Allah. Kalau kita lihat di negara barat seperti Amerika, Jepun dan lainnya mereka maju dan bangunan yang mereka bina mencakar langit, segala keluaran elektronik seperti telefon bimbit, computer laptop dan segala kemudahan seperti kereta, motorsikal yang kita guna yang berjenama Mercedes, Honda, BMW dan sebagainya adalah dicipta hasil kerjaya mereka. Mereka Berjaya dalam bidang mereka. Apakah kejayaan mereka ini diiktiraf disisi Allah? Dan kejayaan itu menjadi asbab mereka beroleh syurga. Tidak!

Allah itu bersifat dengan ar-Rahman yaitu Allah maha pemurah kepada semua hambaNya di dunia samaada yang mukmin mahupun yang kafir, samaada yang menyembahnya ataupun yang syirik kepadanya dan samaada yang patuh kepada ajarannya ataupun yang ingkar kepadanya. Hanya dunia, Buktinya seperti yang saya sebutkan diatas kejayaan orang kafir walau tidak sholat tapi Allah beri kemewahan di dunia, kekayaan yang melimpah ruah, dan kemenangan dalam kepimpinannya. Tetapi mereka tidak dapat merasai nikmatnya Iman, rahmatnya Islam dan bermunajat kepada Allah. Apakah Allah tidak adil kepada yang menyembahnya? Tidak! Allah itu maha Adil! Buktinya Allah berikan kenikmatan iman dan Islam kepada hambaNya yang menyembahnya dan dengan sebab nikmat itulah orang-orang Islam mendapat ketenangan dan kebahagiaan hidup sedangkan orang kafir tidak sedikit pun merasainya. Bahkan dengan sifat Allah Ar-Rahim yakni bersifat maha mengasihani hanya kepada hambaNya yang mukmin sahaja diakhirat nanti tidak kepada yang kafirin yaitulah Allah berikan kepada orang Mukmin yang beriman kepada Allah berbagai-bagai nikmat diakhirat nanti seperti naungan arasy, dapat meminum haudh al-kausar Nabi shallallahu alaihi wassalam dan syafaat baginda bahkan Allah masukkan kedalam syurganya. Dan nikmat ini tiada dirasai oleh orang kafir walau sedikit pun bahkan Allah campakkan orang-orang kafir ini ke dalam nerakanya.


Habistu, kenapa Allah berikan apa sahaja kemewahan dan kekayaan kepada mereka sedangkan mereka tidak sholat? Lihat jawapan firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud:


" Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling bermegah diantara kamu serta berlumba-lumba dalam memperbanyakkan harta dan anak keturunan seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan diakhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan Allah serta keredhaannya. Dan kehidupan dunia tiada lain melainkan kesenangan yang menipu daya ( palsu )."
Dan sabda Nabi shallallahu 'alaihi wassalam:

لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ

Dari sahal bin sa'ad bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wassalam bersabda: " kalaulah dunia ini ada nilai disisi Allah sebesar sayap nyamuk nescaya sedikit pun Allah tidak berikan kepada orang kafir walaupun setitik air." H.R Imam Tirmidzi.

Jelas! Dunia ini bukanlah tempat kesudahan dan bukan tempat mengukur kejayaan seseorang dan dunia ini tiada nilai disisi Allah. Kalaulah dunia ini ada nilai disisi Allah nescaya Allah tidak memberikan sedikit pun kepada orang kafir. Nah ! Disebabkan dunia ini tiada nilailah Allah berikan apa sahaja jenis kekayaan, kemewahan kepada mereka. Dan kalau ada yang mengatakan dunia tempat kesenangn maka katakan ya! memang dunia tempat kesenangn tapi kesenangn yang menipu dayakan. huhu.

Bagi orang Islam, mereka menjadikan dunia sebagai alat dan tempat bercucuk tanam dengan beramal sholeh.
الدنيا مزراعة الأخرة
Seperti sabda Nabi shallallahu alaihi wassalam yang bermaksud: " dunia merupakan ladang akhirat."

Ketiga: orang yang tidak menutup aurat bergaul bebas dan berpegangan tangan tiada ikatan yang sah tapi Berjaya dalam kerjaya dan pelajaran mereka dan mereka juga tidak sholat. Perlu juga kita lihat bahawa kejayaan sebenar bagi seorang Islam itu bukan terletak pada kerjayanya dan bukan juga pada pelajarannya tetapi kejayaan itu terletak pada hatinya yang tenang yang apa sahaja yang dilakukan adalah semata-mata mengharap keredhaan Allah subhanahu wa Ta'ala inilah kejayaan yang sebenar. Kejayaan yang sebenar juga adalah melakukan apa sahaja amalan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allahu Ta'ala, seperti pengakuan kita ketika membaca doa iftitah, " Inna Sholati Wa Nusuki Wa Mahyaya Wa Mamati Lillhi Robbil Alamin ". Sesungguhnya sholatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Tuhan sekalian alam. Buktinya, lihat dalil ayat al-Quran surah al-mukminun ayat 1-11 di bawah ini:
قد أفلح المؤمنون (1)
Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman,

الذين هم في صلاتهم خاشعون (2)
Yaitu mereka yang khusyuk dalam sholatnya…

والذين  هم عن اللغوي معرضون (3)
Dan yang menjauhkan diri dari perbuatan dan pekerjaan yang tidak berguna.

والذين هم للذكاة فاعلون (4)
Dan yang mengeluarkan zakat.

والذين هم لفروجهم حافظون (5)
Dan orang yang memelihara kemaluannya.

إلا على أزواجهم أو ماملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين (6)
Kecuali terhadap istri-istri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

فمن  ابتغى وراء ذالك فأولـئك هم العادون (7)
Tetapi siapa yang mencari disebaliknya itu ( zina dan sebagainya ) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

والذين هم لأماناتهم وعهدهم راعون (8)
Dan orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya.

والذين هم على صلواتهم يحافظون (9)
Serta yang memelihara shalatnya.

أولـئك هم الوارثون (10)
Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

الذين يرثون الفردوس هم فيها خالدون (11)
Yakni yang akan mewarisi syurga firdaus mereka kekal di dalamnya.

Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa kejayaan sebenar manusia yang diiktiraf di sisi Allah ialah mereka yang sholatnya khusyu', Tidak memperkatakan dan melakukan perkara yang sia-sia (tidak berguna), mereka yang menggunakan harta yang direzkikan Allah dengan berzakat dan bersedekah, dan mereka yang memelihara kemaluannya ( yakni yang menjauhi perbuatan dosa zina ), dan mereka yang memenuhi janji dan melaksanakan amanah sebaik dan seadilnya serta yang memelihara sholatnya.

Surah al-mukminun yang Allah nyatakan diatas tiada satupun memberitahu ukuran kejayaan seseorang kepada material, kepandaian dan dalam kerjaya tetapi sebaliknya Allah sandarkan kejayaan sebenar itu ialah dengan menjaga sholat dan yang khusyuk sholatnya. Dua kali Allah sebutkan sifat kejayaan diatas dengan kalimat sholat. Ini menunjukkan bahawa kejayaan seseorang mestilah disertakan dengan sholat.

Kesimpulannya seseorang yang berjaya yang disertakan dengan sholat menyembah Allah adalah orang yang sebenar-benar mendapat kejayaan, manakala seseorang yang berjaya tanpa disertakan dengan sholat maka orang ini berjaya dalam tipu daya yang menyebabkan ia bertambah jauh dari Allah.
Kejayaan yang disertai dengan sholat akan mendapat dua keberuntungan keuntungan di dunia dengan mendapat rahmat Allah dan keuntungan di akhirat dengan beroleh ganjaran syurga, manakala kejayaan yang tidak disertai dengan sholat maka ia tiada mendapat keberuntungan apa-apapun bahkan ia hanyalah mendapat dua kerugian, kerugian di dunia yang menipu dayanya dari menyembah Allah dan kerugian di akhirat dicampakkan ke neraka.

Jadi kejayaan sebenar seseorang bukanlah terletak pada kerjayanya dan bukan juga pada harta kekayaannya mahupun kemewahannya dan bukan juga pada pangkat kedudukannya dan bukanlah juga terletak pada kepandaiannya dalam pelajarannya akan tetapi kejayaan yang sebenar terletak pada sholatnya yang menyebabkan jiwanya merasai ketenangan dengan apa saja yang Allah takdirkan untuknya. sekiranya dia sholat dan mendapat ketenangan sudah tentu dia berjaya. akan tetapi sekiranya seseorang itu tidak sholat dan ia pula mendapat kejayaan yang diiktiraf di sisi manusia ketahuilah bahawa sebenarnya dia telah mendapat kegagalan di sisi Tuhan yang maha Esa.

Wallahu a'lam !!!

Semoga artikel ini dapat membantu semua pembaca budiman dan yang ingin mengambil faedah darinya. Dan semoga kita semua mendapat kejayaan di dunia dengan mendapat ketenagan jiwa dan kenikmatan Iman dan Islam. Dan mendapat kejayaan di akhirat nanti dengan beroleh keredhaan serta rahmat Allah dan beroleh syurga yang penuh dengan kenikmatanNYA. Amin !!!

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَزَابَ النَّار آمين !!!

" Ya Allah Ya Tuhan Kami Berilah Kami Kejayaan Di Dunia Dan Kejayaan Di Yaumil Qiamah Dan Selamatkanlah Kami Dari Azab Api Neraka. "  Amin !!!



Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Kuliah Ushuluddin Takhassus Hadis Nabi,
Universiti Al-Azhar Bumi Barakah Para Nabi.
Related Posts with Thumbnails