Thursday, September 1, 2011

Nikmat Ilahi Untuk Dikongsi Dan Disyukuri


Selepas solat isyak, tidur sebentar… sejam kemudian terbangun dan terfikir situasi yang dilalui sekarang ini, entahkan sama dan jauh bezanya dari tahun-tahun sebelum ini. Saya pergi membersihkan diri ( wudhu' ) dengan niat agar bisa memikirkan perkara yang baik dalam diri dan untuk umatnya Nabi. Saya on laptop, saya layari laman Blog 'GENTA RASA' yang saya temui di 'I LUV ISLAM'. Buat pertama kalinya melayari blog ini, secara peribadi saya mengatakan bahawa ianya sangat bermanfaat dan berfaedah. Terkesan dengan penulisan berhikmah daripadanya. Misal apa yang ditulisnya: "Jika kita ikhlas di pangkal, tetapi mungkin melencong dan melelong di tengahnya namun pasti kita kembali lurus kerana kekuatan dan ketepatan niat yang di awal dan di asal. Hukum daya tarikan akan berlaku. Hati-hati yang ikhlas akan bersatu, tidak kira dari mana dan di mana kita berkubu. Penulis adalah pendakwah, pendidik dan pemimpin bagi masyarakat. Dengan syarat dia memimpin dirinya terlebih dahulu."


Setelah meneliti dan membaca tulisan-tulisan dari 'GENTA RASA'. Rasa diri ini kerdil. Penulisannya bisa menyentuh hati naluri di sanubari yang ingin dibelai dengan sentuhan-sentuhan sepertinya, yang ingin dimesrakan dengan fikir dan zikir seperti penulisannya. Hati kecil saya berbisik,” bagaimana kalau saya pelajari cara penulisannya? fikirannya serta zikirnya? Mungkin suatu hari nanti dengan sebab suka melayari dan membaca luahan fikir dan zikir dari penulisannya, saya bisa bertemu dengan apa yang dicari dalam dunia blog penulisan ini.”

Ya… untuk menjadi sepertinya memang jauh sekali. Namun untuk mencontohinya itu disukai dan boleh dipejari walau baru bermula dalam dunia penulisan ini. Kerna saya gemar belajar dan mahu terus belajar kendatipun hingga nafas menjadi longgar. Lantaran itu saya ingin mengambil hikmah walau dari mana, walau pada siapa, kerna hikmah adalah barang berharga, malah lebih bernilai dari sebuah mutiara dan emas yang dipuja. Hikmah itu boleh diperolehi melalui alam, melalui manusia mahupun haiwan, juga menerusi sungai dan lautan, malah dari buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan, langit bahkan juga awan, bintang, matahari dan juga bulan serta pertukarannya malam dan siang. Untuk memperolehinya kita perlu banyakkan fikir dan juga perbanyakkan zikir kepada Tuhan kerana hikmah itu asalnya dari Tuhan yang menciptakan seluruh alam.


Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:"Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya." (Surah al-Baqarah. Ayat 269)

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala lagi: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka. (Surah ali-Imran. Ayat 190-191)


Juga Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dimana sahaja ditemuinya dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah.


Terfikir sejenak.. tilik niat asal, apakah niat masa mula-mula membuat blog ini (Boleh dirujuk pada artikel terbitan awal). Pada mulanya memang hanya mahu berkongsi ilmu yang dipelajari dan diketahui di bumi Azhar ini. Selain menulis sedikit pengalaman yang dialami dan nikmat yang dianugerahi yang boleh difahami melalui tema blog, ‘Nikmat Ilahi Untuk Dikongsi Dan Disyukuri’. Agar boleh berkongsi apa sahaja nikmat yang dikecapi dan yang dialami. Supaya sahabat-sahabat dan keluarga di tanah air dapat merasai keindahan suasana Azhari khasnya dan bumi Mesir amnya.


Saya sedari penulisan ini masih kebudak-budakan dan banyak lagi yang perlu dipelajari walhal masih jauh. Saya berharap dengan banyak membaca, mendalami ilmu, serta mendapat sedikit tunjuk ajar dari pembaca budiman, serta nasihat dari sahabat-sahabat yang membaca blog ini, boleh mematangkan lagi penulisan ini di suatu hari nanti.InsyaAllah. 


Tapi…? yang menjadi masalahnya... kekadang ada sebahagian yang menyalah erti, dan menganggap apa yang dilakukan ini sudah meninggi diri. Astaghfirullah. Dan bermacam-macam lagi suara yang tidak enak didengari. Terus terang ada sedikit rasa sedih dengan situasi ini. Seperti ungkapan yang saya pernah dengari dari seorang sahabat lama Azhari "Bila kita buat sesuatu kebaikan di bilang ada kepentingan, sedih dengan situasi ini." Saya nyatakan di bawah ini:


Di mana insan berjiwa murni?


Bila rajin hadir program persatuan,

dibilang mahu jawatan itu dan ini,

Bila tidak hadir program keramaian

dibilang sudah memboikot majlis rasmi,

Bila rajin menghadiri majlis ilmu

dibilang mahu disanjung dan dipuji,

Bila tidak hadir pula,

di bilang sudah meninggi diri

dan tidak perlukan ilmu lagi,

Bila kita ceritakan nikmat yang Allah beri,

Di bilang kita meninggi diri

terhadap nikmat yang dikecapi,

Bila kita ceritakan kebaikan

yang dilalui sehari-hari,

Dibilang kita tidak ikhlas

dan sudah terbatal niat yang suci,

Sedih, sedih dengan situasi sekarang ini,

Hati yang sepatutnya dibersihkan,

Menjadi hipotesis dan negative,

Dimanakah berselindung insan berjiwa murni?

Dimanakah bersembunyi manusia yang baik hati?

Dimanakah menghilangnya hati naluri yang suci?

Apakah di zaman ini sudah banyak hati yang mati?

Tanpa perlu dibersihkan dan diperbaiki lagi?

Atau hanya menjaga hak kepentingan peribadi sendiri?

"Ya Allah..!

Selain Rasulullah sallallahu alaihi wassalam

Yang dirindui,

Sahabat Baginda yang dimuliai,

Dan para Salafussholeh yang diakui,

Siapakah manusia yang baik hati

Yang masih ada lagi di zaman ini...?

Ingin menatap wajahnya,

Ingin mendampinginya

Ingin mengenali dan mencontohi akhlaknya,

Walau hanya sekejap cuma!"


Saya cepat-cepat istighfar memohon keampunan dari Ilahi dan berdoa pada-Nya, agar mereka fahami niat suci ini suatu hari nanti. Saya yakin mereka akan faham suatu hari nanti dengan izin Robbul Izzati.

Dalam hati kecil saya berbisik,” Biarlah mereka menilai buruk melalui zahir lahiri, yang penting Allah maha mengetahui isi hati. Biarlah mereka tidak mengerti hasrat di hati, yang penting Allah memahami niat di lubuk hati. Beristighfarlah duhai hati! don't be sad!"

Mungkin ini adalah ujian dari Tuhan… kehidupan yang sering diuji pasti menaikkan jati diri dan meneguhkan iman dalam hati, agar terus bertawakkal pada Ilahi, dan sabar dengan mehnah ujian duniawi dan karenah manusiawi. Dan saya yakin suatu hari nanti pasti tersingkap apa yang tersembunyi.

Firman Allah: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka belum diuji? Dami sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu dari mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketehaui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut. Ayat 2-3)

Dan lagi firman Allah: “ Barangsiapa melakukan amal kebaikan seberat zarah dia pasti akan melihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah. Ayat 7)

~Fahami niat suci penulisan ini~

Di saat dan ketika ini,

Insya'Allah dengan izin Ilahi,

Akan teruskan KONGSI 'entry',

pengalaman manis dan pahit

selama berada di dunia azhari,

Atau di bumi mana sempat dijejaki,

Kulakarkan dalam laman maya ini,

Seperti sebelum-sebelum ini,

Perkongsian yang biasa namun bererti,

Semata-mata mahu koreksi diri,

Pada segala NIKMAT yang dikecapi,

Supaya boleh koleksi dalam artikel diari,

Bukan untuk meninggi diri,

Jauh sekali menandingi insani,

Tapi untuk perbaiki diri jika terselit duri,

Dan terus SYUKURI NIKMAT yang dikecapi

Harap difahami niat suci bak salji,

Dan jangan menilai melalui hati yang mati.

Yang tidak berfungi dengan wahyu ILAHI.

Mohon doa sahabat yang mengenali diri,

Kerna ingatan doa sahabat pada Ilahi,

Sangat bererti dalam melayari kehidupan ini,

Dan menjadi magnet agar terus berbakti pada Agama Islami.


Firman Allah: “Maka adapun dengan nikmat Tuhanmu maka hendaklah diceritakan (sebagai tanda syukurmu)" (Surah ad-Dhuha ayat 11)

Firman Allah: “Bacalah kitab (Suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (Surah al-Isra’. Ayat 14)

Dengan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada surah ad-Dhuha ini, menjadi hujah agar kita boleh berkongsi cerita, boleh berkongsi rasa kepada sesiapa sahaja, sebagai tanda syukur dengan nikmat yang diberi. Adalah disukai jika kebaikan yang kita lakukan kita niatkan semoga dapat diikuti oleh orang lain terutamanya bagi mereka yang bergelar pemimpin atau yang menjadi ikutan kepada masyarakat. Dan penceritaan itu tidaklah berlebih-lebihan dari yang asal, dan tidak juga apa yang dinyatakan itu bohong dan menjadi penyebab timbulnya perasaan ‘riak’ dan sebagainya. Jika dikhuatiri riak ada baiknya didiamkan saja, dan biar Allah serta dua malaikat ‘kiraman katibin’ menjadi saksi atas perbuatan kita.

Manakala firman Allah dalam surah al-Isra’ ini boleh disimpulkan sebagai koreksi diri atau muhasabah diri sendiri samada koreksi diri melalui fikiran, penulisan, melalui rakaman video dan sebagainya. Jika baik eloklah diteruskan dan usaha untuk diistiqamahkan, manakala yang buruk dan yang lemah cuba diperbaiki dan percantikkan sehingga diri terhias dengan amalan-amalan sholeh yang diredhai Allah yang Maha Mengetahui setiap amalan yang kita lakukan. Jujurlah! kerana kejujuran pengubat jiwa.

Semoga usaha yang sedikit ini dapat saya manfaatkan untuk diri sendiri sebagai medan perkongsian ilmu dan apa sahaja yang dilalui sehari-harian.


"Ya Allah! Sungguh Engkau sahajalah yang mengetahui isi hati, Maka hamba mohon pada-Mu, jagalah hati ini dari sifat-fifat mazmumah, dan janganlah bolak balikkan hati ini setelah diberi sinar hidayah. Dan tetapkanlah hati ini dalam agama dan hidayah-Mu hinggalah bertemu-Mu di tempat yang dijanjikan." ameen!


(Idea Islamik)
~Nikmat Ilahi Untuk Dikongsi Dan Disyukuri~
4 Syawal 1432 Hijrah. 2.9.2011
Hayyu Asyir, Kaherah.

No comments:

Related Posts with Thumbnails