Sunday, March 25, 2012

Sejarah Mekah Mukarramah

Sejarah Mekah Mukarramah:

Makkah (ataupun Mekah dengan nama penuhnya Makkah al-Mukarramah; Bahasa Arab: مكة المكرمة) terletak lebih kurang 73 km daripada timur Jeddah. Makkah merupakan tempat lahirnya Islam serta Nabi Muhammad s.a.w. dan juga tempat baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t.
Makkah ialah kota paling suci bagi umat Islam. Lima kali sehari, lebih kurang 1.5 bilion Muslim tidak kira di mana mereka berada, pasti akan menghadap kiblat di Kota Makkah untuk bersembahyang. Sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup seseorang Muslim akan mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah setiap tahun di tempat tersebut.

Di sini juga terletaknya Al Masjid Al Haram yang mana terdapatnya Kaabah.

Masjidil Haram

Sejarah Makah Al-Mukarramah:
Sejarah Makkah bermula apabila Nabi Ibrahim a.s. menerima perintah daripada Allah s.w.t. supaya meninggalkan anaknya Nabi Ismail a.s. dan isterinya Siti Hajar di sebuah gurun yang kering kontang. Selepas Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isteri dan anaknya itu di sebuah gurun beliau kembali ke tempat asalnya.

Apabila air yang dibawa oleh Siti Hajar habis, Nabi Ismail a.s. yang ketika itu masih lagi seorang bayi mula menangis meminta susu. Siti Hajar yang mula gelisah mula mencari air di antara Bukit Safa daripada Jabal Qubais hinggalah ke Bukit Marwa. Dalam suasana yang kelam kabut itu Nabi Ismail a.s. yang sedang menangis menghentakkan kakinya di atas tanah. Dengan izin Allah s.w.t., maka air keluar daripada tanah yang dihentak Nabi Ismail a.s. tadi. Sebuah telaga dibina kemudian dan dikenali sebagai Telaga Zamzam. Akibat daripada peristiwa tadi maka selamatlah Siti Hajar dan anaknya.

Dengan kemunculan Telaga Zamzam itu, pedagang-pedagang dan kabilah-kabilah perdagangan mula muncul. Mereka mula tinggal di situ dan membuka penempatan baru. Dengan itu lahirlah Kota Makkah. Nabi Ibrahim a.s. melawat tempat di mana dia meninggalkan anak dan isterinya tadi. Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. kemudiannya membina Kaabah.

Zaman Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam.
Pada tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Makkah hendak diserang oleh tentera Abrahah yang cemburu dengan kemajuan Makkah sebagai pusat keagamaan di kawasan Semenanjung Arab. Mujur dengan kuasa Allah s.w.t., tentera Abrahah ditewaskan. Tahun kejadian itu digelar sebagai Tahun Gajah.

Makkah juga merupakan tanah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. hidup dalam kalangan masyarakat yang menyembah berhala tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tetap tidak lupa akan ajaran Nabi Ibrahim a.s.
Satu hari sewaktu Rasulullah s.a.w. yang ketika itu berumur 40 tahun sedang berada di dalam sebuah gua yang bernama Gua Hira, baginda didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu daripada Allah s.w.t. Wahyu itu memerintahkan supaya Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh penduduk Makkah. Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk Makkah tetapi kebanyakkan mereka menentangnya. Rasulullah s.a.w. kemudiannya berhijrah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Ajaran Islam kemudiannya berkembang ke seluruh Semenanjung Arab. Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya kembali ke Makkah pada tahun 628 Masihi bersama-sama ribuan pengikut baginda. Mereka memasuki Makkah tanpa mengalirkan darah. Peristiwa itu dinamakan sebagai Pembukaan Kota Makkah. Penduduk Makkah akhirnya menganuti ajaran Islam dan ini menjadikan Makkah pusat perkembangan Islam.

Sejarah Masjidil Haram:
Masjidil Haram, kadangkala disebut juga Masjid al-Haram ataupun Al-Masjid al-Ḥarām (Arab : المسجد الحرام), adalah masjid paling suci diatas muka bumi. Masjid ini terletak di Kota Makkah Al Mukharamah. Masjid al-Haram dibina mengelilingi Kaabah, iaitu Qiblat bagi umat Islam apabila mengerjakan solat.

Pengisytiharan Tanah Haram :
Kawasan Tanah Haram telah diisytiharkan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan kota Makkah. Diisytiharkan juga bulan-bulan yang diharamkan berperang seperti Zulkaedah, Zulhijjah dan  Muharam untuk mengerjakan haji manakala Rejab pula untuk mengerjakan umrah. Ia dikenali sebagai al- Asyhurul Hurum.
Kawasan Tanah Haram makah
Seperti mana yang diketahui, Tanah Haram merupakan bumi yang bebas daripada orang2 kafir dan penumpahan darah selepas pembukaan Makkah

Tanah Haram mempunyai kawasan yang telah ditetapkan masa zaman Nabi Ibrahim alaihissalam seperti dalam sejarah yang saya ceritakan sebelum ini dan menerusi hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam:
Dari Abdulllah bin Zaid radhiallahu anhu yang bermaksud: " Sesungguhnya Ibrahim telah menjadikan kota Mekah sebagai tanah Haram. dan berdoa meminta barakah bagi kota Mekah. Dan aku menjadikan Kota Madinah sebagai Tanah Haram sebagaimana Ibrahim menjadikan Mekah sebagai tanah Haram. Aku mendoakan barakah bagi Kota Madinah pada Mudnya dan sonya seperti doa Ibrahim bagi kota Mekah. riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Tanah Haram Makkah ialah jarak yang melingkungi Masjidil Haram dari segenap penjuru. Allah s.w.t menjadikan Tanah Haram sama dengan Makkah sebagai memuliakannya. Tanah Haram ini telah diharamkan oleh Allah semenjak dijadikan bumi sehingga Hari Kiamat. Rentetan itulah,makkah telah menjadi tumpuan umat Islam sejak dahulu lagi.


Orang yang pertama dikatakan membuat tanda sempadan Tanah Haram ialah Nabi Ibrahim berpandukan petunjuk daripada Jibrail. Selepas pembukaan Kota Makkah, rasulullah s.a.w telah melantik Tamim bin Asad Al-Khuza'i agar memperbaharui tanda sempadan Tanah Haram.


Selepas itu khalifah dan pemerintah Makkah sentiasa mempengaruhi a'lam (tanda) Tanah Haram di setiap penjuru, di atas bukit dan tempat tinggi juga di lembah. Ada yang masih kekal dan ada yang telah rosak. Bilangan tanda yang di buat telah sampai kepada 934 tanda, sebagaimana yang dicatat oleh Dr. Abdul Malik bin Abdullah bin Duhais dalam tesis Ph.Dnya yang bertajuk: 'Al-Haram Al-Makki Asy-Syarif wa Al-A'lam Al-Muhithah bihi', jazahullahu khaira.


Kawasan Tanah Haram Makkah panjangnya ialah 127 km dan keluasannya ialah 550 meter persegi. Antara sempadan2 Tanah Haram ialah:

·         At-Tan'im, iaitu jalan keluar menuju ke Madinah. Ia terletak berdekatan dengan Masjid Sayyidah 'Aishah radhiallahu'anha. Jaraknya 7.5 km. TANAIM adalah sempadan yang sering menjadi tumpuan khususnya bagi jemaah umrah ia Terletak berhampiran Masjid Aisyah iaitu 7.5 km dari Masjidil Haram. Diriwayat bahawa isteri Rasulullah S.A.W telah berihram umrah di sini sekembalinya daripada mengerjakan haji bersama Rasulullah. Kini , Tanaim merupakan lokasi utama bagi jemaah yg berada di Makkah untuk berihram kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Masjidil Haram dan banyak kemudahan pengangkutan tersedia, dengan menaiki van hanya sr3 sahaja.
·         Adhaat libn, dikenali sekarang dengan nama 'Uqaiayiah' jalan menuju Yaman. Jaraknya ialah 16 km.
·         Asy-syara'i', terletak di jalan menuju ke Masjid Ji'ranah. Jaraknya 16 km.
·         Al-Hudaibiyyah, iaitu jalan lama menuju ke Jeddah. Jaraknya ialah 22 km. Jalan baru sekarang dikenali dengan nama Asy-Syumaisi.
·         Jabal Namirah (Zat As-Sulaim), jaraknya ialah 22 km mengikut jalan lurus pejalan kaki.


Sejarah Tanah Haram
Haram sheriff telah dibangunkan oleh malaikat sebelum kejadian manusia oleh Allah S.W.T. dan Allah mentasbihkan satu tempat sembahyang untuk mencerminkan al-Baytu l-Makmur, tempat para malaikat mengerjakan solat mereka. ( Baitul makmur: Disinilah tempat 70 rinbu malaikat masuk dan tidak keluar ) Umat Islam mempercayai bahawa Kaabah berada betul-betul di bawah "Arasy" atau Singgahsana Allah.

Kaabah pertama sekali dibina oleh Nabi Adam alaihissalam dengan bantuan para malaikat. Kaabah sudah beberapa kali rosak ditimpa bencana dan pelbagai punca lain. Nabi Ibrahim alaihissalam  dengan bantuan anaknya, Nabi Ismail alaihissalam, telah memperbaiki Kaabah, setelah diperintah oleh Allah S.W.T. untuk memperbaiki Kaabah dan membina masjid di sekitar Kaabah.

Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan bahawa di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam sehinggalah ketika Saidina Abu Bakar r.a. diangkat menjadi Khalifah, Masjidil-Haram ini tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada tahun 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab. Beliau telah membeli rumah-rumah di sekeliling Ka'abah dan diruntuhkan kesemuanya bagi tujuan perluasan. Perluasan Masjid diteruskan lagi oleh Saidina Usman ibn Affan pada kira-kira tahun 647 Masihi.

Pada tahun 696 Masihi, cucu Saidina Abu Bakar As Siddiq bernama Abdullah ibn Zubair telah memperluaskan kawasan masjid ini dengan membeli gedung-gedung yang terdapat di sebelah timur dan selatan Masjid. Sementara di bahagian utara dan barat pula telah diperluaskan oleh Zaid bin Abdullah al-Harisi dibawah perintah Abu Ja'afar al-Mansur, Khalifah Bani Abas kedua.

Orang-orang seperti Abdul Malik ibn Marwan, Umar, Al-Walid, Ziad bin Abdullah, Musaal-Mahdi, adalah antara mereka yang awal menghiasi masjid ini. Kalimah-kalimah al-Quran disulami dengan corak-corak Islam, batu-batu mamarnya telah diukir dengan indah dan tiang-tiangnya disalutkan emas.

Pada tahun 986 Masihi, Harun Ar-Rashid telah memasukkan gedung Dar An-Nadwah di sebelah utara ke dalam masjid dan membina pintu Bab Ibrahim di sebelah barat. Pintu besar Bab As-Salam telah diperbaiki pada tahun 1243 Masihi oleh Ali bin Umar dari Yaman.

Amir Zainal Abidin al-Usmani (1379 Masihi) telah mengutuskan Sudun Pasca mencantikkan pintu masjid dengan hiasan yang indah, memperbaiki atap dan pancuran air di Ka'abah. Pada tahun 1399 Masihi, suatu kebakaran besar telah berlaku pada Masjidil-Haram. Banyak bahagian telah musnah begitu juga dengan hasil kesenian yang indah-indah yang sukar dicari ganti. Amir Besar Az-Zahiri telah memperbaikinya pada tahun berikutnya dan selesai pada tahun 1401 Masihi.

Sultan Salim II (1572-1577 Masihi) telah memperbaharui dan memperkemaskan lagi Masjidil-Haram ini dengan memasukkan kubah dan relung-relung yang indah di dalamnya. Atas arahan Sinan Pasha dari Mesir, kerja-kerja pembinaan telah di usahakan oleh Ahmad Bey dan seorang jurutera bernama Muallim Muhammadal-Misri. Bila Sultan Salim meninggal dunia, anaknya Sultan Murad telah meneruskan pekerjaan bapanya sehingga selesai.

Reka bentuknya kekal dari zaman Umawi, Abbasiah hingga dilakukan perluasan kerajaan Arab Saudi. Mereka melihat Masjidil Haram bakal menampung pertambahan jumlah jemaah yang kian meningkat setiap tahun. Program perluasan kota itu bermula oleh Raja Abdul Aziz pada 1955. Ia menyaksikan keluasan bertambah dalam masa 20 tahun daripada 19,000 meter persegi kepada 160,000 meter persegi, hampir lapan kali ganda keluasan asalnya. Penambahan itu dibuat tanpa menjejaskan keaslian binaan asal dari zaman Turki.

Ruangan tawaf juga dibesarkan tiga kali ganda dari keluasan asal. Daun pintu Kaabah juga diganti baru, dilapisi emas tulen. Raja Fahd menambah kawasan sa'i dengan laluan bertutup berhawa dingin. Begitu juga laluan bertingkat dan jambatan bagi mengurangkan kesesakan ketika musim haji demi keselesaan umat Islam.

Selepas 13 tahun projek pembesaran Al-Haram siap, Raja Fahd melancarkan satu lagi projek pembesaran masjid ini. Pada 2 Safar 1409, projek ketiga perluasan Masjidil Haram oleh Kerajaan Saudi dirasmikan. Kos pembinaan bernilai 6.8 bilion Riyal Saudi dan melibatkan pertambahan masjid dan kompleks yang menempatkan kedai di barat Masjidil Haram iaitu di hadapan bab al-Umrah dan bab al-Malik.

Kini, di bawah pentadbiran Raja Abdullah Abdul Aziz As-Saud, Baginda merancang untuk membesarkan lagi Masjid Al-Haram.

Projek terbaru yang di laksanakan Baginda ialah membesarkan lorong Mas'a (tempat bersa'i) daripada 2 lorong kepada 4 lorong.

Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 2006, dengan mengambil sedikit dari bahagian dataran sembahyang di Bab As-Salam.

Menara Masjidil Haram

Masjidil-Haram mempunyai menara-menara yang indah. Antaranya adalah Bab Al-Umrah yang didirikan oleh Khalifah al-Mansur dari Bani Abbas pada tahun 706 Masihi. Menara ini kemudiannya diperbaiki pada tahun 1172 Masihi dan sekali lagi pada tahun 1464 Masihi oleh Sultan Jukmuk sebelum ia musnah pada tahun 1552 Masihi. Sultan Sulaiman kemudiannya menggantikan dengan yang baru di atas tapak yang sama dengan mengekalkan nama asalnya.

Seterusnya pada tahun 789 Masihi, Khalifah Mahdi dari keturunan Abbasiyah, membangunkan menara Bab As-Salam dan kemudiannya beberapa menara lagi seperti menara Bab Ali dan menara Bab Al-Hazurah atau Bab Wida'.

Pada tahun 1392 Masihi Bab Al-Hazurah telah runtuh dan diperbaiki oleh Al-Asraf Sha'ban dari Mesir.

Pada tahun 905 Masihi, KhalifahAl-Mu'tadhid dari Bani Abbas membangunkan menara Bab Az-Ziadah dan di perbaiki oleh Asraf Baresbai pada tahun 1447 M. Kait Bait pula membangunkan menara Kait Bait kira-kira tahun 1501 Masihi. Kemudiannya Menara As-Sulaimaniah juga telah dibangunkan.

Selepas kerja-kerja pembesaran di lakukan oleh Penjaga Dua Masjid Suci Pertama, Raja Fahd Abdul Aziz As-Saud, Masjidil Haram mempunyai sembilan menara.

" Kesemua menara ini akan kelihatan bercahaya pada waktu malam kerana di terangi lampu-lampu dan membuatkan Masjidil Haram kelihatan sangat cantik."

Menara paling baru yang di didirikan ialah di Bab Al-Malik Fahd (Pintu Raja Fahd) yang berhadapan hotel Darul Tawhid, salah satu hotel 5 bintang di Mekah. Kawasan masuk Bab Al-Malik Fahd juga kini lengkap berhawa dingin. Masjidil Haram masih mengekalkan satu menara tunggal di Bab As-Safa. Semua menara lain didirikan secara "berpasangan", kecuali menara tunggal di Bab As-Safa. Azan yang di kumandangkan 5 kali sehari dari menara-menara ini antara yang mendominasi ruang udara Kota Mekah setiap kali masuk waktu sembahyang.

Diharamkan Untuk Menumpahkan Darah

Seterusnya, Masjidil Haram menjadi tempat yang diharamkan untuk menumpahkan darah. Musuh iaitu orang-orang yang tidak percaya tidak diperangi di sana melainkan mereka memerangi. Firman Tuhan,

"Janganlah memerangi mereka di Masjidil Haram sehingga mereka memerangi kamu di dalamnya. Kemudian, jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Itulah balasan ke atas orang-orang yang tidak percaya." (2:191)



Kesimpulannya ialah Makkah Mukarramah merupakan tanah haram bahkan tanah yang disucikan Allah, kerana tempat ini diharamkan terjadinya peperangan, pembunuhan, dan diharamkan bagi orang yang bukan Islam memasukinya. Dan Masjidil haram adalah tempat yang paling suci di muka bumi.


Wallahu Subhanahu Wa Taala Wa A'lam.

 ( Semoga Artikel ini dapat menjawab persoalan hamba Allah yang bertanyakan tentang Masjidil Haram dan Ka'bah asy-Syarifah, amin ! Segala kekurangan dan kelemahan harap dimaafkan dan diberikan teguran secara berhikmah, semoga Allah redha akan artikel ini amin !!! )
Rujukan:

Al-Quran Al-Karim.
Kitab Khosoisil Kubra Imam Jalaluddin As-Suyuti Rahimahullah Taala.
Kitab Jami' As-Shagir Fi Basyir Al-Nazhir Imam Jalaluddin As-Suyuti.
Sejarah Kota Madinah Munawwarah Dan Tempat-tempat bersejarahnya.
Zikri al-Haramain ( Mekah Dan Madinah Munawwarah ).

No comments:

Related Posts with Thumbnails