Wednesday, May 2, 2012

Berjaya Tapi Tidak Sholat?

Berjaya tapi tidak sholat adalah kejayaan yang menipu daya.

Sering kita dengar kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh orang yang tidak sholat,  kejayaan pada mereka yang tidak menutup aurat. Dan begitu juga dengan kejayaan orang kafir. Dan tidak dinafikan kejayaan bagi orang Islam yang menjaga sholatnya. Persoalannya mengapa mereka berjaya sedangkan mereka tidak sholat? Mereka tidak menutup aurat dan mereka adalah orang kafir?

Sebelum menghuraikan permasalahan tersebut, perlu dilihat kejayaan yang sebenar itu dilihat dari aspek atau sudut mana? Ada orang yang melihat kejayaan itu dari sudut material, kekayaan, pelajaran, kerjaya dan seumpamanya. Tapi dalam Islam kejayaan itu diukur dengan beberapa factor. Terutamanya kejayaan yang bersumberkan ketenangan hati dan kebahagiaan di dunia dan lebih-lebih lagi di hari akhirat kelak mendapat keredhaan Allah sehingga dapat merasai nikmatnya syurga. Jika kita lihat kejayaan itu hanya pada orang kaya atau orang yang mendapat kejayaan dalam pelajaran kerana kepandaiannya sahaja maknanya kejayaan itu tidak boleh diperolehi oleh orang miskin dan yang lemah.
Contohnya:
Pertama: ada orang kaya yang banyak harta tetapi hatinya gundah tiada ketenangan kerana tidak sholat. Tetapi ada orang miskin yang sholat yang walaupun tiada harta tetapi tetap still tenang jiwanya dan bahagia bersama keluarga dan anak-anak.
Kedua: orang kafir mendapat kesenangan dan kemewahan dunia tapi tidak Islam dan mereka mendapat segala macam kemewahan walaupun mereka tidak sembahyang. Tetapi orang Islam yang sholat walaupun hidupnya tidak mewah tetapi tenang jiwanya dan bahagia dengan merasakan rahmat dan keredhaan Allah.
Ketiga: orang yang tidak menutup aurat bergaul bebas dan berpegangan tangan tiada ikatan yang sah tapi Berjaya dalam kerjaya dan pelajaran mereka dan mereka juga tidak sholat.

Saya sering ditanya tentang dan masalah ini berkali-kali, jawapan yang saya selalu berikan sebagai contoh:

Pertama: Orang kaya banyak harta tetapi hatinya gundah tiada ketenangan. Ini kerana kekayaan itu bukanlah menjadi punca kejayaan dan kebahagiaan bagi seseorang. Kena lihat harta itu dari sumber mana? Apakah halal atau haram? Selalunya harta yang halal akan membuahkan ketenangan dan kebahagiaan serta keberkatan dalam diri, keluarga dan anak-anak. Akan tetapi sekiranya harta tersebut adalah didapati dari sumber yang haram seperti rasuah, menang judi, riba dan seumpamanya maka itulah penyebab si kaya tadi tidak memperolehi ketenangan walaupun memiliki harta segudang. Dan ada orang yang kaya berganda kekayaannya disebabkan ia sholat dan menjaga hartanya serta pendapatannya dari sumber yang bersih lagi halal, dan membelanjakan hartanya dijalan yang diredhai Allah seperti ia bersedekah, menderma, keluarkan zakat dan lainnya. Maka orang ini mendapat kekayaan berlipat kali ganda iaitulah kekayaan harta dan kekayaan hati.

Sabda Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wassalam:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنِ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wassalam bersabda: " Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta akan tetapi kekayaan itu dengan ketenangan jiwa (hati)." Muttafaqun Alaih.

Kedua: orang kafir kaya dan mendapat kemewahan yang banyak didunia sedangkan mereka tidak sholat dan tidak beriman dan tidak menyembah kepada Allah. Kalau kita lihat di negara barat seperti Amerika, Jepun dan lainnya mereka maju dan bangunan yang mereka bina mencakar langit, segala keluaran elektronik seperti telefon bimbit, computer laptop dan segala kemudahan seperti kereta, motorsikal yang kita guna yang berjenama Mercedes, Honda, BMW dan sebagainya adalah dicipta hasil kerjaya mereka. Mereka Berjaya dalam bidang mereka. Apakah kejayaan mereka ini diiktiraf disisi Allah? Dan kejayaan itu menjadi asbab mereka beroleh syurga. Tidak!

Allah itu bersifat dengan ar-Rahman yaitu Allah maha pemurah kepada semua hambaNya di dunia samaada yang mukmin mahupun yang kafir, samaada yang menyembahnya ataupun yang syirik kepadanya dan samaada yang patuh kepada ajarannya ataupun yang ingkar kepadanya. Hanya dunia, Buktinya seperti yang saya sebutkan diatas kejayaan orang kafir walau tidak sholat tapi Allah beri kemewahan di dunia, kekayaan yang melimpah ruah, dan kemenangan dalam kepimpinannya. Tetapi mereka tidak dapat merasai nikmatnya Iman, rahmatnya Islam dan bermunajat kepada Allah. Apakah Allah tidak adil kepada yang menyembahnya? Tidak! Allah itu maha Adil! Buktinya Allah berikan kenikmatan iman dan Islam kepada hambaNya yang menyembahnya dan dengan sebab nikmat itulah orang-orang Islam mendapat ketenangan dan kebahagiaan hidup sedangkan orang kafir tidak sedikit pun merasainya. Bahkan dengan sifat Allah Ar-Rahim yakni bersifat maha mengasihani hanya kepada hambaNya yang mukmin sahaja diakhirat nanti tidak kepada yang kafirin yaitulah Allah berikan kepada orang Mukmin yang beriman kepada Allah berbagai-bagai nikmat diakhirat nanti seperti naungan arasy, dapat meminum haudh al-kausar Nabi shallallahu alaihi wassalam dan syafaat baginda bahkan Allah masukkan kedalam syurganya. Dan nikmat ini tiada dirasai oleh orang kafir walau sedikit pun bahkan Allah campakkan orang-orang kafir ini ke dalam nerakanya.


Habistu, kenapa Allah berikan apa sahaja kemewahan dan kekayaan kepada mereka sedangkan mereka tidak sholat? Lihat jawapan firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud:


" Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling bermegah diantara kamu serta berlumba-lumba dalam memperbanyakkan harta dan anak keturunan seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan diakhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan Allah serta keredhaannya. Dan kehidupan dunia tiada lain melainkan kesenangan yang menipu daya ( palsu )."
Dan sabda Nabi shallallahu 'alaihi wassalam:

لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ

Dari sahal bin sa'ad bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wassalam bersabda: " kalaulah dunia ini ada nilai disisi Allah sebesar sayap nyamuk nescaya sedikit pun Allah tidak berikan kepada orang kafir walaupun setitik air." H.R Imam Tirmidzi.

Jelas! Dunia ini bukanlah tempat kesudahan dan bukan tempat mengukur kejayaan seseorang dan dunia ini tiada nilai disisi Allah. Kalaulah dunia ini ada nilai disisi Allah nescaya Allah tidak memberikan sedikit pun kepada orang kafir. Nah ! Disebabkan dunia ini tiada nilailah Allah berikan apa sahaja jenis kekayaan, kemewahan kepada mereka. Dan kalau ada yang mengatakan dunia tempat kesenangn maka katakan ya! memang dunia tempat kesenangn tapi kesenangn yang menipu dayakan. huhu.

Bagi orang Islam, mereka menjadikan dunia sebagai alat dan tempat bercucuk tanam dengan beramal sholeh.
الدنيا مزراعة الأخرة
Seperti sabda Nabi shallallahu alaihi wassalam yang bermaksud: " dunia merupakan ladang akhirat."

Ketiga: orang yang tidak menutup aurat bergaul bebas dan berpegangan tangan tiada ikatan yang sah tapi Berjaya dalam kerjaya dan pelajaran mereka dan mereka juga tidak sholat. Perlu juga kita lihat bahawa kejayaan sebenar bagi seorang Islam itu bukan terletak pada kerjayanya dan bukan juga pada pelajarannya tetapi kejayaan itu terletak pada hatinya yang tenang yang apa sahaja yang dilakukan adalah semata-mata mengharap keredhaan Allah subhanahu wa Ta'ala inilah kejayaan yang sebenar. Kejayaan yang sebenar juga adalah melakukan apa sahaja amalan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allahu Ta'ala, seperti pengakuan kita ketika membaca doa iftitah, " Inna Sholati Wa Nusuki Wa Mahyaya Wa Mamati Lillhi Robbil Alamin ". Sesungguhnya sholatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Tuhan sekalian alam. Buktinya, lihat dalil ayat al-Quran surah al-mukminun ayat 1-11 di bawah ini:
قد أفلح المؤمنون (1)
Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman,

الذين هم في صلاتهم خاشعون (2)
Yaitu mereka yang khusyuk dalam sholatnya…

والذين  هم عن اللغوي معرضون (3)
Dan yang menjauhkan diri dari perbuatan dan pekerjaan yang tidak berguna.

والذين هم للذكاة فاعلون (4)
Dan yang mengeluarkan zakat.

والذين هم لفروجهم حافظون (5)
Dan orang yang memelihara kemaluannya.

إلا على أزواجهم أو ماملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين (6)
Kecuali terhadap istri-istri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

فمن  ابتغى وراء ذالك فأولـئك هم العادون (7)
Tetapi siapa yang mencari disebaliknya itu ( zina dan sebagainya ) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

والذين هم لأماناتهم وعهدهم راعون (8)
Dan orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya.

والذين هم على صلواتهم يحافظون (9)
Serta yang memelihara shalatnya.

أولـئك هم الوارثون (10)
Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

الذين يرثون الفردوس هم فيها خالدون (11)
Yakni yang akan mewarisi syurga firdaus mereka kekal di dalamnya.

Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa kejayaan sebenar manusia yang diiktiraf di sisi Allah ialah mereka yang sholatnya khusyu', Tidak memperkatakan dan melakukan perkara yang sia-sia (tidak berguna), mereka yang menggunakan harta yang direzkikan Allah dengan berzakat dan bersedekah, dan mereka yang memelihara kemaluannya ( yakni yang menjauhi perbuatan dosa zina ), dan mereka yang memenuhi janji dan melaksanakan amanah sebaik dan seadilnya serta yang memelihara sholatnya.

Surah al-mukminun yang Allah nyatakan diatas tiada satupun memberitahu ukuran kejayaan seseorang kepada material, kepandaian dan dalam kerjaya tetapi sebaliknya Allah sandarkan kejayaan sebenar itu ialah dengan menjaga sholat dan yang khusyuk sholatnya. Dua kali Allah sebutkan sifat kejayaan diatas dengan kalimat sholat. Ini menunjukkan bahawa kejayaan seseorang mestilah disertakan dengan sholat.

Kesimpulannya seseorang yang berjaya yang disertakan dengan sholat menyembah Allah adalah orang yang sebenar-benar mendapat kejayaan, manakala seseorang yang berjaya tanpa disertakan dengan sholat maka orang ini berjaya dalam tipu daya yang menyebabkan ia bertambah jauh dari Allah.
Kejayaan yang disertai dengan sholat akan mendapat dua keberuntungan keuntungan di dunia dengan mendapat rahmat Allah dan keuntungan di akhirat dengan beroleh ganjaran syurga, manakala kejayaan yang tidak disertai dengan sholat maka ia tiada mendapat keberuntungan apa-apapun bahkan ia hanyalah mendapat dua kerugian, kerugian di dunia yang menipu dayanya dari menyembah Allah dan kerugian di akhirat dicampakkan ke neraka.

Jadi kejayaan sebenar seseorang bukanlah terletak pada kerjayanya dan bukan juga pada harta kekayaannya mahupun kemewahannya dan bukan juga pada pangkat kedudukannya dan bukanlah juga terletak pada kepandaiannya dalam pelajarannya akan tetapi kejayaan yang sebenar terletak pada sholatnya yang menyebabkan jiwanya merasai ketenangan dengan apa saja yang Allah takdirkan untuknya. sekiranya dia sholat dan mendapat ketenangan sudah tentu dia berjaya. akan tetapi sekiranya seseorang itu tidak sholat dan ia pula mendapat kejayaan yang diiktiraf di sisi manusia ketahuilah bahawa sebenarnya dia telah mendapat kegagalan di sisi Tuhan yang maha Esa.

Wallahu a'lam !!!

Semoga artikel ini dapat membantu semua pembaca budiman dan yang ingin mengambil faedah darinya. Dan semoga kita semua mendapat kejayaan di dunia dengan mendapat ketenagan jiwa dan kenikmatan Iman dan Islam. Dan mendapat kejayaan di akhirat nanti dengan beroleh keredhaan serta rahmat Allah dan beroleh syurga yang penuh dengan kenikmatanNYA. Amin !!!

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَزَابَ النَّار آمين !!!

" Ya Allah Ya Tuhan Kami Berilah Kami Kejayaan Di Dunia Dan Kejayaan Di Yaumil Qiamah Dan Selamatkanlah Kami Dari Azab Api Neraka. "  Amin !!!



Hamba Ilahi Kamarudin Toyo As-Sabahi
Penuntut Ilmu Warisan Nabi,
Kuliah Ushuluddin Takhassus Hadis Nabi,
Universiti Al-Azhar Bumi Barakah Para Nabi.

No comments:

Related Posts with Thumbnails